Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPH Media hentikan 34 pekerja dalam penyusunan semula bahagian teknologi

Nov 4, 2024 | 1:04 PM
Langkah pemotongan pekerja itu menjejaskan kakitangan teknologi merentas pelbagai pasukan dan pangkat dan menyumbang kira-kira 10 peratus pekerja dalam bahagian itu.
Langkah pemotongan pekerja itu menjejaskan kakitangan teknologi merentas pelbagai pasukan dan pangkat dan menyumbang kira-kira 10 peratus pekerja dalam bahagian itu. - Foto ZAOBAO

SPH Media pada 4 November mengumumkan pemberhentian 34 pekerja, di tengah-tengah penyusunan semula bahagian teknologi syarikat itu.

Pemotongan itu akan menjejas pekerja teknologi merentas pelbagai pasukan dan pangkat, melibatkan kira-kira 10 peratus pekerja dalam bahagian teknologi.

Ini berlaku apabila fungsi-fungsi berbeza dalam bahagian teknologi diperkemas mengakibatkan pemberhentian kerja, kata ketua pegawai operasi syarikat itu, Cik Loh Yuh Yiing, dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO), Encik Kaythaya Maw, dalam e-mel kepada kakitangan pada pagi 4 November.

“Ini adalah keputusan sukar yang kami terpaksa lakukan,” tambah mereka.

Dalam satu kenyataan kepada media, syarikat itu – yang menerbitkan surat khabar utama di Singapura seperti Berita Harian, The Straits Times, Lianhe Zaobao dan Tamil Murasu – berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti.

Ia menambah bahawa syarikat itu komited untuk menyokong kakitangan yang terjejas dan menyediakan mereka pakej pemberhentian menyeluruh yang mematuhi garis panduan tiga pihak, bimbingan kerjaya, bantuan penempatan pekerjaan, serta sokongan kaunseling untuk membantu memudahkan peralihan mereka.

SPH Media, yang ditubuhkan pada 2021 sebagai syarikat awam berhad yang dijamin selepas bekas Singapore Press Holdings disusun semula dan dinyahsenarai, telah mempercepatkan pengubahan digitalnya sejak tiga tahun lalu.

Dengan demikian, peningkatan “mendesak dan agresif” dalam pelbagai bidang teknologi adalah perlu untuk membina kembali tahun-tahun awal kekurangan pelaburan dan untuk seiring dengan permintaan landskap media digital yang berkembang, kata Cik Loh dalam e-melnya.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk rakan sekerja kami, melaksanakan dan menyampaikannya di semua bidang teknologi sejak tiga tahun lalu,” tambah beliau.

Walaupun peningkatan itu diperlukan untuk memangkinkan fasa pengubahan yang lebih awal, ia bukanlah tahap yang mampu dikekalkan syarikat selepas 2024, katanya.

Perbelanjaan untuk teknologi kini membentuk hampir 20 peratus daripada kos tahunan SPH.

Perbelanjaan berkaitan gaji menyumbang hampir dua pertiga daripada itu.

Cik Loh menyatakan bahawa di peringkat sejagat, syarikat media terus bergelut dengan penurunan hasil yang berterusan dan kos yang semakin meningkat untuk mengikuti permintaan umum yang berubah pantas dalam media digital.

Kata beliau: “SPH, juga, menghadapi tekanan yang sama untuk mencari jalan ke hadapan yang mampan.”

Berdasarkan ini, syarikat itu telah berusaha terlebih dahulu untuk mengetatkan perbelanjaan bukan gaji, sedang ia menyemak operasi teknologi dan struktur kosnya dalam tempoh tiga bulan lalu, kata Cik Loh.

Walaupun usaha itu memang telah membantu dalam mengurangkan sebahagian perbelanjaan keseluruhan, pelarasan kepada tenaga kerja tidak dapat dielakkan dan syarikat itu juga mengurangkan pergantungan kepada sumber kontrak di mana keperluan perniagaan telah berkembang, tambah Cik Loh.

Beliau berkata pemberhentian kerja hanya dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir.

Sambil menyifatkan ia sebagai keputusan yang sukar, beliau berkata pemotongan pekerja itu bersama-sama dengan penyusunan semula akan membawa bahagian teknologi kepada keadaan mantap yang lebih mampan.

“Keutamaan kami adalah untuk memberikan penjagaan dan sokongan kepada semua rakan sekerja yang terjejas semasa kami mengharungi peralihan yang mencabar ini,” tambahnya.

Beliau juga berkata bahawa pada masa ini tiada rancangan untuk “langkah lanjut seperti ini”, walaupun “semakan biasa dan pengoptimuman sumber” akan terus diperlukan apabila syarikat itu menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan yang berubah-ubah.

“Melangkah ke hadapan, tumpuan kami adalah untuk menstabilkan keadaan sedang kami beralih ke tahap operasi dan perbelanjaan teknologi yang lebih mampan,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan pada 4 November, Kesatuan Media Kreatif dan Penerbitan (CMPU) di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berkata pihak mereka telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai penyusunan semula SPH Media yang mengakibatkan pemberhentian kerja.

“SPH Media berkesatuan di bawah CMPU dan telah memberi keyakinan kepada CMPU bahawa ia telah meneroka semua pilihan alternatif termasuk pengerahan semula kepada jawatan sesuai.

“CMPU bekerjasama dengan SPH Media untuk memastikan semua anggota dan pekerja terjejas ditawarkan pakej pampasan adil dan diberi sokongan sewajarnya sedang mereka beralih kepada pekerjaan seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, CMPU dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC berada di lokasi di SPH Media pada 4 November untuk menawarkan sokongan pemadanan kerja dan nasihat kerjaya serta sumber untuk membantu pekerja yang diberhentikan.

Seiring dengan pemberhentian itu, Cik Loh juga mengumumkan perubahan pada struktur organisasi bahagian teknologi, yang akan berkuat kuasa mulai 5 November.

Bahagian itu akan disusun semula menjadi tiga jabatan yang luas iaitu Pejabat CTO, Jabatan Teknologi Maklumat (IT) dan Jabatan Produk dan Kejuruteraan.

Encik Jensen Boey akan mengetuai pejabat CTO itu, menyokong Encik Maw; Encik Christopher Lim akan mengetuai jabatan IT; dan Encik Maw akan mengetuai pasukan Produk dan Kejuruteraan buat sementara waktu.

Di samping itu, pasukan data semasa, yang terdiri daripada sains data, analitik dan fungsi kejuruteraan data, akan dipindahkan daripada bahagian teknologi menjadi jabatan cerapan perniagaan dan analitik kendiri di bawah tonggak korporat dan operasi syarikat itu.

Jabatan itu akan melapor terus kepada Cik Loh, untuk memaklumkan strategi di peringkat seluruh organisasi, katanya.

“Penyusunan semula jabatan teknologi ini akan membolehkan fokus kepimpinan yang lebih jelas dan kebertanggungjawapan terhadap hasil dalam bidang pentadbiran teknologi, prasarana IT dan pembangunan produk digital,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg