Topik diikuti
Pergi ke BHkuInisiatif sokong belia Melayu/Islam rebut peluang ekon baharu bakal dilancar
Zaqy: Belia Melayu/Islam perlu berani cetus idea, teroka ruang baru
Beberapa inisiatif khas untuk menyokong belia Melayu/Islam merebut peluang dalam ekonomi masa depan, memperkukuh identiti dan nilai jati diri, serta menjalin hubungan lebih kukuh dengan masyarakat bakal dilancar dalam masa beberapa bulan akan datang.
Dibahagikan kepada empat kategori berasingan, inisiatif itu dibentuk berdasarkan dapatan tinjauan enam bulan melibatkan lebih 2,600 belia Melayu/Islam berusia antara 15 dengan 35 tahun, kata Persatuan Rakyat (PA) dalam satu kenyataan pada 22 Ogos.
Ia termasuk menyediakan ruang dipercayai untuk berkongsi pandangan, memadankan belia dengan pendamping dalam industri, mengadakan panduan berhubung identiti di tempat kerja, serta wadah dalam talian yang menyatukan sumber bagi belia melibatkan diri dalam kegiatan sukarelawan dan pementoran.
Membentangkan teras inisiatif itu di Festival Belia MKuasaTiga+ (M3+) di Taman Warisan Melayu pada 22 Ogos, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan) dan Penasihat M3+, berkata belia Melayu/Islam perlu berani mencetus idea dan meneroka ruang baharu dalam dunia yang pesat berubah.
“Dunia di hadapan anak muda kita akan berubah dengan pantas. Teknologi berubah. Pekerjaan berubah. Singapura juga akan terus berubah.
“Dalam perubahan itu, saya mahu anak muda kita berada di hadapan. Bukan sekadar mengikut arus, tetapi berani mencoraknya,” kata beliau kepada sekitar 3,000 hadirin yang berhimpun untuk meraikan budaya, bakat dan komuniti belia Melayu/Islam setempat.
Encik Zaqy menambah bahawa belia akan disokong untuk mencapai aspirasi mereka yang boleh menunjukkan kejayaan masyarakat.
“Kejayaan kita lebih bermakna apabila masyarakat kita turut maju bersama,” ujar Encik Zaqy.
Acara tersebut diadakan sempena Raikan Ilmu @ Taman Warisan Melayu yang diterajui Yayasan Mendaki.
Turut hadir ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi – yang merupakan ketua bersama bagi Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam.
Pasukan petugas itu merangkumi empat agensi iaitu Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu PA (PA Mesra), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).
Cik Rahayu berkata antara dapatan utama tinjauan itu ialah belia Melayu/Islam berpegang teguh pada nilai, kepercayaan dan identiti.
Beliau berkata: “Belia Melayu/Islam di sini berpaksikan nilai-nilai murni.
“Sungguhpun mereka bercita-cita tinggi dan berteraskan nilai (yang dipegang masing-masing), mereka juga mengambil berat tentang agama, identiti, dan juga... erti kejayaan itu sendiri.”
Cik Rahayu berkata demikian sebagai mengulas usaha pasukan petugas yang telah melibatkan lebih 2,600 belia berusia antara 15 dengan 35 tahun dalam perbincangan kumpulan kecil, kegiatan belia dan tinjauan menyeluruh yang dijalankan antara November 2025 dengan April 2026.
Selain itu, tinjauan tersebut menunjukkan sikap belia Melayu/Islam berhubung kejayaan telah berubah, kata PA.
Mereka kini turut mementingkan kerjaya yang bermakna, kesejahteraan minda dan hubungan kekeluargaan yang kukuh sebagai ukuran kejayaan, melebihi ukuran kejayaan tradisional seperti gaji, kelayakan akademik dan pangkat.
Empat inisiatif yang dibentuk, Let’s Sembang, Youth Launchpad, Youth Meets Career Playbook dan Discover, selaras dengan strategi lima tahun senegara bagi pembangunan belia, iaitu Pelan Belia SG.
Let’s Sembang menyediakan ruang perbincangan selamat, sementara Youth Launchpad menghubungkan belia dengan karyawan dan industri.
Discover pula ialah wadah dalam talian yang menyatukan sumber untuk belia meneroka peluang kerjaya, sukarelawan dan pementoran.
Youth Meets Career Playbook atau Panduan Kerjaya bagi Belia bertujuan menyokong belia mengharungi cabaran di tempat kerja.
