Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, memohon maaf kerana terlelap ketika memimpin sidang Parlimen di Dewan pada 9 September.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 18 September, Encik Seah berkata beliau kurang sihat dan telah mengambil ubat pada hari berkenaan, namun menegaskan bahawa perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan saya ambil tanggungjawab sepenuhnya,” kata beliau.

Encik Seah dilihat terlelap semasa perbahasan Rang Undang-Undang bagi menyepadukan fungsi kawal selia kesihatan di bawah Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Selepas Anggota Parlimen (AP) Hougang, Encik Dennis Tan, selesai berucap, Speaker berkenaan sepatutnya menjemput AP seterusnya untuk menyampaikan ucapan.

Namun, berlaku jeda selama kira-kira 20 saat yang sempat dirakam dalam siaran langsung, sebelum Encik Seah meneruskan tugasnya selepas dikejutkan oleh seorang pegawai staf Parlimen.

Dalam hantaran di Facebook miliknya, Encik Seah berkata beliau sepatutnya menangguhkan sidang berkenaan lebih awal berbanding meneruskannya, dan beliau lazimnya berbuat demikian selepas sidang Parlimen telah berlangsung empat hingga enam jam.

Beliau terlelap selepas melepasi tempoh empat jam pada persidangan hari berkenaan, yang bermula pada 10.30 pagi.

Encik Seah turut menyatakan bahawa sepanjang tiga tahun memegang jawatan sebagai Speaker, beliau sentiasa berusaha menjalankan tugasnya dengan tekun dan memenuhi piawai yang dituntut oleh pejabat tersebut.

“Insiden ini ternyata tidak memenuhi piawai berkenaan,” kata beliau.

Beliau memohon maaf atas kekurangan itu dan berjanji akan mengambil pengajaran serta langkah yang diperlukan bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang kembali.

“Saya kekal komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada Parlimen dan warga Singapura dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Insiden pada 9 September itu berlaku pada hari kedua persidangan tiga hari Parlimen yang menyaksikan para AP membahaskan respons pemerintah terhadap semakan gaji pemegang jawatan politik dan AP.

Pada 8 September, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, menyampaikan kenyataan menteri yang mengesahkan bahawa pemerintah telah menerima usulan jawatankuasa semakan gaji.

Menerusi usulan itu, tanda aras gaji tahunan bagi menteri di gred permulaan MR4 akan dinaikkan daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.

Namun, gaji pemegang jawatan politik tidak akan diselaraskan kepada tanda aras baharu tersebut secara serta-merta.

Sebaliknya, pemegang jawatan politik sedia ada akan menerima kenaikan satu kali sahaja sehingga 9 peratus pada 15 Oktober, bergantung kepada prestasi mereka, kata Encik Wong.

Langkah ini bakal menjadikan gaji menteri gred MR4 mencecah hampir $1.2 juta.

Encik Wong berkata beliau menjangkakan sebahagian besar menteri gred MR4 akan meraih pendapatan sekitar $1.35 juta menjelang akhir penggal pentadbiran pemerintah ini.

Pada 10 September, Dewan membahaskan struktur gaji yang disemak semula itu. 

Sidang tersebut turut menyaksikan Parlimen membahaskan usul mengenai daya tahan bekalan makanan Singapura serta meluluskan empat set undang-undang, termasuk Rang Undang-Undang berkaitan kuasa HSA.