Sokongan kesihatan mental di pusat jagaan asas S’pura semakin kukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan kesihatan mental di pusat jagaan asas S’pura semakin kukuh

Mar 23, 2026 | 5:38 PM

Sokongan kesihatan mental di pusat jagaan asas S’pura semakin kukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebilangan besar pengamal perubatan umum (GP) yang menyertai skim ini merupakan klinik di bawah daya usaha kesihatan pencegahan Singapura, SG Lebih Sihat.
Sebilangan besar pengamal perubatan umum (GP) yang menyertai skim ini merupakan klinik di bawah daya usaha kesihatan pencegahan Singapura, SG Lebih Sihat. - Foto fail

Sokongan kesihatan mental di pusat jagaan asas di Singapura semakin kukuh.

Ini dibuktikan dengan pertambahan bilangan doktor umum (GP) yang mampu memberikan ubat psikiatri berkos rendah dan jaringan sokongan untuk mengurus keadaan kesihatan mental yang rumit. Angka ini dijangka mencecah lebih 630 menjelang akhir 2025, meningkat berbanding lebih 520 pada 2024, menurut data Kementerian Kesihatan (MOH).

Para doktor ini menyertai Program Perkongsian GP Kesihatan Mental (MHGPP) yang bermula pada 2012.

Program ini memperkasakan GP untuk mengenal pasti, mendiagnosis, dan mengendalikan pesakit dengan isu kesihatan mental yang lebih kompleks.

Serentak itu, 23 daripada 28 poliklinik kini menyediakan khidmat kesihatan mental.

MOH meramalkan semua poliklinik akan menawarkan perkhidmatan ini dalam masa tiga tahun akan datang, kata jurucakap kementerian.

Kementerian juga merancang untuk meningkatkan bilangan poliklinik kepada 32 menjelang 2030.

Langkah perluasan ini adalah sebahagian daripada Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional, bertujuan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh masyarakat.

Kebanyakan GP yang terlibat dalam skim ini adalah klinik di bawah inisiatif kesihatan pencegahan Singapura, SG Lebih Sihat.

Usaha ini memperkasa doktor penjagaan kesihatan asas dengan panduan berasaskan bukti untuk merawat pesakit, di samping maklumat tentang sumber masyarakat yang ada.

Sejak 1 Januari 2026, Kementerian Kesihatan (MOH) telah memperkenalkan protokol penjagaan bagi Gangguan Kemurungan Utama (MDD) dan Gangguan Kebimbangan Umum (GAD).

Protokol ini membimbing GP dalam mengenal pasti dan mengurus pesakit, termasuk merujuk mereka kepada rakan GP seperti Pasukan Campur Tangan Komuniti (Comit) – untuk rawatan tanpa ubat-ubatan – seperti kaunseling dan psikoterapi.

Bagi kes kesihatan mental yang lebih mendesak dan serius, doktor MHGPP turut boleh mendapatkan Pasukan Penilaian dan Penjagaan Bersama (Ascat) yang dipimpin pakar psikiatri, bagi menentukan sama ada perkhidmatan lebih pantas di hospital diperlukan.

Menurut Dr Jonathan Yeo dari Klinik Perubatan Keluarga Chinatown, sebelum ini, majoriti GP dan doktor perubatan keluarga hanya menilai keadaan pesakit sebelum memberi ubat yang sesuai, dan merujuk kepada pakar psikiatri jika keadaan pesakit rumit atau berisiko mencederakan diri.

Pengenalan protokol baru ini kini memperlengkap penyedia penjagaan kesihatan asas dengan panduan penjagaan yang lebih menyeluruh.

Selain mendidik pesakit tentang panduan gaya hidup dan memberi ubat jika perlu, kata Dr Yeo, GP dan doktor perubatan keluarga kini boleh merujuk pesakit untuk kaunseling sokongan, psikopendidikan dan psikoterapi oleh karyawan kesihatan bersekutu.

Pasukan kesihatan mental masyarakat dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah, tanpa sebarang kos ditanggung pesakit.

Subsidi CHAS dan MediSave boleh dimanfaatkan oleh pemegang kad Generasi Perintis, Generasi Merdeka dan kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) yang menerima rawatan kesihatan mental di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik di klinik GP MHGPP.

Jika klinik tersebut sebahagian daripada skim SG Lebih Sihat, pemegang kad ini juga layak mendapat subsidi lebih tinggi untuk ubat kronik terpilih.

MOH menyatakan pihaknya sedang mengkaji keperluan untuk membangunkan protokol penjagaan bagi keadaan kesihatan mental lain pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg