Golongan pendatang penting dan diperlukan dalam tenaga kerja Singapura, serta amat diperlukan dalam mengendalikan seluruh sistem negara ini, kata Menteri Kanan (SM), Encik Lee Hsien Loong.
Namun demikian, SM Lee menekankan walaupun mereka dialu-alukan di Singapura, kaum pendatang itu perlu sedar dan menghormati norma yang mengatur masyarakat setempat.
Beliau, yang berkongsi pengamatannya dalam satu sesi dialog di Chatham House di London pada 27 Oktober sempena lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK) dari 25 hingga 28 Oktober, berkata disebabkan pendatang membentuk sepertiga tenaga kerja Singapura, beberapa isu keselamatan perlu diberi perhatian.
Antara isu yang diketengahkan termasuk risiko keselamatan, pertikaian dan isu dari negara asal yang mereka bawa ke Singapura, serta isu sosial, jelasnya.
Menjawab pertanyaan mengenai dasar imigresen di Singapura dan bagaimana pemerintah dapat mengurangkan risiko yang berkaitan dengannya, SM Lee berkata:
“Masalah imigresen tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Ini semua melibatkan pertimbangan dan tolak ansur.”
Menggariskan keperluan pekerja migran di sini, SM Lee menambah:
“Sepertiga daripadanya (pekerja) – lebih daripada sejuta orang – ialah warga asing.
“Daripada ketua pegawai eksekutif bank dan syarikat berbilang negara kepada karyawan mahir dalam pelbagai bidang, pekerja binaan dan pekerja tidak mempunyai atau kurang kemahiran, (mereka) amat diperlukan untuk mengendalikan keseluruhan sistem kami.”
Menurutnya lagi, Singapura tetap akan memberi kemudahan kepada mereka, dan memastikan agar mereka memahami peraturan di sini.
Di samping itu, beliau berharap rakyat Singapura dapat bertimbang rasa terhadap golongan pekerja migran ini.
“Mereka (pekerja imigran) juga mempunyai keluarga dan anak-anak di negara asal, dan kita mempunyai tanggungjawab terhadap mereka selagi mereka berada di sini,” tambahnya.
SM Lee turut akur ia bukanlah satu keseimbangan yang mudah untuk dicapai, terutama sekali isu itu juga mudah untuk dipolitikkan dan diperbesarkan.
Ia telah menjadi isu hangat dibincangkan oleh anggota politik serta menjadi isu utama semasa Kempen Pilihan Raya, katanya.
“Namun, jika semua (kaum pendatang) dihantar pulang, hasilnya tidak membawa kebaikan, dan terdapat contoh di negara lain yang pernah melakukannya,” ujar beliau.
Lantas, SM Lee berkata selagi mana pekerja migran berada di sini, mereka perlu memahami norma kehidupan di sini.
Menurutnya, mereka perlu tahu jika berada di Singapura, mereka tidak seharusnya memperagakan kekayaan mereka.
Memberikan contoh golongan yang memandu kereta Ferrari atau Lotus di tengah jalan pada waktu malam untuk menunjukkan kehadiran mereka di sini, SM Lee berkata:
“Mungkin anda tidak sangka perkara ini perlu diingatkan kepada sesiapa, tetapi kadangkala ia berguna untuk menegaskan perkara ini kepada mereka.”
Mengulas mengenai pelaksanaan dasar kaum pendatang di Singapura dengan cara yang tidak bersifat diskriminasi, SM Lee berkata pemerintah tidak boleh bersikap berpandukan pelbagai arah atau omnidirectional dalam mengambil pekerja migran – menerima pekerja dari mana-mana sahaja tanpa memikirkan kesannya.
“Kita cuba mengurus keseluruhan pakej supaya secara keseluruhan, saya bukan sahaja mempunyai ekonomi yang mempunyai tenaga kerja yang diperlukan, malah kita juga mempunyai masyarakat yang boleh mengekalkan identiti dan perpaduan,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg