Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPF lancar kempen tingkat waspada jenayah seksual mulai Mei
SPF lancar kempen tingkat waspada jenayah seksual mulai Mei
Protokol baharu turut diperkenal bagi bimbing orang ramai tentang tindakan yang perlu diambil jika saksikan jenayah seksual
SPF lancar kempen tingkat waspada jenayah seksual mulai Mei
Satu kempen bagi meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan mengenai jenayah seksual akan dilancarkan di kawasan awam, rangkaian pengangkutan awam serta premis hiburan awam mulai Mei 2026.
Diumumkan oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, pada 27 April, kempen oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) itu turut memperkenalkan protokol baharu bagi membimbing orang ramai tentang tindakan yang perlu diambil jika mereka menyaksikan jenayah seksual.
Kempen yang diberi nama Usah jadi Pemerhati! Kesannya. Laporkannya. atau Don’t be a Bystander! SPOT it. Report it. akan berlangsung selama setahun, kata SPF dalam satu kenyataan pada 27 April.
Premis hiburan awam akan dipasang dengan pelekat cermin yang memaparkan slogan kempen yang akan dilaksanakan pada suku terakhir 2026.
Sementara itu di dalam rangkaian pengangkutan awam pula, pihak polis akan memperkukuh mesej pencegahan mencabul kehormatan dengan visual baharu pada separuh kedua 2026.
Cik Sim menyatakan bahawa walaupun situasi jenayah seksual di Singapura adalah stabil, terdapat beberapa aspek yang membimbangkan.
Menurutnya, jumlah kes mencabul kehormatan telah meningkat daripada 1,427 kes pada 2024 kepada 1,531 kes pada 2025.
Sekitar 76 peratus daripada kes ini berlaku di kawasan bukan kediaman, seperti dalam pengangkutan awam dan di tempat hiburan malam.
Dalam ucapannya di Seminar Kesedaran Jenayah Seksual di Kompleks Polis Cantonment pada 27 April, Cik Sim berkata:
“Dunia digital pula membawa risiko baharu yang sentiasa berkembang bagi jenayah seksual.
“Memandangkan banyak interaksi sosial bermula secara dalam talian, pelaku jenayah mungkin mengeksploitasi ciri ketanpanamaan di Internet dan kepesatan platform media sosial, aplikasi mesej, serta aplikasi janji temu untuk mencari dan menyasarkan mangsa yang tidak mengesyaki.”
Justeru, protokol Spot iaitu Spot (Kenal pasti), Protect (Lindungi), Observe (Perhati), dan Tell (Beritahu), boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, baik dalam dunia fizikal mahupun dalam talian.
Cik Sim turut menggesa agar orang awam agar sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.
Kewaspadaan amat penting kerana ia dapat menutup ruang dan peluang bagi pesalah daripada melakukan jenayah, katanya.
Ini juga merangkumi ruang dalam talian.
“Ibu bapa dan penjaga golongan bawah umur perlu memberi perhatian khusus terhadap aktiviti dalam talian mereka dan memerhatikan sebarang tingkah laku yang berisiko,” kata Cik Sim.
Di samping itu, jika orang ramai menyaksikan jenayah seksual, mereka patut tampil ke hadapan untuk melindungi mangsa, sekiranya keadaan selamat untuk berbuat demikian dengan cara mengalihkan perhatian pelaku jenayah atau mengajak mangsa menjauhkan diri dari situ.
Saksi patut mencatat butiran pelaku jenayah seperti pakaian, lokasi dan jenis pengangkutan yang digunakan.
Cik Sim menasihati agar orang awam tidak bersemuka dengan pelaku jenayah secara bersendirian, termasuk dengan mengelak daripada menyiarkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mengganggu atau mengugut atau doxxing secara dalam talian.
