Belia Melayu/Islam kini menyifatkan kejayaan sebagai mempunyai kerjaya bermakna, kestabilan kewangan, kesejahteraan minda yang baik, hubungan kekeluargaan erat serta kekal berpegang teguh kepada agama dan nilai murni.

Peralihan daripada takrif kejayaan tradisional seperti gaji, kelayakan berdasarkan pendidikan dan pangkat kerja itu merupakan antara dapatan utama dalam tinjauan melibatkan lebih 2,600 belia Melayu/Islam berusia antara 15 dengan 35 tahun yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam.

Antara perkara yang menjadi kebimbangan utama ialah kekurangan modal sosial yang membuka peluang untuk mereka dalam mengejar kejayaan atau membina kerjaya.

Modal sosial merujuk kepada kelebihan atau manfaat tambahan yang diperoleh jika mengenali individu yang boleh membuka peluang, membimbing keputusan serta membantu seseorang mengharungi laluan pendidikan dan kerjaya.

Anak muda tanpa rangkaian sebegitu sering kali menghadapi cabaran ketika mencari peluang serta mengemudi laluan kerjaya, jelas pasukan petugas.

Melalui tinjauan itu, sebahagian belia menyuarakan keprihatinan, bahawa walaupun peluang latihan amali, program pementoran dan panduan kerja sedia ada, ia tidak selalu mudah diakses.

Dalam ucapannya di Festival Belia M³+ pada 22 Ogos, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menyentuh perkara tersebut.

Beliau berkongsi bahawa belia benar-benar ingin dihubungkan dengan orang yang berkongsi minat yang serupa. Ini termasuk diperkenalkan kepada mentor atau peluang yang sesuai.

Belia sedar tentang minat dan kemahiran masing-masing, namun tidak semua orang mengenali individu atau mempunyai hubungan untuk mendapatkan bimbingan atau peluang yang diperlukan, jelas Encik Zaqy.

“Dua orang anak muda mungkin sama-sama berbakat dan rajin.

“Namun, seorang daripadanya secara kebetulan mengenali seseorang dalam industri tersebut, manakala seorang lagi tidak.

“Masa depan anda tidak sepatutnya bergantung pada sama ada anda mengenali individu yang sesuai atau tidak,” tambahnya.

Perkara lain yang turut diberi tumpuan termasuk persediaan belia mendepani era dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), keperluan ruang perbincangan lebih telus, tekanan kewangan dalam kalangan dewasa muda serta peranan sukan, seni dan budaya dalam memperkukuh identiti dan perpaduan masyarakat.

Sementara itu, belia yang didekati menegaskan bahawa agama kekal sebagai tonggak identiti dan hala tuju kehidupan mereka.

Antara lain, belia didapati yakin mengimbangi tanggungjawab agama dengan komitmen sekular, namun cabaran praktikal kekal wujud, seperti kekurangan ruang solat di tempat kerja.

Ketika ditemui Berita Minggu di Festival Belia M³+, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menekankan kepentingan pasukan petugas mengikuti trend terkini dan meneliti kebimbangan belia yang berubah.

“Meskipun sedia ada ekosistem usaha yang mampan dan kukuh dalam mendampingi golongan muda, landskap ini terus berkembang sejajar dengan ketegangan geopolitik serta perubahan dalam bidang AI dan teknologi.

“Justeru, kami (pasukan petugas) mahu memastikan agar sentiasa peka dengan trend terkini dan keprihatinan belia supaya inisiatif yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Dalam usaha itu, pasukan petugas kali ini melibatkan Perunding Belia daripada latar belakang lebih luas dan tidak selalu didekati.

Dengan itu, tambah Cik Rahayu, ia telah menghasilkan dapatan bermakna yang membantu dalam penciptaan inisiatif yang baharu dikemukakan.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang juga ketua bersama bagi Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam berkata, tinjauan itu telah menonjolkan kepelbagaian dalam kalangan belia.

“Menerusi usaha yang telah kami jalankan, kami berjaya mengadakan sesi perbincangan tersebut untuk memahami secara mendalam aspirasi serta hasrat mereka (belia)...”, jelasnya.

Dapatan tinjauan, yang dijalankan antara November 2025 dengan April 2026 itu dikongsi Encik Zaqy semasa Festival Belia M Kuasa Tiga+ (M³+) 2026 pada 22 Ogos, di Taman Warisan Melayu.

Lebih 2,600 belia Melayu/Islam berusia antara 15 dengan 35 tahun telah didekati menerusi sesi pendampingan kumpulan kecil, perbincangan kumpulan fokus, jangkauan luas serta tinjauan belia yang menyeluruh oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Empat inisiatif baharu bakal dilancarkan secara berperingkat dalam masa beberapa bulan akan datang untuk menangani keprihatinan belia Melayu/Islam dan menyokong aspirasi mereka sebagaimana yang diutarakan melalui tinjauan tersebut.

Inisiatif Let’s Sembang, yang diterajui oleh PA Mesra, menyediakan wadah untuk belia membina hubungan bersama individu yang mempunyai minat yang serupa, jelas Encik Zaqy.

Ia termasuk menerusi sukan, seni, budaya dan usaha kemasyarakatan.

Youth Launchpad atau Pad Pelancaran bagi belia oleh Yayasan Mendaki pula menghubungkan belia kepada pendamping, rantaian profesional serta memberi pendedahan kepada industri.

Ia bertujuan membantu belia membuat keputusan mengenai pendidikan dan kerjaya dengan lebih teliti.

Di samping itu, ia turut memperkenalkan inisiatif d-AI-ly Explorer di bawah Langkah Digital, untuk membina keyakinan menggunakan AI dan teknologi terkini.

MUIS pula akan menyediakan Youth Meets Career Playbook atau Panduan Kerjaya, bagi belia menerusi untuk membantu belia mengemudi tempat kerja sambil berpegang teguh kepada asas agama, nilai dan identiti mereka.

Sementara itu, NYC menyediakan inisiatif Discover, sebuah wadah digital sehenti yang memberi belia akses kepada pelbagai aktiviti berkaitan penerokaan kerjaya, bimbingan, jalinan sosial dan kegiatan sukarelawan mengikut cita rasa dengan mudah.

Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam – yang dibentuk oleh Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki dan NYC – ditubuhkan pada Oktober 2025 bagi memperkukuhkan pembangunan dan penglibatan belia Melayu/Islam, sejajar dengan Pelan Belia SG.

Ia dibentuk 12 Perunding Belia yang mewakili pelbagai bidang, termasuk keusahawanan, sukan, media digital, agama dan sektor perkhidmatan sosial. turut mengenal pasti beberapa trend baharu, termasuk kebimbangan belia mengenai kekurangan modal sosial dalam merancang kerjaya mereka.

Usaha mereka tertumpu kepada pembangunan kerjaya dan keupayaan untuk berjaya dalam keadaan ekonomi Singapura yang berkembang pesat, serta cara mempertingkatkan penglibatan belia dalam inisiatif peringkat nasional dan penglibatan rentas masyarakat.

Ia juga memberi tumpuan kepada pembangunan budaya dan identiti menerusi seni, sukan dan agama.

Ketika ditemui Berita Harian di Festival Belia M³+, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menekankan kepentingan pasukan petugas itu mengikuti trend terkini dan meneliti kebimbangan belia yang berubah.

Cik Rahayu, yang merupakan ketua bersama bagi Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam, berkata langkah itu penting supaya inisiatif sentiasa memenuhi keperluan belia.

“Justeru, kami (pasukan petugas) mahu memastikan agar sentiasa peka dengan trend terkini dan keprihatinan belia supaya inisiatif yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya. – LAPORAN TAMBAHAN MUHAIMIN SUZAINI