Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Pemerintah bakal hulur lebih banyak bantuan atasi kos sara hidup

Ekonomi S’pura catat prestasi baik pada 2024, namun masih ada kebimbangan selepas negara pulih daripada Covid-19
Jan 18, 2025 | 2:51 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di majlis penyampaian Anugerah Edusave di Sekolah Rendah Teck Ghee pada 18 Januari.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di majlis penyampaian Anugerah Edusave di Sekolah Rendah Teck Ghee pada 18 Januari. - Foto ZAOBAO

Kos sara hidup membimbangkan ramai rakyat Singapura, dan pemerintah telah mengambil langkah-langkah untuk membantu orang ramai menghadapinya, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 18 Januari.

Beliau menambah bahawa lebih banyak bantuan akan disalurkan pada 2025. Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan kenyataan Belanjawan di Parlimen pada 18 Februari.

“PM Wong telah berkata bahawa akan ada berita baik,” kata SM Lee, yang berucap pada majlis penyampaian Anugerah Edusave di Sekolah Rendah Teck Ghee.

Encik Lee menyatakan bahawa ekonomi Singapura mencatatkan prestasi yang baik pada 2024 dan negara ini telah pulih daripada pandemik Covid-19, namun kebimbangan masih ada, lapor The Straits Times (ST).

“Rakyat Singapura bimbang tentang kos sara hidup dan juga keselamatan pekerjaan mereka,” kata beliau.

“Mereka risau jika ekonomi berubah, mereka mungkin sukar untuk mengekalkan pekerjaan dan menyara keluarga.”

SM Lee turut menyenaraikan bantuan yang telah diberikan oleh pemerintah setakat ini.

Ini termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $800 pada 2024, tambahan $300 pada Januari 2025, baucar pengangkutan awam, baucar cukai barang dan perkhidmatan (GST), rebat U-Save untuk utiliti, serta bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan.

Ada juga bantuan di peringkat daerah, katanya. Beliau memberi contoh kawasan Teck Ghee yang diwakilinya, yang menyalurkan bantuan kepada penduduk memerlukan, termasuk anugerah biasiswa, tuisyen percuma dan program membaca untuk kanak-kanak, baucar makanan dan lawatan membeli-belah barang runcit.

Pakej bantuan dan hongbao yang dibiayai oleh masyarakat juga telah diedarkan kepada sekitar 400 warga emas baru-baru ini, katanya.

Encik Lee berkata pemerintah juga sedang memandang ke hadapan untuk peluang masa depan dan cabaran lebih luas yang dihadapi oleh Singapura.

Terdapat teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik, yang mencipta pekerjaan baru dan mengubah perniagaan, katanya.

Presiden dipilih Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, akan mengambil alih jawatan pada 20 Januari, tambah beliau, sambil menekankan bahawa dunia sedang memerhati apa yang bakal dilakukan Encik Trump.

“Bagaimana hubungan Amerika-China akan berkembang? Apa maksudnya kepada rantau kita – Taiwan, Laut China Selatan? Apa kesannya di Timur Tengah – antara Israel dan Palestin?

“Di Eropah – peperangan dengan Ukraine dan hubungan dengan Russia? Jadi, terdapat banyak ketidaktentuan di sekeliling kita,” kata SM Lee.

Namun banyak usaha yang dilakukan, ini termasuk pelaburan besar dalam bidang pendidikan, menaik taraf sekolah dengan kemudahan lebih baik, kurikulum dikemas kini, dan guru-guru yang lebih terlatih, katanya.

Merujuk kepada pengalamannya sendiri berhadapan dengan ketidaktentuan, SM Lee berkata Singapura menjadi negara merdeka semasa beliau masih di bangku sekolah.

Pada masa itu, terdapat cabaran besar mengenai keselamatan dan pengangguran, dan sekolah-sekolah juga masih dalam fasa pembangunan, tanpa kemudahan sukan atau program menarik. 

Namun, SM Lee berkata Generasi Perintis dan Merdeka telah bekerja keras untuk mengatasi cabaran ini dan mencipta kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan anak-anak mereka.

“Dengan semua sumber yang kita miliki dan keyakinan kerana telah melakukannya sebelum ini, saya yakin kita dapat menghadapinya sekali lagi.

“Apa jua cabaran, kita akan mengatasinya dan membawa Singapura ke hadapan untuk 60 tahun akan datang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg