Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah menerima anugerah seumur hidup daripada sebuah universiti di Indonesia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Singapura dalam usaha bantuan semasa tsunami 2004.
Universiti Islam Negeri Ar-Raniry di Banda Aceh pada 23 Disember telah menyampaikan Anugerah Ar-Raniry Seumur Hidup kepada SM Lee, yang diwakili oleh Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Anugerah tersebut disampaikan semasa Forum Antarabangsa Aceh 2024, yang diadakan dari 23 hingga 25 Disember untuk memperingati ulang tahun ke-20 tragedi tersebut, lapor The Straits Times.
Tsunami di Lautan Hindi itu melanda pulau Sumatera di Indonesia pada 26 Disember 2004.
Gelombang maut yang tercetus akibat gempa bumi berukuran 9.1 magnitud itu mengorbankan sekitar 230,000 orang di lebih 12 negara, termasuk Indonesia, India, Sri Lanka dan Thailand, menjadikannya salah satu bencana alam paling dahsyat yang direkodkan dalam sejarah.
Lebih separuh daripada mangsa yang terkorban adalah dari Aceh, wilayah di hujung utara Sumatera yang paling dekat dengan pusat gempa bumi yang kuat itu.
Forum Aceh dihadiri oleh wakil-wakil dari Maghribi, Turkey Amerika Syarikat, Jepun, Malaysia, Jerman dan Singapura.
Wakil-wakil dari institusi dan agensi kemanusiaan seperti Bulan Sabit Merah Turkey, Islamic Relief dan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak PBB (Unicef), turut hadir.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 24 Disember, Encik Lee berkata: “Saya sangat terharu dan berbesar hati untuk menerima anugerah ini, yang mengiktiraf sumbangan Singapura dalam usaha bantuan selepas gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 20 tahun lalu.”
Beliau menambah bahawa tsunami itu adalah salah satu bencana alam yang terburuk dalam sejarah dan menyebabkan “kemusnahan besar serta kesedihan yang mendalam kepada rakyat Aceh”.
Dengan kerjasama rapat bersama pemerintah Indonesia, Singapura memberikan bantuan dan turut serta dalam usaha kemanusiaan antarabangsa.
“Saya tidak akan pernah lupa lawatan saya ke Aceh selepas tsunami, menyaksikan kemusnahan dan merasai kehilangan nyawa yang begitu banyak.
“Dalam 20 tahun sejak itu, Aceh telah mencapai kemajuan besar dalam pemulihannya, dan muncul sebagai sebuah wilayah yang dinamik penuh dengan potensi,” tambah Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg