Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, telah menyampaikan permohonan Singapura agar ditambah kuota haji bagi negara ini semasa lawatan beliau ke Riyadh, Arab Saudi.
Beliau juga lahirkan penghargaan Singapura kepada Arab Saudi kerana memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji Singapura semasa mereka menunaikan rukun Islam kelima itu.
Bagi musim haji 2024, Singapura diperuntuk kuota rasmi 900 jemaah.
Kuota haji rasmi Singapura adalah berdasarkan 0.1 peratus penduduk Islam di Singapura. Formula 0.1 peratus itu diputuskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1987.
Satu laporan Berita Harian pada Mac mengatakan sekitar 54,000 warga Singapura kini dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji, dengan sekitar 5 peratus berumur 18 tahun dan ke bawah.
Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, melakukan lawatan ke Arab Saudi dari 30 November hingga 2 Disember.
Semasa di Riyadh, beliau bertemu kerabat diraja dan menteri kanan Arab Saudi, menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 3 Disember.
Ini termasuk Menteri Pertahanan, Putera Khalid Salman Abdulaziz Al Saud; Menteri Pengawal Negara, Putera Abdullah Bandar Abdulaziz Al Saud; Menteri Negara bagi Ehwal Luar dan Utusan Iklim, Encik Adel Al Jubeir; dan Naib Menteri Ehwal Dalam Negeri, Dr Nasser Al Dawood.
Dalam pertemuan itu, mereka menekankan kerjasama dua hala yang semakin berkembang menyusuli pembentukan Kerjasama Strategik Arab Saudi-Singapura pada Oktober 2023.
Mereka turut menegaskan rancangan transformasi Visi 2030 Arab Saudi telah mewujudkan peluang bagi kedua-dua negara.
Encik Teo menulis di Facebook:
“(Kami) bincangkan cara memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti pertahanan, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, ketersambungan, dan usaha menentang radikalisasi, untuk terus bina Kerjasama Strategik yang telah kami tubuhkan pada 2023.
“Sedang Arab Saudi menjalani transformasi di bawah Visi 2030, lebih banyak peluang akan muncul bagi kedua-dua negara untuk terlibat dalam projek yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua belah pihak.”
Encik Teo turut membincangkan perkembangan sejagat dan rantau bersama, termasuk situasi di Gaza dan Levant.
Semasa di Riyadh, Encik Teo menaiki kereta api Riyadh Metro yang baru pada hari pertama operasi awamnya.
Merangkumi enam laluan, 85 stesen dan landasan sepanjang 176 kilometer, Riyadh Metro adalah sistem metro terbesar di Timur Tengah dan projek pengangkutan massa tanpa pemandu terpanjang di dunia, tulis Encik Teo di Facebook.
Encik Teo turut mengunjungi tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) At-Turaif di Diriyah, yang pernah menjadi nadi Amiriah Diriyah dan dikenali juga sebagai negara Arab Saudi yang pertama serta pusat pemerintah Al-Saud pada abad ke-18 dan awal ke-19.
Laporan lanjut di Muka 4


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg