Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet papan selaju tempa nama meski hadapi cabaran dan kecederaan

Juarai Kejohanan ‘Street’ di Taman Luncur Somerset, buka peluang wakili Singapura di Sukan SEA 2025 di Thailand
Jul 18, 2025 | 4:58 PM
Sharil Effendy, papan selaju, sukan
Sharil Effendy, yang mula berjinak-jinak dalam dunia papan selaju sejak 2010, kini dianggap antara atlet papan selaju terbaik Singapura. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Setelah memperoleh inspirasi daripada melihat pak ciknya bermain papan selaju di taman berdekatan 15 tahun lalu, Sharil Effendy kini menempa nama sebagai antara atlet papan selaju terbaik di Singapura.

“Saya nampak beliau bermain papan selaju, lakukan flip (gerakan terbalik), meluncur laju,” kata Sharil, mengenai pak ciknya, Hilfi Farizi Japar.

“Nampak macam sesuatu yang saya mesti cuba,” tambahnya.

Minat yang mendalam mendorong Sharil untuk meyakinkan ibunya agar membelikannya papan selaju pertama pada 2010 – dan sejak itu, beliau mula membina nama dalam dunia papan selaju.

Sepanjang perjalanan dalam dunia papan selaju yang penuh dengan cabaran, semangat kental atlet luncur selaju berusia 28 tahun itu, serta sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan rapatnya, menjadi sumber kekuatannya.

Usahanya membuahkan hasil apabila beliau muncul juara dalam Kejohanan ‘Street’ yang berlangsung di Taman Luncur Somerset pada 28 dan 29 Jun.

Ironinya, Sharil pada mulanya langsung tidak merancang untuk bertanding.

“Saya tidak mahu sukan papan selaju ganggu kerja sepenuh masa saya. Di Singapura, susah nak dapat kerja yang baik, dan tak semua orang faham jika anda lepaskan kerja sebab nak bersaing dalam kejohanan papan selaju,” kata Sharil yang bertugas sebagai pegawai ‘vault’.

Realiti untuk mengimbangi antara sukan papan selaju dengan komitmen kerjaya adalah cabaran yang dihadapi oleh ramai atlet setempat.

Bagi Sharil, keputusan dahulu untuk mengutamakan kegiatan papan selaju pernah menyebabkan beliau terlepas peluang pekerjaan, dan beliau tidak mahu mengulanginya.

Namun, dorongan daripada rakan-rakan, masyarakat dan keluarga telah mengubah fikirannya.

Mereka mengingatkan beliau tentang apa yang dipertaruhkan – bukan sekadar kemenangan, tetapi peluang untuk mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.

Kejohanan tersebut merupakan acara pertama daripada siri tiga acara Kejohanan Papan Selaju Kebangsaan yang bertujuan mencari bakat terbaik bagi mewakili Singapura di Sukan Asia Tenggara ke-33 di Thailand pada 2025.

Sharil peroleh kemenangan beliau secara dramatik, apabila beliau mencatatkan jumlah mata ‘trick’ terbaik sebanyak 113.29 – yang tertinggi bagi kejohanan tersebut – menjadikan mata keseluruhannya 153.00, cukup untuk menewaskan Janiel Irishzan, berusia 23 tahun, yang mempunyai jumlah mata 151.34.

Namun, kemenangan tersebut tidak datang tanpa cabarannya.

Pada awal pertandingan, Sharil mengalami kecederaan bahu ketika cuba melakukan salah satu aksinya.

“Saya tersalah gerak,” katanya.

“Saya cuba untuk menahan dari jatuh, tetapi akhirnya memberi tekanan berlebihan pada bahu saya,” tambahnya.

Bagi kebanyakan atlet, itu mungkin bermakna mereka terpaksa menarik diri. Namun, Sharil terus bertahan.

“Saya rasa sakit pada bahu kiri,” katanya.

“Tetapi saya kena teruskan. Saya sudah bersedia – saya sudah di sana, jadi saya akan selesaikannya.”

Sharil juga berkata bahawa beliau agak terdorong melihat sokongan yang semakin bertambah daripada masyarakat juga.

“Lima tahun lalu, tiada jurulatih, tiada ibu bapa yang menonton anak mereka di taman,” katanya.

“Sekarang, anda boleh lihat ibu bapa bersorak, memberi dorongan kepada anak-anak mereka untuk sertai pertandingan. Budayanya sedang berubah.”

Beliau juga berpendapat bahawa Singapura mempunyai beberapa atlet papan selaju bermutu tinggi, tetapi beberapa cabaran termasuk kurang pengiktirafan dan laluan kerjaya yang kurang jelas, menghambat perkembangan sukan tersebut.

Walaupun saingan sengit, suasana dalam kalangan peserta kekal mesra dan saling menyokong.

“Semua orang yang saya lawan – saya selalu berlatih dengan mereka,” dedah Sharil.

“Kami tahu gerakan masing-masing. Ia tidak terasa seperti pertandingan. Semuanya penuh kasih sayang dan sokongan.”

Antara bintang muda yang sedang meningkat, Humairah Ahmad Alkhatib mengejutkan penonton apabila menjuarai kategori Wanita ‘Street’ pada usia hanya 10 tahun, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang juara kebangsaan termuda di Singapura.

Kedua-dua Humairah dan Sharil kini berada di kedudukan kukuh dalam perebutan tempat ke dalam Skuad Pembangunan Kebangsaan Singapura.

Skuad Pembangunan Kebangsaan akan dibentuk berdasarkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan tiga acara, dan atlet terpilih kemudiannya akan layak dipertimbangkan untuk mewakili Singapura di Sukan SEA ke-33 di Thailand.

Acara kedua dalam siri tiga acara kejohanan tersebut ialah Kejohanan Gabungan ‘Park’ dan ‘Street’, yang berlangsung dari 18 hingga 20 Julai 2025 di Taman Jurong Lakeside.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg