Tahun 2025 sarat dengan peristiwa penting buat Singapura, terutama dengan kehangatan Pilihan Raya Umum (GE) di samping siri sambutan perayaan sempena ulang tahun negara yang ke-60.
Turut mencuri perhatian sepanjang tahun ialah isu perwakilan dan identiti perkauman yang kerap menjadi topik yang ditimbulkan dari masa ke masa.
Apatah lagi tatkala negara menjadi saksi kemelut geopolitik seperti konflik berpanjangan Israel-Palestin yang secara tidak langsung mempengaruhi perbincangan dasar serta sentimen rakyat di Singapura.
Membuka tirai pada 18 Februari ialah Belanjawan 2025 dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, membentangkan siri baucar yang dihadiahkan kepada rakyat.
Antaranya baucar SG60 khas sebanyak $600 bagi warga Singapura dewasa berusia antara 21 dengan 59 tahun, selain $800 buat warga berusia 60 tahun dan ke atas.
Sekitar tiga juta rakyat Singapura dewasa meraih manfaat daripada Baucar SG60 itu, dengan penggunaannya sama seperti Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Sementara itu, setiap isi rumah diberikan $800 dalam bentuk baucar CDC untuk membantu membiayai sebahagian kos sara hidup.
Dalam meraikan perjalanan kemerdekaan Singapura sepanjang 60 tahun, pelbagai kegiatan diadakan, antaranya pameran, SG60 Heart & Soul Experience.
Melaluinya, pengunjung boleh membayangkan bagaimana mereka akan hidup, bekerja dan beriadah di Singapura pada masa depan kelak, serta ‘berbual’ dengan versi diri mereka pada masa hadapan.
Bahang kemudian memuncak dalam beberapa bulan setelah itu apabila musim Pilihan Raya Umum (GE) tiba pada Mei.
Antara medan pilihan raya yang paling sengit merupakan GRC Tampines dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang tipis dengan memperoleh 52.02 peratus undi dalam persaingan empat penjuru bersama Parti Pekerja (WP) yang menerima 47.37 peratus undi; Parti Kuasa Rakyat (PPP) dengan 0.43 peratus undi; dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dengan 0.18 peratus undi.
Dihubungi Berita Harian (BH), Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata walaupun identiti kaum dan agama lumrahnya menjadi persoalan penting dalam setiap pilihan raya, ia lebih menonjol pada 2025.
Ini disebabkan beberapa faktor termasuk isu Gaza dan sentimen yang berlarutan terhadap kepimpinan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Ia ditambah pula dengan kontroversi sekitar desakan guru agama Singapura yang berpangkalan di Malaysia, Encik Noor Deros, percubaan anasir asing daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), selain bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, untuk campur tangan dalam politik Singapura.
“Kita juga melihat masyarakat Melayu/Islam mula berkeyakinan diri untuk menyuarakan keprihatinan dan pendirian terhadap isu-isu sensitif secara terbuka.
“Ini adalah perkembangan baik. Namun, kita juga harus berjaga-jaga supaya perkara ini tidak dieksploitasi golongan berkepentingan politik untuk meluap-luapkan sentimen perkauman atau memecahbelahkan masyarakat atas dasar kaum dan agama,” jelas Encik Imran.
Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, turut menambah GE2025 menyaksikan lebih banyak kepelbagaian pandangan politik dan lebih ramai dalam masyarakat mula melibatkan diri.
“Landskap politik untuk masyarakat kian berubah. Pengundi kini lebih kritikal dan kurang menerima ‘politik selamat’, berkeinginan untuk pastikan suara dan isu mereka dibincangkan secara langsung di Parlimen,” jelasnya.
Pengajaran daripada GE2025 terus dibincangkan dengan isu politik identiti dibangkitkan semula sebagai topik perbahasan di dalam sidang Parlimen pada Oktober 2025.
Dalam Kenyataan Menteri yang disampaikan di Parlimen pada 14 Oktober, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah memberikan contoh bagaimana beberapa individu dan entiti cuba membawa isu kaum dan agama ke dalam GE2025.
Beliau berkata perbuatan mencampuradukkan isu kaum dan agama dalam politik harus ditolak kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat dan negara.
Semangat perpaduan masyarakat majmuk Singapura terus diuji apabila pada 24 September, seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun, Bill Tan Keng Hwee, mengirim sampul surat berisi sekeping daging babi bersama nota menghina yang bertulis “halal Babi chop” ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North.
Mengulas, Dr Faizal memuji tindakan dan pendirian teguh pemerintah dalam menangani kejadian itu.
“Konsensus bahawa ‘satu tindakan terhadap satu agama adalah tindakan terhadap semua agama’ menghantar mesej sangat kuat dalam mengukuhkan perpaduan sosial,” ujarnya.
Encik Imran pula menambah: “Kejadian di Masjid Al-Istiqamah mungkin sesuatu yang terpencil tetapi tidak mustahil menunjukkan Islamofobia yang meningkat.
“Masyarakat Melayu/Islam harus memperkuatkan hubungan dengan masyarakat lain dan berdialog untuk saling memahami supaya isu apa pun tidak akan merosakkan hubungan antara kaum dan agama di Singapura.”
Isu kemanusiaan dan penderitaan warga Palestin juga merupakan topik yang kerap dibincangkan sepanjang 2025, tidak kira di peringkat nasional mahupun dialog yang dianjurkan di peringkat masyarakat.
Dalam menghulurkan bantuan, Singapura telah menyalurkan sembilan pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $22 juta ke Gaza sehingga September 2025.
Pemerintah juga telah menjalankan beberapa operasi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang digugurkan dari udara, termasuk melalui pengerahan pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) ke Jordan pada Ogos.
Menurut Encik Imran, masyarakat tidak dapat lari daripada kesan geopolitik apatah lagi dengan media sosial menembusi setiap lapisan masyarakat.
Namun, masyarakat perlu bijak menyesuaikannya dengan konteks Singapura dan tidak terbawa arus sehingga menjejas kehidupan bermasyarakat di sini, katanya.
“Sejauh ini, saya melihat kematangan secara umum di dalam masyarakat kita.
“Contohnya, walaupun kita mengambil pendirian terhadap genosid di Gaza, kita tidak menyalahkan kaum atau agama Yahudi dan tidak bersikap antisemitik (anti-Yahudi) secara umum.
“Sebaliknya, kita melihatnya daripada lensa kemanusiaan.
“Ini menunjukkan kematangan yang berbeza daripada apa yang kita saksikan di sebahagian masyarakat Muslim di negara lain,” ujar beliau.
“
Landskap politik untuk masyarakat kian berubah. Pengundi kini lebih kritikal dan kurang menerima ‘politik selamat’, berkeinginan untuk pastikan suara dan isu mereka dibincangkan secara langsung di Parlimen.“
Masyarakat Melayu/Islam harus memperkuatkan hubungan dengan masyarakat lain dan berdialog untuk saling memahami supaya isu apa pun tidak akan merosakkan hubungan antara kaum dan agama di Singapura.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg