Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Melayu/Islam terus dibantu dari segi perkahwinan, keluarga

Jun 1, 2025 | 8:10 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kanan), mengunjungi salah satu reruai sempena Forum ‘Bersamamu’ anjuran Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) di Singapore Expo pada 1 Jun.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kanan), mengunjungi salah satu reruai sempena Forum ‘Bersamamu’ anjuran Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) di Singapore Expo pada 1 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Masyarakat Melayu/Islam di Singapura bertuah kerana ia mempunyai pelbagai program, inisiatif dan sokongan, baik daripada pemerintah mahupun badan-badan bukan pemerintah, bagi memperkasa dan memperkukuh jalinan perkahwinan dan kekeluargaan.

Ini meskipun masyarakat Melayu/Islam membentuk golongan minoriti di sini tetapi terus mengorak langkah ke arah wawasan Masyarakat Gemilang, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau berkata: “Walaupun kita (masyarakat Melayu/Islam) merupakan golongan minoriti, dengan adanya apa yang kita bangunkan dalam masyarakat (melalui inisiatif atau program), di samping sokongan pemerintah, kita bukan sahaja mendapat peluang.

“Kita juga dapat meraih sumber dan sokongan daripada pemerintah dan pertubuhan masyarakat bagi membangunkan institusi keluarga dan perkahwinan yang kukuh.”

Beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata demikian selepas Forum ‘Bersamamu’ anjuran Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) di Singapore Expo pada 1 Jun.

Forum bertajuk Perkahwinan: Perjalanan Cinta Hakiki itu bertujuan membantu pasangan membina asas keluarga yang kukuh melalui beberapa sesi perkongsian bersama pakar dan asatizah.

Acara tersebut, yang kini memasuki edisi ketiga sejak mula dilancarkan pada 2023, dihadiri 230 peserta, dengan Dr Faishal hadir selaku tetamu terhormat.

Menurut Dr Faishal, beliau sedang menilai usaha yang telah dijalankan setakat ini bagi masyarakat Melayu/Islam dan akan memperluaskan inisiatif bermanfaat agar ia dapat meliputi lebih ramai golongan.

Ini lebih-lebih lagi sedang beliau baru mengambil alih jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dr Faishal berkata: “Ada dalam kalangan masyarakat kita telah memberikan saya maklum balas bagaimana untuk memperbaiki dan menyuarakan keprihatinan (terhadap sesuatu inisiatif).

“Saya akan nilai dan lihat bagaimana kita boleh memperbaiki dan teruskan usaha sedia ada ini.”

Beliau menambah institusi keluarga akan tetap menjadi salah satu bidang tumpuannya, memandangkan institusi keluarga kekal penting dalam masyarakat Melayu/Islam.

Secara khususnya, beliau merujuk kepada inisiatif dan bantuan bagi membantu keluarga merangkumi “pelbagai aspek kehidupan”.

Dr Faishal menukil hasil usaha rangkaian M Kuasa Tiga (M³) bagi menyokong perkahwinan, keibubapaan, dan pembangunan awal kanak-kanak.

Di bawah rangkaian ini, setiap fasa atau peringkat dalam kehidupan sesebuah keluarga diberi sokongan melalui inisiatif seperti program pementoran dan pendampingan perkahwinan ‘Bersamamu’.

Program itu menyaksikan kadi dan naib kadi menyokong pasangan daripada sebelum mereka mendirikan rumah tangga sehingga dua tahun pertama perkahwinan mereka.

Sejak dimulakan pada Julai 2019, program yang disokong ROMM dan M³ itu telah dimanfaatkan hampir 30,000 pasangan Islam, setakat Ogos 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg