Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah menerima anugerah tertinggi Australia sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Australia dengan Singapura.
Gabenor Jeneral Australia, Cik Sam Mostyn, yang sedang melakukan lawatan rasmi ke Singapura, telah menganugerahkan Encik Lee darjah Pingat Sahabat Kehormat Australia dalam majlis penyampaian anugerah yang diadakan pada 5 Ogos.
“Sepanjang kerjaya politiknya selama 40 tahun, khususnya sebagai Perdana Menteri Singapura dari 2004 hingga 2024, Encik Lee telah memberi sumbangan besar dalam memperkukuh hubungan Australia-Singapura,” menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Australia.
“Beliau merupakan seorang pendukung kuat dan berpengaruh dalam (usaha) mempererat hubungan antara kededua negara, serta sentiasa memacu perjanjian dan daya usaha yang menggalakkan hubungan lebih kukuh dan saling menguntungkan,” tambah kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, hubungan ekonomi antara Australia dan Singapura telah berkembang pesat sepanjang tempoh Encik Lee berkhidmat sebagai Perdana Menteri, dengan Singapura menjadi rakan dagang dan pelabur terbesar Australia di Asia Tenggara.
Ia juga menggariskan usaha Encik Lee mengawasi dan menerajui enam pindaan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura-Australia (SAFTA), sebuah perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama Canberra dengan negara Asia, lapor The Straits Times (ST).
Ia dilakukan agar perjanjian itu kekal relevan dan “bersiap sedia menghadapi perubahan dalam teknologi baru serta kelemahan rantaian bekalan”.
Beliau turut mengawasi pembentukan Perkongsian Strategik Menyeluruh Australia-Singapura 2015, yang berfungsi sebagai perjanjian pelbagai bidang untuk memperkukuh kerjasama antara kededua negara, menurut kenyataan itu.
Encik Lee juga secara aktif menyokong kerjasama pertahanan dan keselamatan antara kededua negara, yang menyumbang kepada keamanan dan keselamatan serantau.
Beliau juga tegas menyuarakan sokongan terhadap penyertaan Australia dalam forum utama serantau, tambah kenyataan itu.
“Sumbangan cemerlang Encik Lee kepada hubungan dua hala Australia-Singapura sememangnya layak diberi pengiktirafan kebangsaan secara rasmi,” jelas kenyataan tersebut.
Upacara yang diadakan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Australia itu turut dihadiri isteri Encik Lee, Cik Ho Ching; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam, yang juga pengerusi Kumpulan Persahabatan Parlimen Singapura-Australia.
Dalam ucapannya selepas upacara itu, Encik Lee merakamkan penghargaan kepada kerajaan Australia atas anugerah tersebut dan berkata beliau “berasa amat berbesar hati untuk menerimanya”.
“(Anugerah ini) saya terima bagi pihak generasi rakyat Singapura dan Australia yang telah berusaha gigih mengukuhkan hubungan dua hala antara kededua negara sepanjang enam dekad lalu,” ujar Encik Lee.
Menurut Encik Lee, Australia yang telah lama menjadi rakan setia Singapura, merupakan antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan republik ini dan yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengannya.
Hubungan itu, kata Encik Lee, telah menjadi semakin erat.
Kerjasama keselamatan yang bermula dengan Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) pada 1971 telah berkembang dari tahun ke tahun, dengan Australia mengalu-alukan kedatangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk menjalankan latihan di negara itu.
2025 menandakan ulang tahun ke-35 Latihan Wallaby, iaitu latihan luar negara terbesar SAF yang diadakan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia.
Selain itu, sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara kededua negara pada 2025, Encik Lee berkata beliau menantikan fasa seterusnya dalam kerjasama itu apabila Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bakal melawat Australia bagi menghadiri sesi ke-10 Mesyuarat Tahunan Pemimpin pada akhir 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg