Topik diikuti
Pergi ke BHkuSorok pisau dalam kasut, cuba naik pesawat dari Changi lelaki dipenjara, sebat
Sorok pisau dalam kasut, cuba naik pesawat dari Changi lelaki dipenjara, sebat
Seorang lelaki menyembunyikan pisau bermata berukuran 11 sentimeter (cm) di dalam kasutnya atas permintaan rakannya sebelum cuba menaiki penerbangan ke Indonesia di Lapangan Terbang Changi.
Pada 6 Oktober, Syaifudin Alfitroh, 32 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan enam sebatan selepas mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya.
Warga Indonesia itu bekerja sebagai anak kapal yang beroperasi di Lautan Hindi, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ng Jun Kai.
Pada Mac 2026, Syaifudin bertemu seorang lelaki bernama Ahmad di atas sebuah kapal.
Ahmad memberinya pisau berbalut plastik dan mengarahkannya menyembunyikan pisau itu di dalam kasut sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan niat Ahmad atau sebab Syaifudin bersetuju berbuat demikian.
Pada 5 Ogos, Syaifudin berada di atas kapal pengangkut berbendera Taiwan menuju ke Marina South Pier, Singapura, apabila dia melaporkan dirinya tidak sihat.
Majikannya kemudian mengatur penerbangan pulang ke Indonesia dari Singapura.
Syaifudin mendakwa dia mahu menyimpan pisau itu dalam bagasi untuk dimasukkan ke ruang kargo pesawat ketika mengemas barang sebelum tiba di Singapura pada 27 Ogos, tetapi teringat arahan Ahmad supaya menyembunyikannya di dalam kasut.
Pada hari yang sama, ketika menjalani pemeriksaan keselamatan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, pegawai polis bantuan mengesan pisau di dalam kasut kanan Syaifudin yang disembunyikan di bawah dua lapis stoking.
Dia ditangkap pada hari yang sama dan didakwa di mahkamah pada 29 Ogos.
Ketika memohon hukuman penjara antara 10 dengan 12 bulan dan enam sebatan, pihak pendakwa berkata kes itu boleh mendatangkan bahaya besar.
“Jika bukan kerana kepekaan pegawai polis bantuan yang mengesan pisau itu, tindakan tertuduh membawa pisau yang tersembunyi ke dalam pesawat boleh membawa kesan yang amat buruk,” tambah DPP.
Dalam rayuannya bagi meringankan hukuman, Syaifudin berkata ini merupakan kesalahan pertamanya dan memohon hukuman yang lebih ringan.
“Saya hanya transit di Singapura dan tidak tahu peraturan mengenai senjata di sini begitu ketat. Saya kesal dan dengan rendah hati memohon hukuman lebih ringan,” tambah Syaifudin.
Mereka yang disabitkan kesalahan memiliki senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran sah boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan disebat.