Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks siasat kes anak kucing disumbat dalam bekas plastik di Tuas

Jun 26, 2025 | 4:11 PM
kucing, dianiaya, Tech Park Crescent
Seorang pemberi maklumat mengatakan bahawa anak kucing itu telah dimasukkan ke dalam bekas plastik dan digolekkan berulang kali. - Foto SPCA

Satu kes yang disyaki melibatkan penderaan haiwan, di mana seekor anak kucing didakwa dimasukkan ke dalam bekas plastik dan digolek-golekkan, sedang disiasat oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

“NParks dimaklumkan mengenai dakwaan penganiayaan terhadap seekor anak kucing di Tech Park Crescent dan sedang menyiasat perkara itu,” kata Pengarah Kumpulan bagi Penguatkuasaan dan Siasatan NParks, Cik Jessica Kwok, dalam satu kenyataan pada 26 Jun.

Kejadian itu berlaku di sebuah kantin pekerja di Tech Park Crescent, Tuas, pada 26 Mac antara 9.45 malam dengan 10.30 malam, kata Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) dalam satu hantaran Facebook, pada 23 Jun.

Seorang pemberi maklumat, yang juga rakan sekerja individu yang disyaki melakukan penderaan tersebut, memberitahu SPCA bahawa anak kucing itu telah dimasukkan ke dalam bekas plastik dan digolek-golekkan berulang kali.

Pegawai pemeriksa SPCA telah menjalankan pemeriksaan mengejut pada 1 April, di mana mereka dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah dilepaskan kerana ia merupakan haiwan masyarakat, tambah persatuan itu.

SPCA turut dimaklumkan pekerja yang terlibat telah diberi amaran keras, lapor The Straits Times (ST).

Namun, pengurus di lokasi itu enggan memberi SPCA akses kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau membantu dalam siasatan lanjut, jelas persatuan itu.

Oleh itu, SPCA telah merujuk perkara tersebut kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) – sebuah unit dalam NParks – untuk tindakan susulan.

Menurut perangkaan SPCA, daripada 453 kes penderaan haiwan yang dilaporkan pada 2024, 220 kes melibatkan kucing, menjadikan kucing haiwan yang paling kerap dianiaya di Singapura.

Jenis penderaan yang dilaporkan termasuk mencederakan haiwan secara fizikal, mengurung haiwan secara tidak berperikemanusiaan, mencederakan atau membunuh dengan sengaja, menggunakan kaedah latihan yang menyakitkan, kes langgar lari, serta pengabaian.

Di bawah Akta Haiwan dan Burung Singapura, pesalah kali pertama yang didapati bersalah atas kekejaman terhadap haiwan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga $15,000, atau kedua-duanya sekali. 

Manakala pesalah berulang boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $30,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg