Pemerintah tidak campur tangan dalam keputusan editorial syarikat media, tetapi menjangkakan mereka dapat mendukung mutu kewartawanan yang bertanggungjawab, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis pada 12 Januari bagi satu soalan Parlimen yang dikemukakan Anggota Parlimen (MP), Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris–Changi), yang menyuarakan kebimbangan mengenai platform dalam talian Stomp, yang dikendalikan SPH Media.
Cik Lee bertanya sama ada pemerintah bimbang tentang kesan akan datang Stomp terhadap kepercayaan awam, serta piawaian yang diharapkan daripada platform yang disokong negara, memandangkan kandungannya “sering menyerupai gaya liputan akhbar tabloid”.
Cik Teo berkata pihak berkuasa menjangkakan semua syarikat media ini memastikan laporan mereka tepat, adil dan mematuhi undang-undang sebagai sebahagian daripada kewartawanan yang bertanggungjawab.
Beliau menambah Stomp dilesenkan di bawah skim pelesenan berita dalam talian, yang mewajibkan pemegang lesen mematuhi piawaian kandungan bagi memelihara keharmonian kaum dan agama, ketenteraman awam, kesopanan serta kesusilaan.
Apabila ditanya mengenai sebab beliau mengemukakan soalan tersebut, Cik Lee memberitahu The Straits Times (ST) beliau bimbang sebuah “platform yang disokong negara memperbesarkan pandangan cuai seorang individu sehingga menyebabkan seorang penjaja warisan yang bakal bersara menangis”.
Beliau merujuk kepada satu laporan Stomp yang diterbitkan pada 23 Disember yang mengkritik harga dan mutu makanan sebuah gerai yong taufu di Toa Payoh yang hampir ditutup.
Ulasan tersebut mencetuskan perbincangan dalam talian serta simpati terhadap pemilik gerai berkenaan.
“Saya berkongsi pandangan menteri bahawa ketepatan, keadilan serta kesopanan adalah penting dalam kewartawanan,” kata Cik Lee, sambil menambah laporan gaya tabloid membawa kesan nyata terhadap rakyat biasa.
Gerai yang terlibat, Hup Chong Yong Tau Foo, telah beroperasi selama empat dekad dan dijadualkan ditutup pada Januari.
Seorang jurucakap Stomp berkata pihaknya mengakui maklum balas yang diterima dan akan mengambilnya serius, sambil bertekad mengekalkan ketepatan dalam laporan.
Dalam satu hantaran Facebook pada 26 Disember, keluarga pemilik gerai itu berkata laporan tersebut menyebabkan cuti Krismas mereka menjadi yang paling suram dalam hidup mereka.
Hup Chong menyatakan kenaikan kos operasi dan faktor lain sebagai sebab penutupan gerai tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg