Walaupun Singapura mencatat prestasi yang baik pada 2025, dunia masih dalam keadaan tidak menentu dan rakyat Singapura harus terus meningkatkan diri mereka untuk kekal berguna dan dihargai, kata Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong pada 17 Januari.
Selain individu, syarikat juga perlu menyesuaikan dengan dunia yang tidak menentu untuk kekal berdaya saing dan terus menawarkan pekerjaan yang baik kepada rakyat Singapura.
Encik Lee, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, berucap di majlis Anugerah Edusave Teck Ghee serta majlis penyampaian Dermasiswa Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Teck Ghee di Sekolah Rendah Teck Ghee.
Lebih 900 pelajar di Teck Ghee menerima anugerah sebagai mengiktiraf perwatakan, kepimpinan dan prestasi akademik mereka.
Enam kategori anugerah itu ialah: Biasiswa Edusave, Dermasiswa Merit Edusave, Anugerah Kemajuan Baik Edusave, Anugerah Edusave bagi Pencapaian, Kepimpinan dan Perkhidmatan (Eagles), Anugerah Perwatakan Edusave dan Anugerah Kemahiran Edusave.
Bercakap kepada penerima anugerah dan keluarga mereka, Encik Lee menyatakan pencapaian Singapura pada 2025, dengan pertumbuhan hampir lima peratus dalam ekonomi, telah meningkatkan pendapatan dan merendahkan inflasi.
“PSA Singapura dan Lapangan Terbang Changi kita terus menunjukkan prestasi yang baik.
“Kedua-duanya memecahkan rekod. PSA mengendalikan lebih daripada 44 juta kontena pada 2025 dan ini merupakan satu rekod.
“Changi pula mengendalikan 70 juta penumpang pada 2025, jumah tertinggi sepanjang masa, malah lebih tinggi daripada sebelum Covid.
“Jadi kita berada di kedudukan yang baik dalam dunia yang bermasalah,” kata Encik Lee.
Tambah Encik Lee lagi: “Terdapat banyak negara serta MNC (syarikat berbilang negara) serta pelabur yang memberitahu mereka berharap mereka juga seperti Singapura.
“Jadi, apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku di Singapura?
“Ini kerana kita stabil, kita mudah diramal, kita selamat dan kita boleh dipercayai.
“Jadi kita menonjol dan kita menjadi tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan dan rakan kongsi yang diidamkan.
“Oleh itu, kita boleh menantikan tahun ini dan masa depan dengan yakin.”
Walaupun begitu, dunia masih dalam keadaan berubah-ubah, katanya, memetik rancangan Amerika Syarikat untuk mengambil alih Greenland dan perang perdagangannya yang berterusan dengan China.
Ketidakseimbangan dalam perdagangan dunia berkemungkinan akan mengakibatkan negara lain mengenakan tarif dan halangan import untuk melindungi diri mereka sendiri.
Justeru rakyat Singapura tidak boleh berpeluk tubuh dengan kejayaan mereka.
Sebaliknya, mereka harus meningkatkan diri dengan mempelajari kemahiran baru seperti kecerdasan buatan (AI) untuk kekal berguna dan dihargai, serta dapat memberi sumbangan dan menjaga diri mereka sendiri.
“Kita mesti mengambil perkara ini dengan sangat, sangat serius.
“Kita tidak boleh membantu dengan apa yang berlaku di dunia, tetapi kita boleh terus melakukan yang terbaik untuk diri kita sendiri dan untuk anak-anak kita.,” katanya.
Untuk membantu rakyat Singapura meningkatkan diri mereka, pemerintah akan terus membangunkan program bagi menyokong individu dan perniagaan dan juga melabur dalam golongan muda dengan sentiasa menaik taraf sekolah, serta menyediakan kurikulum dan guru yang lebih baik.
Encik Lee berkata: “Kami bukan sahaja menyasarkan kemahiran akademik anda, tetapi juga pembentukan diri anda secara menyeluruh.
“Kemahiran, pengetahuan ia penting tetapi pada masa yang sama juga, kami mahu menyemai anda dengan nilai, dengan daya tahan, dengan identiti Singapura.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg