Topik diikuti
Pergi ke BHkuSomerset Belt bakal dilengkapi tempat santai belia baharu, ruang persembahan, taman luncur jelang 2028
Somerset Belt bakal dilengkapi tempat santai belia baharu, ruang persembahan, taman luncur jelang 2028
Somerset Belt bakal dilengkapi tempat santai belia baharu, ruang persembahan, taman luncur jelang 2028
Projek menaik taraf kawasan Somerset bakal menyediakan pelbagai kemudahan buat golongan belia, termasuk persembahan terbuka, ruang berumput untuk bersantai bersama rakan serta ruang kerja bagi merealisasikan idea kreatif.
Somerset Belt, iaitu kawasan dari hab belia *Scape hingga kemudahan sukan aksi Trifecta, akan dibuka secara berperingkat mulai hujung 2027. Kerja pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
Kerja pembinaan secara rasminya bermula pada 16 November, dengan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, serta wakil lain dalam satu majlis pecah tanah di Taman Belia Somerset.
Kawasan yang dinaik taraf itu, diuruskan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan *Scape, akan mempunyai empat ruang yang berhubung.
Yang pertama ialah Taman Belia Somerset, satu tempat perhimpunan dengan ciri-ciri utama seperti pentas persembahan, ruang untuk karya seni belia, pameran dan aktiviti anjuran akar umbi.
Ia turut akan mempunyai jambatan penghubung pejalan kaki berbumbung yang menghubungkannya ke *Scape.
Berdekatan taman itu, Incubation Nexus akan menyediakan ruang kerja untuk berkongsi idea, meneroka idea keusahawanan serta menjalankan projek kreatif dan inisiatif anjuran masyarakat.
Ia akan dilengkapi kemudahan untuk bengkel dan aktiviti masyarakat, lokasi pengecasan, pilihan makanan dan minuman serta mesin layan diri.
Taman Luncur Somerset sedia ada akan dinaik taraf dengan kawasan bermain papan selaju berbumbung dan terbuka yang sesuai buat pelbagai kumpulan pengguna dan tahap kemahiran. Kemudahan lain termasuk tempat letak basikal, tandas dan mesin layan diri.
Terletak antara taman papan selaju dan pusat membeli-belah 111 Somerset ialah ruang semula jadi dikenali sebagai Somerset Slopes, tempat belia boleh berehat sambil menikmati landskap bunga dan kehijauan.
Ia akan dilengkapi pentas acara berbumbung, terletak di hadapan padang berumput untuk orang ramai berkumpul atau menyaksikan persembahan.
Mereka yang ingin kekal aktif boleh mencuba gelongsor, menggunakan kemudahan senaman serta meneroka pelbagai permainan interaktif.
Berucap di majlis pelancaran projek itu, Encik Neo berkata golongan belia telah menyuarakan dengan jelas keperluan mereka bagi ruang khusus.
Kira-kira tiga daripada lima belia percaya bahawa ruang sebegini mewujudkan peluang untuk bertemu dengan pelbagai orang daripada latar belakang berbeza, katanya.
“Ruang belia bukan sekadar sebuah bangunan, atau tempat untuk menghabiskan masa. Ia adalah tempat golongan muda boleh berkumpul untuk menemui minat baharu, mencari masyarakat mereka, bertemu dengan orang yang mungkin tidak akan ditemui dalam keadaan lain,” kata Encik Neo.
Satu rangkaian ‘ruang ketiga’ pula akan diwujudkan menjelang hujung 2026 di bawah Pelan Belia SG, satu rancangan lima tahun untuk membantu belia Singapura mengharungi kerjaya, persahabatan dan perkembangan peribadi mereka.
Ruang ketiga ialah tempat selain rumah dan sekolah dengan golongan muda boleh bersantai dan menyertai pelbagai aktiviti. Setakat ini, 11 ruang sebegini telah menjangkau lebih 4,000 belia, kata Encik Neo.