Daripada solat ke futsal: Belia aktif di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Al-Mawaddah
Daripada solat ke futsal: Belia aktif di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Al-Mawaddah
Masjid jadikan Ramadan peluang membangun remaja, semai ciri kepimpinan, disiplin, tanggungjawab dan semangat kebersamaan
Bulan Ramadan sinonim dengan solat, kuliah dan ibadah.
Namun, bagi Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Masjid Al-Mawaddah, Ramadan juga merupakan peluang terbaik untuk pembangunan belia.
Anak muda hadir bukan untuk mengimarahkan masjid saja, malah menjadi penggerak utama suasana Ramadan, membina kepimpinan, disiplin, tanggungjawab dan semangat kebersamaan.
Menurut Pegawai Pembangunan Belia Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum, dari perspektif pembangunan belia, Ramadan juga membuka peluang membentuk sahsiah (keperibadian), kepimpinan, dan pelibatan aktif anak muda dalam masyarakat.
“Belia bukan hanya peserta, tetapi tulang belakang dalam menjayakan program Ramadan.
“Melalui pelibatan aktif, mereka dapat membina ukhuwah, mengasah tanggungjawab dan memperkukuh hubungan dengan masjid,” ujar Ustaz Ammar, salah seorang penganjur program belia di masjid itu.
Antara program khas belia sepanjang Ramadan ialah persiapan iftar, membantu operasi masjid bagi solat tarawih, pengagihan bubur Ramadan, qiamullail bersama belia serta iftar khusus untuk mereka.
Program itu turut merangkumi daya usaha kebajikan seperti pengagihan barangan keperluan asas kepada penerima zakat dan cabaran seperti Ramadan Youth Challenge dan pertandingan futsal, Terawih Cup 2026.
Semua program dirancang untuk membina rasa tanggungjawab dan merapatkan ukhuwah antara belia.
Menurut Ustaz Ammar, Terawih Cup 2026 program utama tahun ini anjuran bersama Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Masjid Al-Mawaddah.
Ia disokong ‘Kempen Dadah Itu Haram’ dan dipimpin oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
“Program ini unik kerana dijalankan sejurus selepas solat tarawih, menggabungkan ibadah dan sukan secara seimbang.
“Terawih Cup 2026 dianjurkan melalui kolaborasi antara Masjid Alkaff Kampung Melayu dengan Masjid Al-Mawaddah. Ia hasil kerjasama saya dan Pegawai Pembangunan Belia Masjid Al-Mawaddah, Ustaz Ali Mohammad Bahrul-Ulum.
“Konsep ini menekankan disiplin, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat selari dengan nilai Islam.
“Sasaran ialah pesertanya ialah belia masjid, termasuk yang jarang hadir ke masjid, supaya program ini menjadi jambatan untuk mendekatkan mereka dengan masjid,” kata Ustaz Ammar.
Beliau menambah: “Format perlawanan futsal ini ialah bersaing tetapi santai, menekankan ukhuwah antara peserta.
“Terawih Cup bertujuan menerapkan konsep wasatiyyah (sikap sederhana) dalam kehidupan belia dan seimbang dalam ibadah serta aktiviti fizikal.
“Aktiviti sebegini juga menunjukkan masjid bukan sekadar tempat solat, bahkan pusat pembangunan menyeluruh rohani, fizikal dan sosial.”
Dengan penganjuran Terawih Cup pada Ramadan, masjid berharap belia bukan memperoleh pengalaman sukan menyeronokkan saja, malah membawa pulang nilai disiplin, semangat berpasukan dan rasa cinta kepada masjid.
Pada jangka panjang, program seperti ini membantu membina generasi muda aktif, berdaya saing dan dekat dengan masjid, bersedia memimpin dan mengimarahkan masjid pada masa hadapan.
Ramadan, bagi belia di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Masjid Al-Mawaddah kini bukan sekadar bulan ibadah, bahkan bulan transformasi diri melalui sukan, kebajikan dan ukhuwah membina.
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
2. Untuk hulur derma, anda boleh:
– Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
– PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
– Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
– Pergi ke pejabat masjid Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.
3. Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.

