Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekad jadi lulusan politeknik pertama dalam keluarga dengan sokongan AMP 

Aug 15, 2025 | 5:30 AM
Penuntut Politeknik Republic (RP), Encik Muqlish Suhaime, bertekad mahu menyelesaikan pengajian diplomanya dalam jurusan Pengurusan Hospitaliti dan Hotel supaya beliau dapat memenuhi cita-citanya menjadi pengurus hotel pada masa depan.
Penuntut Politeknik Republic (RP), Encik Muqlish Suhaime, bertekad mahu menyelesaikan pengajian diplomanya dalam jurusan Pengurusan Hospitaliti dan Hotel supaya beliau dapat memenuhi cita-citanya menjadi pengurus hotel pada masa depan. - Foto AMP SINGAPURA

Demi meraih pendapatan untuk menanggung perbelanjaan keperluan sendiri, penuntut Politeknik Republic (RP) dalam jurusan Pengurusan Hospitaliti dan Hotel, Encik Muqlish Suhaime, 21 tahun, sanggup bersengkang mata hampir setiap hari.

Bersekolah di sebelah pagi dan bekerja di sebelah petang hingga tengah malam, pencari nafkah utama dalam keluarganya itu hanya dapat tidur selama sekitar tiga jam sebelum terpaksa bangun pagi untuk bersiap sedia ke politeknik.

Namun, istilah penat tidak pernah terlintas dalam kamus Encik Muqlish yang bekerja sebagai penyambut tamu di sebuah hotel, enam kali seminggu termasuk hujung minggu.

Malah, berbekalkan pengalaman di tempat kerja, ia mengajarnya agar mengurus masa dengan lebih cekap, bijak menghuraikan masalah dan bersikap tenang apabila perlu menyelesaikan pelbagai tugasan pengajian.

Dengan bekerja, ia turut memberinya semangat untuk menyelesaikan pengajian diplomanya supaya beliau dapat memenuhi cita-citanya menjadi pengurus hotel pada masa depan.

“Saya mahu menjadi orang pertama dalam keluarga saya mempunyai kelulusan diploma supaya saya dapat menjana pendapatan yang lebih mantap dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” kata Encik Muqlish.

Di sebalik senyuman remaja itu, tiada sesiapa tahu jerih perih kehidupannya dengan pelbagai cabaran tersembunyi.

Pemergian ibu beri dorongan

Ibu bapa Encik Muqlish sudah bercerai dan beliau membesar di sebuah flat sewa dua bilik bersama ibu dan tiga kakaknya.

Malangnya, ibu Encik Muqlish meninggal dunia secara mendadak pada 2019 semasa beliau berusia 15 tahun akibat serangan jantung.

Ketiga-tiga kakaknya – yang kini berusia 28 tahun, 29 tahun dan 31 tahun dan sudah berumah tangga – terpaksa berhenti sekolah untuk menampung perbelanjaan isi rumah.

Pemergian ibunya menyebabkan beliau menghadapi tekanan emosi.

“Saya rapat dengan arwah ibu, sebab dia selalu bersama saya.

“Jarak usia antara saya dengan kakak saya jauh. Lagipun, mereka sudah kahwin dan ada keluarga sendiri. Selepas ibu meninggal dunia, saya tidak tahu hendak buat apa dengan kehidupan saya,” kata Encik Muqlish.

Bapanya pula dipenjarakan beberapa bulan selepas ibunya meninggal dunia.

Encik Muqlish terpaksa bersilih ganti menumpang tinggal di rumah ketiga-tiga kakaknya yang jauh dari sekolah menengahnya.

Namun, dengan sokongan daripada kakak, kawan dan gurunya, beliau berusaha mengatasi kesedihannya dan memberi tumpuan kepada pelajarannya.

“Walaupun mengambil masa hampir setahun untuk kembali seperti biasa, saya tahu arwah ibu pasti mahu saya meneruskan pelajaran.

“Itulah yang menjadi sumber kekuatan dan motivasi saya untuk kembali ke sekolah,” ujar Encik Muqlish.

Terpaksa sara hidup sendiri

Hasil kecekalan Encik Muqlish, beliau berjaya mengikuti pengajian Nitec dan Nitec Lanjutan dalam jurusan Operasi Hospitaliti di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat sebelum menyambung pengajiannya di Politeknik Republic kini.

Bagaimanapun, soal kewangan sering kali timbul di benak fikirannya.

Ekoran itu, beliau mula bekerja sambilan dalam bidang runcit sejak menuntut di ITE kerana perlu menampung perbelanjaan keperluan sendiri.

Beliau mencari pekerjaan dalam bidang hospitaliti pada 2024.

Ia selepas beliau menjalani latihan amali di sebuah hotel semasa di ITE.

“Pengalaman menjalani latihan di hotel membuat saya tertarik hendak meneroka lebih lanjut tentang bidang hospitaliti.

“Saya suka membuat tamu hotel berasa selesa dan gembira sambil menanya khabar mereka,” kata Encik Muqlish yang kini kembali tinggal bersama bapanya di flat sewa dua bilik.

Katanya lagi:

“Sekarang, yang mendorong saya untuk belajar dan bekerja adalah kerana saya perlu mencari wang belanja sendiri untuk menampung kehidupan saya.

“Saya harap dapat menjadi lulusan Politeknik Republic dan cepat-cepat menjalani Perkhidmatan Negara supaya saya boleh kerja sepenuh masa dan ada kewangan stabil.”

Sokongan AMP kurangkan beban kewangan

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, beliau bersyukur apabila tersenarai sebagai penerima dermasiswa AMP dan menerima bantuan melalui Dana Siap Ke Sekolah RFS AMP pada 2025.

Sokongan dana bernilai $500 dalam bentuk wang tunai itu mengingatkannya bahawa beliau tidak bersendirian.

Ia menyuburkan impiannya untuk mengubah kehidupan diri dan keluarganya.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan ini. Sekurang-kurangnya, ia membantu meringankan beban kewangan dan tekanan saya,” kata Encik Muqlish yang membuat permohonan bagi mendapatkan dana itu.

Kepada belia yang mungkin mengalami kesempitan hidup sepertinya, beliau menasihatkan agar mereka membuat kajian tentang bantuan kewangan yang sedia ada di luar sana.

Agar golongan belia tidak terlalu cepat mengadili kawan-kawan sebaya, beliau menambah:

“Anda tidak tahu jika kawan ada sedang merana, jadi cuba kenal dan faham keadaan mereka.”

SEKILAS I:

Maklumat mengenai Dana Siap Ke Sekolah (RFS) AMP

– Dilancarkan pada 2002, ia membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk membuat persediaan ke sekolah.

– Sejauh ini, Dana RFS telah mengagihkan $5.56 juta bagi membantu lebih 20,000 pelajar.

SEKILAS II:

Salurkan sumbangan anda kepada Dana Siap Ke Sekolah (RFS) AMP menerusi:

1. Laman web, ampdonate.sg/rfs

⁠2. PayNow ke UEN199105100D. Di ruang komen, catatkan <Nombor NRIC> diikuti dengan <RFSBM>. Contoh: S1234567A RFSBM. Sila hantar salinan transaksi ke talian WhatsApp 9737-2558.

3. E-mel kepada fundraising@amp.org.sg, atau hubungi talian 6416-3966 untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg