Satu penyedia perkhidmatan dalam talian dan beberapa penyedia perkhidmatan internet dikenakan arahan oleh pemerintah untuk menyekat atau menurunkan kandungan berkaitan pengganasan yang boleh diakses oleh penduduk di Singapura.

Dalam satu kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 27 Julai, Pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengeluarkan Arahan Melumpuhkan (DD) terhadap satu penyedia perkhidmatan dalam talian dan dua Arahan Menyekat Akses (ABD) kepada penyedia perkhidmatan internet.

Apabila dikenakan DD, penyedia perkhidmatan dalam talian berkenaan perlu melumpuhkan akses pengguna di Singapura kepada video dalam talian berkaitan.

Manakala ABD pula memerlukan penyedia perkhidmatan internet menyekat akses kepada laman web yang terbabit.

MHA menambah, siasatan telah mengesahkan hubungan secara langsung antara kandungan tersebut dengan kes radikalisasi diri yang berlaku sebelum ini di Singapura.

Golongan belia menjadi terpengaruh dengan ideologi radikal selepas mengakses kandungan daripada laman web tersebut atau memperoleh maklumat daripadanya untuk merancang serangan mereka, kongsi MHA.

“Pemerintah memandang serius kandungan dalam talian yang mencetuskan keganasan atau mempromosikan pengganasan.

“Peningkatan kes radikalisasi sendiri di Singapura, terutamanya dalam kalangan belia, adalah perkara yang amat membimbangkan.

“Platform dalam talian tidak boleh dibiarkan menjadi vektor penyebaran ideologi pengganas kepada orang ramai di Singapura, dan pemerintah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap entiti yang cuba berbuat sedemikian,” kata MHA.

MHA juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Pendidikan (MOE) untuk melindungi rakyat Singapura, terutamanya kanak-kanak, daripada kandungan dalam talian yang berbahaya.

Menurut MHA, perkembangan itu tidak berkaitan dengan penahanan tiga belia lelaki – berusia 14, 15, dan 19 tahun – yang dikenakan Arahan Penahanan (OD) pada April, Mei, dan Jun 2026.

Pelajar menengah dua yang berusia 14 tahun itu merupakan yang paling muda pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disebabkan menjadi radikal sendiri, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Dua belia yang lain merupakan seorang pelajar menengah empat, dan seorang pelajar di institut pengajian tinggi.

Berkongsi lanjut mengenai DD dan ABD yang dikenakan, MHA berkata, video dan laman web yang melanggar undang-undang tersebut mengandungi kandungan pengganasan.

Ini termasuk bahan yang menyokong ISIS, tembakan beramai-ramai dan tindakan pengganasan.

Kandungan tersebut turut mengagungkan dan memuliakan golongan ekstremis, selain menyeru penyokong untuk menyertai perjuangan mereka, katanya.

“Siasatan telah mengesahkan hubungan secara langsung antara kandungan tersebut dengan kes-kes radikalisasi diri yang berlaku sebelum ini di Singapura, di mana golongan belia terpengaruh selepas mengakses kandungan daripada laman web ini atau memperoleh maklumat daripadanya untuk merancang serangan mereka,” kongsi MHA.

MHA juga mengulangi kepentingan menangani ancaman kandungan berbahaya di dalam talian yang memerlukan usaha seluruh masyarakat.

“Kami menggesa orang ramai, terutamanya ibu bapa dan pendidik, supaya sentiasa berwaspada terhadap pendedahan belia kepada kandungan berbahaya di dalam talian, serta mengadakan perbualan terbuka dengan golongan muda mengenai bahaya radikalisasi dalam talian,” kongsi MHA.

MHA menasihati orang ramai yang menemui kandungan yang mengagungkan atau mencetuskan keganasan di dalam talian agar melaporkannya menggunakan fungsi dalam aplikasi platform berkenaan, atau melaporkannya kepada ISD di talian 1800-2626-473 (1800-2626-ISD) atau menerusi e-mel di isd@mha.gov.sg.

“Anda juga harus membuat laporan kepada ISD sekiranya anda mengesyaki terdapat ancaman terhadap Singapura, atau jika seseorang yang anda kenali mungkin telah terpengaruh dengan ideologi radikal atau menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan,” ujar MHA.