Sokongan holistik NUH bantu paramedik kembali bertugas selepas diserang angin ahmar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan holistik NUH bantu paramedik kembali bertugas selepas diserang angin ahmar

Klinik rehabilitasi beri tumpuan aspek mental, kognitif dalam proses pemulihan pesakit
Feb 11, 2026 | 6:14 PM

Sokongan holistik NUH bantu paramedik kembali bertugas selepas diserang angin ahmar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, NUH, stroke, angin ahmar, paramedic, paramedik
Hasil bantuan pasukan penjagaan kesihatan yang menyeluruh, Encik Nur Azhar Hanafiah, paramedik yang mengalami serangan angin ahmar pada Jun 2025, dapat kembali bekerja dengan lebih mudah dan yakin. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Nur Azhar Hanafiah tidak pernah menyangka bahawa beliau akan diserang angin ahmar pada usia muda.

Beliau, yang ketika itu berusia 32 tahun dan bertugas sebagai seorang paramedik, sedang menjalani hari kerja seperti biasa apabila mula kehilangan pergerakan di bahagian kanan tubuhnya secara beransur-ansur.

Encik Azhar kemudian dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) selama sebulan, di mana beliau menjalani fisioterapi setiap hari bagi mendapatkan semula kekuatan dan keupayaan bergerak.

Pada Ogos 2025, hanya dua bulan selepas beliau diserang angin ahmar, Encik Azhar menunjukkan kemajuan yang ketara dan dibenarkan kembali bertugas sebagai paramedik oleh pihak hospital menjelang hujung tahun itu.

Satu kajian antarabangsa yang diketuai penyelidik daripada Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) telah menganalisis data daripada hampir 2,000 pesakit angin ahmar berusia bawah 50 tahun, antara 2020 dengan 2022.

Menurut kajian tersebut, walaupun lebih 80 peratus pesakit muda berjaya mencapai pemulihan fungsi yang baik, hanya sekitar 60 peratus dapat kembali bekerja.

Penyelidik utama, Profesor Madya Adjung Benjamin Tan, yang juga Konsultan di Bahagian Neurologi, Jabatan Perubatan, NUH, semasa sidang media menjelaskan:

“Pekerjaan merupakan aspek penting dalam kesejahteraan, jati diri dan penglibatan sosial pesakit. Setiap pesakit angin ahmar berhak menerima sokongan sewajarnya untuk pulih sepenuhnya.

“Bagi pesakit yang lebih muda khususnya, visi NUH adalah untuk membantu mereka agar berupaya kembali ke bekerja.”

Bagi melaksanakan tujuan ini, NUH telah menubuhkan Klinik Return To Work (RTW – Kembali Bekerja) yang dianggotai oleh pakar neurologi, pakar perubatan rehabilitasi, ahli terapi pekerjaan serta pengurus kes angin ahmar.

Klinik RTW memberi tumpuan kepada aspek mental dan kognitif dalam proses pemulihan pesakit angin ahmar.

Pengurus kes Encik Azhar di Klinik RTW, Cik Magdalene Chia, menjelaskan kepada Berita Harian (BH) bahawa pengurus kes angin ahmar memberi tumpuan kepada aspek emosi, keyakinan diri serta cabaran sosial lain yang dihadapi pesakit.

Tahap emosi, keyakinan dan kesejahteraan keseluruhan Encik Azhar dinilai melalui alat saringan berstruktur, seperti soal selidik kebimbangan dan kemurungan, bagi membantu beliau mengesan sebarang gejala gangguan perasaan pada peringkat awal.

Sebagai satu-satunya pencari nafkah yang menyara bapa dan neneknya, Encik Azhar, yang kini berusia 33 tahun, berkongsi:

“Kebimbangan utama saya bukanlah serangan angin ahmar itu sendiri, tetapi sama ada saya masih mampu menyara keluarga.

“Pada masa yang sama, saya sendiri memerlukan penjagaan, jadi perkara ini memberi sedikit tekanan kepada saya,” katanya.

Encik Azhar turut berkongsi bahawa penilaian di Klinik RTW membantunya lebih memahami keadaan mental yang dialaminya selepas serangan angin ahmar, sekali gus memberi panduan lebih jelas untuk mengurus keletihan, tekanan dan rasa ragu terhadap diri sendiri ketika bersiap untuk kembali bertugas sebagai paramedik.

Pada masa yang sama, beliau menjalani program pemulihan di Persatuan Cacat Anggota (SPD), di mana ahli fisioterapi dan terapi pekerjaan menjalankan latihan kekuatan, serta pemulihan berasaskan senario yang disesuaikan dengan tugasnya sebagai paramedik.

Ini termasuk latihan simulasi dalam ambulans, latihan angkat berat dan latihan prosedur bagi memastikan beliau mampu memenuhi tuntutan kerja kecemasan secara fizikal dengan selamat.

Selepas mengambil semula dan lulus ujian pensijilan yang diperlukan pada Disember 2025, selain melengkapkan penilaian kecekapan pada Januari di bawah pengawasan juruaudit yang turut menyertainya semasa panggilan kecemasan, beliau dibenarkan kembali bertugas secara rasmi.

Bagi Encik Azhar, sokongan pelbagai disiplin daripada Klinik RTW serta program pemulihan di SPD amat penting dalam memudahkan kepulangannya ke alam pekerjaan, sekali gus membolehkan beliau terus menyara keluarganya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg