Topik diikuti
Pergi ke BHkuSomerset Belt bakal dilengkapi pelbagai kemudahan baharu untuk belia
Somerset Belt bakal dilengkapi pelbagai kemudahan baharu untuk belia
Projek merombak kawasan Somerset bakal menyediakan pelbagai kemudahan buat golongan belia, termasuk persembahan terbuka, ruang berumput untuk mereka bersantai bersama rakan, serta ruang kerja bagi merealisasikan idea kreatif.
Somerset Belt, iaitu kawasan merangkumi hab belia *Scape hingga kemudahan sukan aksi Trifecta, akan dibuka secara berperingkat mulai hujung 2027.
Kerja pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, serta wakil lain, menyempurnakan upacara pecah tanah di Taman Belia Somerset, pada 16 November, sekali gus merasmikan permulaan kerja pembinaan
Kawasan yang dinaik taraf itu, yang diuruskan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan *Scape, akan mempunyai empat ruang yang saling berhubung.
Yang pertama ialah Taman Belia Somerset, satu tempat perhimpunan dengan ciri utama seperti pentas persembahan, ruang untuk karya seni belia, pameran dan kegiatan anjuran akar umbi.
Ia juga akan dilengkapi jambatan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkannya ke *Scape.
Berdekatan taman itu, kawasan dinamakan, Incubation Nexus, akan menyediakan ruang kerja untuk berkongsi idea, meneroka idea keusahawanan serta menjalankan projek kreatif dan inisiatif anjuran masyarakat.
Ia akan dilengkapi kemudahan untuk bengkel dan kegiatan masyarakat, lokasi pengecasan, pilihan makanan dan minuman, serta mesin layan diri.
Taman Luncur Somerset yang sedia ada akan dinaik taraf dengan kawasan bermain papan selaju berbumbung dan terbuka yang sesuai buat pelbagai kumpulan pengguna dan tahap kemahiran.
Kemudahan lain termasuk tempat letak basikal, tandas dan mesin layan diri.
Di antara taman papan selaju itu dengan pusat beli-belah 111 Somerset pula, akan dibangunkan kawasan alam semula jadi dikenali sebagai, Somerset Slopes, untuk belia berehat sambil menikmati landskap bunga-bungaan dan kehijauan.
Ia akan dilengkapi pentas acara berbumbung, terletak di hadapan padang berumput untuk orang ramai berkumpul atau menyaksikan persembahan.
Mereka yang ingin kekal aktif boleh mencuba gelongsor, anak tangga yang dibina pada cerun, dan pelbagai kemudahan senaman lain, atau meneroka pelbagai permainan interaktif kinetik di situ.
Berucap semasa majlis pelancaran projek itu, Encik Neo berkata golongan belia telah menyuarakan dengan jelas keperluan mereka bagi ruang khusus.
Kira-kira tiga daripada lima belia percaya ruang sebegitu mewujudkan peluang untuk bertemu dengan individu daripada latar belakang berbeza, katanya.
“Ruang belia bukan sekadar sebuah bangunan, atau tempat untuk meluangkan masa. Ia merupakan wadah bagi golongan muda untuk berkumpul, meneroka minat baharu, menemui masyarakat sendiri, bertemu dengan orang yang mungkin tidak akan ditemui dalam keadaan lain, serta memupuk rasa kebersamaan,” kata Encik Neo.
Satu rangkaian ‘ruang ketiga’ pula akan diwujudkan menjelang hujung 2026 di bawah Pelan Belia SG, satu rancangan lima tahun untuk membantu belia Singapura mengharungi kerjaya, persahabatan dan perkembangan peribadi mereka.
Ruang ketiga ialah tempat selain rumah dan sekolah, di mana golongan muda boleh bersantai dan menyertai pelbagai kegiatan.
Setakat ini, 11 ruang sebegini telah menjangkau lebih 4,000 belia, kata Encik Neo.