Topik diikuti
Pergi ke BHkuSoalan pensyarah di London cetus carian salasilah Bawean
Soalan pensyarah di London cetus carian salasilah Bawean
Tugasan akademik berkembang kepada proses pencarian identiti, warisan
Soalan pensyarah di London cetus carian salasilah Bawean
Soalan ringkas diajukan seorang pensyarah mencetuskan perjalanan Cik Fathiah Abdussamad – yang sedang mengikuti pengajian sarjana di The King’s Foundation School of Traditional Arts di London – untuk mencari semula akar keturunan Bawean dan sejarah keluarganya.
Anak kedua dalam tiga beradik itu membesar dengan menganggap dirinya seorang Melayu dan rakyat Singapura.
Namun kenangan terhadap arwah neneknya, serta sehelai kain batik milik keluarga kemudian mengeratkan hubungan beliau, 38 tahun, dengan warisan tersebut.
Ahli kaligrafi Arab dan penggiat seni batik itu, yang menamatkan pengajian dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab serta Kaligrafi di Universiti Al-Azhar, Kahirah, pada 2013, merupakan antara ahli panel yang berkongsi pengalaman menelusuri salasilah keluarga semasa Hari Carian Keturunan Melayu (Malay Ancestry Search Day) pada 6 Jun lalu.
Acara yang berlangsung di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara dan dianjurkan Persatuan Genealogi Singapura (GSS) itu menggalak rakyat Singapura meneroka serta mendokumentasikan sejarah keluarga mereka.
“Saya beritahu pensyarah saya bahawa saya orang Melayu dan Singapura. Namun, pensyarah tersebut terus bertanya mengenai asal usul keluarga saya sebelum mereka tinggal di Singapura,” kongsi Cik Fathiah.
Apabila beliau menjelaskan bahawa kedua-dua belah keluarganya berasal dari Pulau Bawean di Indonesia, pensyarah itu menggalaknya untuk meneroka warisan tersebut dengan lebih mendalam.
“Ketika itu saya mula sedar bahawa saya sebenarnya tidak tahu banyak tentang asal usul keluarga saya sendiri,” katanya.
Minat itu kemudiannya diperkukuh oleh kenangan terhadap arwah neneknya dan sehelai kain batik milik keluarga yang sering mengingatkannya kepada warisan yang semakin jauh daripada generasi muda.
Bagi Cik Fathiah, apa yang bermula sebagai tugasan akademik akhirnya berkembang menjadi pencarian identiti, warisan dan rasa kekitaan.
Melalui perbualan dengan ahli keluarga, penduduk kampung dan warga tua di Pulau Bawean, beliau mula mengumpulkan cebisan kisah yang selama ini hanya disampaikan secara lisan.
Antara penemuan yang paling mengejutkannya ialah apabila beliau mendapati keluarganya bukan sahaja mempunyai akar Bawean, malah turut mempunyai pertalian dengan masyarakat Jawa.
“Saya sangka keluarga saya hanya berketurunan Bawean. Tetapi selepas bercakap dengan orang-orang tua dan meneliti sejarah keluarga, saya mendapati terdapat juga keturunan Jawa dalam salasilah kami,” katanya.
Penemuan itu mengubah cara beliau melihat identitinya sendiri.
“Dulu saya hanya melihat diri saya sebagai orang Melayu dan Singapura.
“Sekarang saya lebih memahami daripada mana keluarga saya datang dan bagaimana sejarah mereka membentuk diri saya hari ini,” katanya.
Menurutnya, pencarian tersebut turut membantu menjelaskan beberapa tradisi yang diamalkan keluarganya, termasuk penekanan terhadap pendidikan agama dan kecenderungan untuk merantau.
“Bila kita tahu asal usul keluarga, kita mula memahami kenapa ada nilai tertentu yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain,” katanya.
Malah, pencarian warisan itu turut mempengaruhi perkembangan seninya.
Ketika melanjutkan pengajian di London, beliau pada mulanya merancang mahu menumpukan kajian kepada seni kaligrafi Islam.
Namun, selepas mula meneroka warisan keluarganya, beliau beralih kepada penyelidikan mengenai batik dan budaya Jawa, yang kemudiannya menjadi sebahagian penting daripada karya seni yang dihasilkannya.
Menurut pakar di Arkib Negara Singapura (NAS), Encik Muhammad Alif Zaini, 33 tahun, usaha mendokumentasikan sejarah keluarga semakin penting memandangkan semakin banyak kisah dan kenangan keluarga berisiko hilang apabila generasi lama meninggal dunia.
“Gambar lama, dokumen keluarga dan juga kenangan yang dikongsi oleh ahli keluarga boleh membantu seseorang membina sejarah keluarganya sendiri,” katanya.
Beliau menambah bahawa kisah keluarga bukan sahaja penting kepada individu, malah menyumbang kepada pemahaman lebih luas tentang sejarah Singapura dan rantau Nusantara.
Bagi Cik Fathiah, perjalanan mencari salasilah keluarganya masih belum berakhir.
“Ramai orang fikir genealogi adalah tentang mengetahui masa lalu. Bagi saya, ia juga tentang memahami masa depan.
“Apabila kita tahu daripada mana kita datang, kita lebih memahami apa yang ingin kita wariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
