Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Speaker Seah Kian Peng gesa AP teliti dasar sambil beri huraian alternatif semasa berbahas

Ingatkan AP tidak berhujah semata-mata untuk pikat galeri, sidang Parlimen bukan siaran langsung di TikTok
Sep 5, 2025 | 7:28 PM
Pembukaan Parlimen S’pura, Speaker Seah Kian Peng,  AP teliti dasar
Encik Seah Kian Peng dipilih semula sebagai Speaker Parlimen bagi sidang Parlimen ke-15. - Foto MDDI

Anggota Parlimen (AP) harus meneliti dan mengkritik dasar dengan bersungguh-sungguh, mengemukakan hujah yang seimbang dan jelas serta menawarkan alternatif untuk dibincangkan.

Demikian dinyatakan oleh Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, dalam ucapannya di pembukaan sidang Parlimen ke-15 pada 5 September.’

Menurutnya, AP bebas mengambil apa jua pendirian dan pendapat itu boleh bercanggah antara satu sama lain.

Encik Seah, yang dipilih sebagai Speaker Parlimen bagi penggal kedua selepas kali pertama menggalas jawatan itu pada Ogos 2023, turut mengingatkan anggota Dewan supaya mengelak daripada berhujah secara berlebihan semata-mata untuk memikat penonton di galeri.

“Dalam kami berbahas, kami boleh mengubah pendirian dan boleh sekata; begitu juga kami boleh bersetuju untuk bercanggah pendapat.

“Dan usah berhujah semata-mata untuk memikat penonton di galeri – ini Dewan Parlimen, bukan siaran langsung di TikTok,” tegas beliau.

Sebaliknya, peranan anggota di Parlimen harus digalas dan diamati dengan penuh tanggungjawab.

Menurutnya, anggota perlu menegakkan ketertiban Dewan dan menghormati sesama anggota.

“Dalam bulan-bulan dan tahun mendatang, perbincangan akan menjadi bersemangat dan ada kalanya menjadi hangat.

“Ini adalah sebahagian daripada masyarakat demokratik yang berfungsi… adalah melalui usaha sama dalam Dewan ini, para anggota dapat memastikan masa hadapan yang padu dan bermakna bagi negara kita, serta membina masyarakat yang lebih penyayang, bersifat pemurah, ihsan dan terangkum bagi generasi anak-anak kita dan seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, Encik Seah, yang juga AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, berharap AP akan mengehadkan atau meringkaskan ucapan apabila mengetengahkan soalan atau hujah kerana “ucapan yang panjang bukan sahaja menguji kesabaran sesama Anggota Parlimen, malah juga tumpuan orang ramai”.

Dalam masa yang sama, Encik Seah sempat berkongsi tentang pengalamannya menjaga kesihatan sejak menjadi Speaker dan menyeru agar para anggota melakukan yang sama, memandangkan tuntutan tanggungjawab di dalam dan luar Parlimen yang berat.

Encik Seah menarik perhatian bahawa Parlimen baru ini yang mempunyai 99 AP adalah yang terbesar sejauh ini serta mempunyai bilangan AP wanita yang paling ramai dalam sejarah Singapura.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan anggota bahawa dasar dan undang-undang yang diluluskan di Parlimen menjejas kehidupan ribuan warga Singapura.

“Kita semua telah mengambil ikrar taat setia.

“Ingat bahawa undang-undang yang diluluskan di sini memberi kesan terhadap warga Singapura: Individu, keluarga, perniagaan, pertubuhan dan generasi akan datang.”

Antara peranan Speaker Parlimen ialah bertanggungjawab ke atas pentadbiran Parlimen dan sekretariatnya, serta mempengerusikan kelakuan berkaitan dengannya.

Beliau turut memutuskan siapa yang berhak bersuara dan mengemukakan soalan kepada Dewan untuk dibahaskan dan diundi.

Di samping itu, Encik Seah turut memberi penghargaan kepada Ketua Dewan yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, kerana mencalonkan beliau semula sebagai Speaker Parlimen.

Menyampaikan ucap tahniah kepada Encik Seah dalam ucapannya, Cik Indranee berkata Encik Seah telah menunjukkan sikap yang tenang ketika perbahasan dan berusaha agar Parlimen lebih mudah diakses kepada khalayak ramai.

Ini lebih-lebih lagi dengan penggal Parlimen sebelum ini menyaksikan rekod 17 usulan penangguhan dan membahaskan 50 rang undang-undang – yang tertinggi dalam enam tahun, kata beliau.

“Sepanjang anda menjadi Speaker Parlimen (pada penggal ke-14 Parlimen), anda sentiasa berhati-hati semasa prosiding, mengingatkan kami perbahasan harus bersungguh-sungguh, tetapi ia tidak seharusnya menimbulkan kebencian peribadi dan ucapan yang baik tidak semestinya panjang.

“Anda juga memastikan ketertiban yang betul, walaupun di tengah-tengah perdebatan yang ada kalanya hangat, anda membenarkan semua anggota menggunakan suara secara adil, tanpa mengira parti, sambil memerhatikan had tempoh yang diberikan,” ujarnya.

Cik Indranee diberi jawatan sebagai Ketua Dewan sekali lagi oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menurut kenyataan PMO pada Jun.

Sebagai Ketua Dewan, Cik Indranee menggerakkan permintaan usul, seperti melanjutkan masa persidangan melebihi kebiasaan.

Contohnya, semasa penggal ke-14 Parlimen selaku Ketua Dewan, Cik Indranee, telah menangani dan mengeluarkan nota mengenai tingkah laku AP, dan menggulung atau melanjutkan perbahasan mengenai isu-isu utama seperti Belanjawan dan pengendalian pandemik Covid-19.

Selain Cik Indranee, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh dan AP, Cik Nadia Samdin, Encik Liang Eng Hwa dan Dr Hamid Razak turut mengucapkan tahniah kepada Encik Seah atas pemilihan semula beliau sebagai Speaker.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg