Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ebby Saiful: Arwah Isma Aliff mahu jumpa isteri, anak selepas sembuh

Jan 8, 2026 | 6:48 PM
Isma Aliff, Ebby Saiful
Pelakon veteran, Ebby Saiful (kanan) sering melawat pelawak veteran, Allahyarham Isma Aliff (kiri) bersama rakan mereka yang lain di kediamannya di Kampung Melayu Ampang sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. - Foto EBBY SAIFUL/BHM

Sahabat baik Allahyarham Isma Aliff, iaitu pelakon veteran, Ebby Saiful sedih tidak dapat berada di sisi rakannya yang dijemput Ilahi pada 7 Januari.

Ebby, 67 tahun, yang berada di Sarawak, Malaysia sejak lebih seminggu lalu, memberitahu beliau sering menemani arwah yang tinggal bersendirian di Kampung Melayu Ampang, Kuala Lumpur, Malaysia dengan meluangkan waktu bersama atau membawa Isma keluar makan.

“Saya sangat ralat kerana selalunya saya ada bersama dia.

“Hari ini (7 Januari), dia meninggal dunia, saya tidak ada di sisi. Sepanjang saya di Sarawak, kami sentiasa berhubung.

“Beberapa hari lalu, arwah ada hubungi saya kira-kira jam 12 tengah malam, mengadu lapar.

“Arwah hubungi saya dua kali. Kali pertama suaranya agak jelas.

“Apabila arwah hubungi saya sekali lagi, suaranya seakan berbisik. Jadi. saya minta arwah tunggu sementara rakan kami yang bernama Sulaiman, belikan makanan.

“Esok paginya, saya hubungi arwah untuk bertanya khabar. Dia beritahu adiknya, belikan makanan pagi itu.

“Saya juga minta rakan kami, Ustaz Farid untuk tengok-tengokkan arwah. Saya dengar suaranya macam sudah tidak larat, namun, kami sempat buat panggilan video,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Ebby berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan arwah, hatinya mula tidak tenteram.

“Hati saya tidak sedap sebab arwah sudah tidak larat. Suaranya langsung tidak jelas dan matanya bukan memandang kepada skrin telefon.

“Pagi tadi (7 Januari), saya dapat pesanan WhatsApp daripada adiknya memaklumkan Isma sudah meninggal dunia.

“Saya jadi tidak tentu arah dan tidak tahu hendak buat apa. Kemudian barulah saya hubungi rakan-rakan lain untuk maklumkan berita itu,” katanya.

Ebby yang mengenali Isma sejak era 1980-an menyifatkan Allahyarham Isma sebagai individu ceria dan lucu.

Malah, sikapnya langsung tidak berubah walaupun selepas diserang angin ahmar, beberapa tahun lalu.

“Arwah tidak pernah mengadu sedih dan tidak pernah kongsi masalah peribadi.

“Dalam keadaan diri sakit, arwah masih boleh buat lawak. Saya selalu pesan kepadanya agar gerakkan badan dan bersenam kalau hendak cepat sihat.

“Lalu, dia bangun dan berjoget di depan saya,” katanya.

Ebby berkata, Allahyarham Isma pernah meluahkan hasrat mahu pulang ke kampung bertemu isteri dan anak-anak, sebaik sembuh.

“Arwah tidak pernah bercerita mengenai keluarganya. Saya juga tidak pernah bertanya, apatah lagi, ketika arwah tidak sihat,” katanya.

Allahyarham Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail meninggal dunia pada usia 61 tahun di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, pada 8.30 pagi, 7 Januari, selepas berdepan dengan komplikasi strok sejak 2023.

Beliau dikenali menerusi filem Mawar Merah dan filem komedi Marah Marah Sayang yang turut dibintangi Ebby, Datuk Shah Rezza dan Liza Abdullah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg