Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rang diperkenal bagi perkukuh lindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja

Undang-undang akan tetapkan proses hurai tikai, perluas tindakan bagi majikan ingkar
Nov 12, 2024 | 7:07 PM
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja, yang diperkenalkan di Parlimen pada 12 November, memperkukuh perlindungan terhadap diskriminasi, menetapkan proses penyelesaian pertikaian dan memperluaskan tindakan yang boleh diambil terhadap majikan yang ingkar.
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja, yang diperkenalkan di Parlimen pada 12 November, memperkukuh perlindungan terhadap diskriminasi, menetapkan proses penyelesaian pertikaian dan memperluaskan tindakan yang boleh diambil terhadap majikan yang ingkar. - Foto ST

Singapura sedang memperkenalkan undang-undang untuk memperkukuh antidiskriminasi di tempat kerja, tiga tahun selepas Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, mengumumkan hasrat tersebut pada ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2021.

Diperkenalkan di Parlimen pada 12 November, Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja itu memperkukuh perlindungan terhadap diskriminasi, menetapkan proses penyelesaian pertikaian dan memperluaskan tindakan yang boleh diambil terhadap majikan yang ingkar.

Ia antara dua Rang yang membentuk Perundangan Keadilan di Tempat Kerja (WFL) yang baru, dengan kedua-duanya dijangka berkuat kuasa mulai 2026 atau 2027.

Rang kedua akan meliputi hak dan proses membuat tuntutan privet berkaitan keadilan di tempat kerja, termasuk memperluaskan bidang Tribunal Tuntutan Pekerjaan sedia ada, yang mendengar pertikaian berkaitan gaji dan pemecatan salah.

Ia akan dibentangkan di Parlimen pada kemudian hari.

Perubahan itu berdasarkan cadangan daripada sebuah jawatankuasa tiga pihak yang dikeluarkan dan diterima oleh pemerintah pada Ogos 2023.

Undang-undang baru itu bertujuan “memelihara dan memperkukuh” norma keadilan di tempat kerja sedia ada, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Ia membina daripada usaha sedia ada seperti Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP) dan Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF).

Jika diluluskan, undang-undang itu akan melarang keputusan pekerjaan buruk berdasarkan lima set ciri yang dilindungi, iaitu umur; kewarganegaraan; jantina, status perkahwinan, status kehamilan dan tanggungjawab menjaga; bangsa, agama dan bahasa; serta kecacatan dan keadaan kesihatan mental.

Perlindungan ini merangkumi semua peringkat pekerjaan, termasuk pengambilan pekerja, tempoh pekerjaan dan pemecatan.

Untuk bentuk diskriminasi yang lain yang tidak dilindungi oleh undang-undang baru ini, pekerja boleh terus bergantung pada garis panduan tiga pihak, yang akan dikekalkan.

Rakan kongsi tiga pihak Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) telah menyatakan sokongan mereka bagi perundangan yang akan datang itu.

Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, yang juga Anggota Parlimen (Pioneer), berkata perundangan tersebut sejajar dengan advokasi NTUC.

“Bagi ahli kesatuan sekerja yang menghadapi diskriminasi, mereka boleh menghubungi NTUC dan kesatuan sekerja kami untuk mendapatkan bimbingan, bantuan dengan pengantaraan yang melibatkan majikan, dan sokongan dalam meneruskan tuntutan mereka.

“Ahli dalam syarikat berkesatuan juga boleh mendekati kesatuan mereka untuk membawa isu mereka kepada MOM untuk perdamaian,” kata Encik Tay.

Beliau menambah bahwa ahli kesatuan juga boleh memfailkan tuntutan hingga $30,000, berbanding hingga $20,000 bagi bukan ahli, di Tribunal Tuntutan Pekerjaan.

Snef berkata WFL “mencapai keseimbangan penting” antara fleksibiliti operasi dan penguatkuasaan adil.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyediakan individu dengan penyelesaian yang diperlukan bahkan memupuk budaya tempat kerja yang meminimumkan litigasi,” kata Snef.

Ia menambah bahawa majikan juga harus melihat WFL sebagai “lebih daripada sekadar keperluan pematuhan” dan sebaliknya memupuk tempat kerja yang padu dan inklusif sebagai kelebihan strategik.

Untuk menyediakan fleksibiliti bagi keperluan perniagaan, WFL juga akan membolehkan syarikat membuat keputusan pekerjaan berdasarkan ciri yang dilindungi jika ia merupakan keperluan pekerjaan yang tulen. Ia menetapkan empat keadaan di mana ini boleh dilakukan.

Pertama, ia mungkin untuk prestasi kerja yang munasabah, seperti kefasihan bahasa untuk jurubahasa. Kedua, ia mungkin atas sebab kesihatan dan keselamatan, seperti mempertimbangkan kesihatan mental untuk pekerjaan yang melibatkan pengendalian senjata.

Ketiga, ini mungkin atas sebab privasi, seperti pengambilan pekerja mengikut jantina di spa. Keempat, ia mungkin atas sebab undang-undang dan peraturan, seperti had umur minimum untuk pelatih pemandu bas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg