Sepanjang khidmat beliau sebagai Perdana Menteri (PM), Encik Lee Hsien Loong mempunyai pemikiran jelas tentang apa yang patut beliau lakukan dan keputusannya sentiasa berdasarkan “apa yang terbaik untuk negara dan cara memperbaiki kehidupan rakyat Singapura”.
Ini meskipun ketika beliau terpaksa mengambil keputusan sukar dalam menangani isu-isu besar seperti tempoh krisis kewangan dan pandemik Covid-19.
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, berkata demikian semasa sesi temu bual bersama media dengan beliau berkongsi pengalamannya bekerja dengan Encik Lee selama beberapa dekad.
“Beliau sentiasa berfikiran jelas tentang apa yang perlu dilakukan – iaitu yang terbaik untuk negara. Dan itulah yang sentiasa menjadi fokusnya.
“Beliau sangat jelas bahawa itulah tanggungjawabnya – yang terbaik untuk negara, yang terbaik untuk meningkatkan kehidupan warga Singapura.
“Ini agak berbeza daripada beberapa struktur politik dan negara lain dengan kewujudan politik anda dari hari ke hari menjadi pertimbangan khusus anda,” ujar Encik Teo.
Encik Teo, 69 tahun, berkongsi bahawa beliau mengenali Encik Lee, 72 tahun, sebelum mereka menceburi politik pun, iaitu ketika mereka berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Oleh itu, beliau cukup kenal dengan gaya kepimpinan Encik Lee.
Memberi contoh, Encik Teo berkata sehari dua setelah kejadian rusuhan di Little India, Encik Lee terpaksa berangkat ke luar negara dan telah menyerahkan tanggungjawab menguruskan perkara tersebut kepada beliau.
“Setiap hari saya akan rumuskan situasi dan beritahu rakan kerja lain apa yang telah berlaku serta apa yang akan dilakukan dalam hari-hari mendatang.
“Beliau (Encik Lee) turut menyertai sesi-sesi tersebut tetapi beliau berikan kebebasan kepada saya jalankan tugas.
“Dari sudut pandangan tersebut, beliau amat baik dalam memberikan ruang kepada anggota kumpulannya melakukan tugas mereka, tetapi beliau tetap kekal terhubung dengan apa yang berlaku,” katanya.
Malah, Encik Teo menambah bahawa sepanjang beliau ditugaskan mengetuai pelbagai kementerian berbeza, jarang beliau perlu merujuk kepada Encik Lee sebelum membuat keputusan.
“Beliau berikan saya ruang menguruskan kementerian itu, tetapi semestinya, bagi isu-isu besar, kami akan berbincang.
“Saya rasa itu cara beliau bekerja dan itulah cara beliau suka bekerja dengan menteri-menteri lain juga – anda tahu apa tanggungjawab anda, anda teruskan kerja, tetapi anda juga tahu bila untuk berunding.”
Meskipun memiliki pandangannya sendiri, Encik Lee bukanlah seorang yang tidak akan mendengar cadangan orang lain, tambah Encik Teo.
Ini jelas lebih-lebih lagi ketika beliau perlu membuat banyak keputusan besar dan sukar semasa pandemik Covid-19.
“Beliau mempunyai pandangannya sendiri, tetapi beliau mendengar dengan teliti pandangan yang berbeza – daripada karyawan penjagaan kesihatan, dari sektor sosial, MTI (Kementerian Perdagangan dan Perusahaan) – bagaimana ia akan memberi kesan kepada ekonomi, dari bahagian pengangkutan... ini semua adalah pertimbangan yang sangat utama.
“PM mendengar. Beliau mempunyai pandangan sendiri yang kuat tetapi beliau mengambil masa mendengar orang lain dan memahami pandangan berbeza sebelum beliau membuat keputusan, dan beliau mendengar bukan sahaja kepada menteri tetapi juga daripada golongan profesional,” jelas Encik Teo lagi.
Menjelang 15 Mei, Encik Lee bakal berundur sebagai Perdana Menteri dan mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Namun, sumbangan beliau kepada negara tidak dititik noktah di situ.
Kata Encik Teo, Encik Lee masih ada banyak lagi untuk disumbang kepada negara, meski dalam kapasiti dan peranan yang berbeza.
“Pengalamannya, kebijaksanaannya, hubungan yang telah beliau bina serta perspektif yang boleh beliau kongsi – itu semua sumbangan yang sangat berharga.
“Jika anda bercakap tentang mendapatkan perunding, inilah perunding paling berharga yang mungkin anda miliki.
“Saya menganggap ini sumbangan berterusan beliau dan ia adalah sesuatu yang amat bertuah bagi kita yang kita miliki di Singapura,” ujar Encik Teo.
“
“Beliau sentiasa berfikiran jelas tentang apa yang perlu dilakukan – iaitu yang terbaik untuk negara. Dan itulah yang sentiasa menjadi fokusnya. Beliau sangat jelas bahawa itulah tanggungjawabnya – yang terbaik untuk negara, yang terbaik untuk meningkatkan kehidupan warga Singapura.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg