Mengimbangi antara kerjaya, tanggungjawab terhadap anak-anak dan kewajipan menjaga ibu bapa bukanlah suatu tugas yang mudah.
Namun, bagi Encik Muhammad Azrin Abdullah, 51 tahun, ia adalah perjalanan hidup yang beliau hadapi dengan penuh dedikasi.
Sebagai anak sulung daripada lima beradik, Encik Azrin memastikan segala tanggungjawab ini dijalankan dengan sebaik mungkin, meskipun jadual hariannya padat.
Di luar waktu kerjanya, jurutera sepenuh masa itu memastikan beliau dapat menghantar ibu bapanya ke pemeriksaan kesihatan di hospital.
“Ibu saya kini berusia 75 tahun dan menghadapi masalah kesihatan seperti tekanan darah rendah.
“Manakala ayah, yang berusia 76 tahun, mengalami masalah jantung dan perlu bergantung kepada ubat sepanjang hayatnya,” kongsi Encik Azrin.
Kedua-dua ibu bapanya telah bersara dan kini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di hospital serta poliklinik sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali sebulan.
Selain daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa, Encik Azrin juga perlu menguruskan tiga anaknya yang masih bersekolah.
“Kadangkala terasa seperti tidak ada masa untuk diri sendiri, tetapi ini adalah tanggungjawab saya sebagai seorang anak dan bapa,” ujarnya.
Walaupun mempunyai empat adik-beradik lain, Encik Azrin bersama seorang adik perempuannya, yang merupakan suri rumah, memikul sebahagian besar tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.
“Kami sekeluarga akan menghantar ibu bapa ke hospital secara bergilir.
“Jika saya tidak dapat (menghantar mereka), adik saya akan membantu, terutama kerana beliau boleh memandu dan mempunyai jadual yang lebih fleksibel,” katanya.
Oleh demikian, Encik Azrin mengalu-alukan sokongan lebih lanjut untuk warga emas serta penjaga mereka.
“Saya bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh pemerintah untuk membantu warga emas seperti ibu bapa saya.
“Namun, sokongan kewangan hanya membantu dalam jangka pendek dan bukanlah penyelesaian untuk jangka panjang,” ujar beliau.
Dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan beberapa langkah untuk membantu warga emas, termasuk Skim MediSave Yang Dipadankan.
Skim itu diperkenalkan pada 2026 untuk membantu warga emas seperti ibu bapa Encik Azrin, yang mempunyai baki MediSave kurang daripada separuh jumlah asas untuk penjagaan kesihatan, atau ‘Basic Healthcare Sum’.
Skim selama lima tahun itu akan menyaksikan pemerintah memadankan satu dolar kepada setiap satu dolar yang ditambah secara sukarela kepada MediSave mereka, dengan had tahunan sebanyak $1,000.
“Ini meringankan beban bagi golongan penjaga seperti saya, terutama sekali dalam aspek kewangan,” kata Encik Azrin.
Selain itu, sokongan lain termasuk mempertingkatkan Geran Penjagaan di Rumah (HCG) – sokongan bagi penjaga warga emas di rumah – kepada maksimum $600, mulai April 2026.
Namun, Encik Azrin menggalakkan pemerintah untuk mempertimbangkan penyelesaian yang lebih mampan dalam masa jangka panjang, yang bukan hanya terhad kepada bantuan kewangan.
“Penjaga perlu kuat dari segi fizikal dan mental. Oleh itu, saya harap pemerintah juga dapat memberi tumpuan kepada kesihatan mental penjaga yang diamanahkan untuk menjaga golongan warga emas,” luahnya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg