Buat julung-julung kalinya, Masjid Alkaff Kampung Melayu bakal menjadi benefisiari bagi pameran berskala besar di sini, Halal International 2024, anjuran MegaXpress International Pte Ltd.
Pameran di Singapore Expo di Dewan 5A itu akan diadakan pada Jumaat, 29 November hingga Ahad 1 Disember 2024.
Kutipan yang diterima bagi acara tiga hari di ekspo itu akan membantu masjid bagi projek peningkatan yang akan bermula pada 2025.
Menurut Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman, pihaknya amat berbesar hati dan bersyukur kerana diberi kesempatan menjadi benefisiari pada pameran Halal 2024.
“Alhamdulillah, Masjid Alkaff Kampung Melayu begitu teruja diberikan kesempatan buat kali pertama menjadi benefisiari pada acara Singapore Expo yang gah ini. Kami amat berterima kasih kepada pihak penganjur, MegaXpress International.
“Masjid kami bakal menjalankan kerja peningkatan yang besar pada 2025. Dengan kesempatan di ekspo ini juga, kami dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap projek peningkatan ini serta dana yang diperlukan.
“Selain itu, kami juga ingin mempromosikan program kerohanian yang telah kami lakar dan sediakan di masjid ini, antaranya kelas ‘Iqra dan Quran’ dan kumpulan selawat yang kami sediakan untuk kaum Muslimah dan warga belia kita,” jelas Ustazah Nursakina.
Bagi acara di Singapore Expo ini, Ustazah Nursakina berkata pihak masjid bakal menyediakan pelbagai kegiatan menarik dan interaktif seperti forum, persembahan nasyid dan selawat.
Relawan masjid, Bangladeshi Brothers, pula bakal menghiburkan pengunjung dengan skit pendek yang mereka hasilkan.
Selain itu, Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap dapat mengumpulkan $100,000 sepanjang ekspo itu, dan reruai mereka terletak di L29.
Beg cenderahati, atau ‘goodie bag’, dijual $10 setiap satu, dan setiap beg ini mengandungi pelbagai barangan menarik seperti biskut, air, dan snek lain.
Kaunter infak turut disediakan di beberapa sudut di sekitar kawasan ekspo, bagi memudahkan orang ramai menghulurkan derma.
Pihak masjid turut menjual pelbagai barangan lain seperti tudung bagi acara kutipan dana.
“Kami menyediakan infak board, atau papan infak, untuk pengunjung menderma, dan penderma boleh isikan kotak-kotak dengan jumlah yang mereka inginkan.
“Setiap sumbangan bermula daripada $100, $200, $500 atau $1,000, kami akan isikan di kotak tersebut.
“Kami juga akan menjual barangan di reruai kami seperti produk daripada masjid sendiri dan barangan lain seperti daripada jenama Tashkila, Maqayla dan Tarbiyyah Games.
“Jenama-jenama ini bekerjasama dengan pihak masjid dan menaja barangan mereka untuk dijual dan hasil keuntungan seluruhnya diberikan kepada dana peningkatan masjid ini,” ujarnya.
Pihak masjid juga mengharapkan sokongan berterusan daripada orang ramai, khususnya masyarakat Islam di sini.
“Kami berharap masyarakat Islam kita dapat bersatu hati dan terus menyokong pembinaan masjid di sini demi kebaikan ummah. Kami juga ingin melihat lebih ramai lagi belia kita yang terus berminat dan mengikuti acara-acara di masjid ini.
“Kami di Masjid Alkaff telah merancang banyak kegiatan dan acara menarik lagi bermanfaat untuk kebaikan generasi muda kita.
“Kami berharap mereka akan menjadikan masjid sebagai ruang dan tempat yang selesa dikunjungi pada setiap waktu,” tambah Ustazah Nursakina.
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg
2. Hantarkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg