Pengorbanan ibu tiada batasnya. Semuanya dilakukan demi anak-anak tercinta.
“Ibu sanggup berlapar, asalkan kami adik-beradik kenyang.”
Itulah yang diceritakan Cik Raesah (bukan nama sebenar), pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di Politeknik Nanyang. Beliau menjadikan pengorbanan ibunya sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan pembelajaran demi mengubah hidup keluarganya.
Di sebalik senyuman remaja berusia 17 tahun itu, tiada sesiapa tahu jerih perih kehidupan yang tersembunyi pelbagai cabaran.
Bukan hanya perlu bertungkus lumus belajar, bahkan beliau turut menanggung beban emosi, menyaksikan ibunya mencari rezeki bersendirian selepas ayahnya dipenjara sejak beberapa tahun lalu.
Hanya berbekalkan pendapatan $500 sebulan, ibunya yang berkhidmat sebagai pemandu bas, menggalas tanggungjawab menyara empat anak, termasuk Cik Raesah.
IBU BERLAPAR DEMI ANAK
Menurut Cik Raesah, ibunya tidak pernah mengeluh walau berdepan tekanan kerja dan kekangan kewangan.
“Saya tahu ibu penat bekerja, tapi ibu tidak pernah sesekali tunjuk rasa penat di hadapan anak-anak. Hampir setiap hari, ibu keluar awal pagi, balik lewat malam, demi mencari rezeki buat kami sekeluarga,” ceritanya.
Katanya, ada kala ibunya sanggup menahan lapar kerana hanya mampu menyediakan sedikit sahaja makanan harian dengan alasan sudah kenyang, semata-mata mahu memastikan anaknya makan terlebih dahulu.
“Ibu selalu cakap sudah kenyang, tapi saya tahu ibu kadang-kadang belum makan satu hari. Tapi, dia sanggup korbankan keperluan diri agar anak-anaknya sentiasa cukup makan dan mendapat pendidikan baik. Ibu akan pastikan anak-anak terurus, walaupun ibu sendiri tidak cukup rehat. Itu yang membuatkan saya rasa peluang belajar ini tidak boleh disia-siakan,” kata anak kedua empat beradik itu.
PERLU SEIMBANGKAN KEHIDUPAN
Bagi Cik Raesah, beliau perlu mengimbangi kehidupan di rumah dengan pembelajaran di sekolah.
Sebagai seorang kakak, Cik Raesah turut membantu kerja rumah, mengambil berat tentang adik-beradik, dan cuba menghilangkan tekanan ibu semampu yang boleh.
“Kehidupan memang sukar, lebih-lebih lagi, saya dan adik-adik tidak dapat rasai kehadiran seorang bapa dan ia adalah sesuatu yang berbeza daripada keluarga biasa.
“Tapi saya berjaya menempuh segala cabaran dengan sentiasa berada dalam keadaan teratur dan mengingatkan diri kenapa saya perlu gigih belajar.
“Saya percaya, pembelajaran sekolah perlu dihabiskan agar saya dapat mengubah hidup keluarga dalam jangka masa panjang.
“Jika saya mendapat pekerjaan yang baik, ia dapat meringankan sedikit beban kewangan ibu saya,” jelas Cik Raesah penuh matang.
SOKONGAN AMP KURANGKAN TEKANAN KELUARGA
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, kehidupan Cik Raesah disinari harapan baru apabila namanya tersenarai sebagai penerima dermasiswa AMP.
Sokongan itu mengingatkannya bahawa beliau tidak bersendirian dan menyuburkan impian untuk mengubah kehidupan diri dan keluarganya.
“Saya sangat bersyukur dengan bantuan ini.
“Suatu hari nanti, saya berharap dapat menamatkan pengajian, memperolehi pekerjaan stabil, sekali gus dapat membantu keluarga saya menjalani kehidupan yang lebih baik dan bahagia,” tambah Cik Raesah yang bercita-cita melibatkan diri dalam bidang perbankan.
Sempena Hari Raya Aidiladha yang mulia ini, jadikanlah pengorbanan kita kali ini dengan lebih bermakna dengan membantu lebih ramai keluarga kurang berkemampuan seperti Cik Raesah melalui sumbangan ikhlas anda kepada AMP.
Sumbangan ikhlas anda akan disalurkan kepada golongan memerlukan, termasuk menyokong pendidikan anak-anak seperti Cik Raesah dan membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah.
SEKILAS
Salurkan sumbangan anda kepada AMP hari ini:
1. Menerusi ampdonate.sg/hrh-bm
2. PayNow ke UEN199105100D. Di ruang komen, sila catatkan <Nombor NRIC> diikuti dengan <BM>. Contoh: S1234567A BM. Sila hantar salinan transaksi anda ke nombor WhatsApp 9737-2558.
* E-mel kepada fundraising@amp.org.sg atau hubungi talian 6416-3966 untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg