Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPH Media lancar program pengurusan, bentuk pemimpin bilik berita masa depan
SPH Media lancar program pengurusan, bentuk pemimpin bilik berita masa depan
Program 24 bulan itu disasar kepada lulusan baharu atau lulusan yang punyai pengalaman kerja kurang dua tahun
SPH Media lancar program pengurusan, bentuk pemimpin bilik berita masa depan
SPH Media telah melancarkan Program Pengurusan Bersekutu SPH bagi membentuk generasi pemimpin bilik berita baharu yang bersedia bagi masa hadapan, untuk mengemudi kewartawanan yang dipercayai dan memupuk masyarakat yang celik maklumat.
Program yang bakal berlangsung selama 24 bulan itu merupakan program pembangunan berstruktur yang disasarkan kepada lulusan baharu atau lulusan yang mempunyai pengalaman bekerja kurang daripada dua tahun, daripada semua bidang pengajian.
Berucap sewaktu Majlis Anugerah Biasiswa SPH Media di Auditorium SPH Media pada 30 Julai, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, berkata pelaburan paling berharga bukanlah dalam teknologi atau sistem, tetapi manusia.
“Apabila kita menyokong bilik berita kita dengan pementoran, latihan bertaraf dunia dan laluan kerjaya yang jelas, kita memperkukuh masa hadapan kewartawanan itu sendiri.
“Misi kami kekal mudah dan berterusan. Untuk memberikan maklumat, menjalinkan hubungan dan memberikan inspirasi.
“Kami merupakan sumber berita yang dipercayai, menghubungkan Singapura dengan dunia, dan dunia dengan Singapura,” kata beliau.
Program tersebut merangkumi tiga penempatan kerja secara giliran, setiap satunya berlangsung selama lapan bulan.
Bidang tugasnya termasuk Kandungan Digital dan Pertumbuhan Audiens, Strategi Penjanaan Hasil dan Komersial dan Inovasi dan Teknologi (Kecerdasan Buatan (AI)/Analitik Data, Pembangunan Produk).
Permohonan bakal dibuka dari 14 Ogos hingga 30 September 2026 melalui Portal SPH Media Career dan LinkedIn.
Tahun ini (2026), terdapat seramai lima penerima biasiswa dalam tiga kategori berbeza.
Salah satu kategori ialah Biasiswa Media Tamil yang dilancarkan buat julung-julung kalinya dan telah dianugerahkan kepada Cik Venkatesan Vidya Laxmi, 19 tahun, pelajar jurusan Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Dengan sokongan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Biasiswa Media Tamil menawarkan peluang istimewa kepada bakat muda yang komited untuk memartabatkan bahasa Tamil serta mencorakkan masa depan media Tamil.
Biasiswa ini meliputi yuran pengajian dan yuran wajib universiti, elaun bulanan, serta geran sekali sahaja bagi menampung perbelanjaan berkaitan pengajian di universiti.
Penerima biasiswa juga akan mengikuti latihan industri yang menyeluruh di beberapa bilik berita SPH Media serta menerima sokongan untuk menyertai program pertukaran pelajar di luar negara yang ditawarkan oleh institusi pengajian masing-masing.
Selepas menamatkan pengajian, penerima biasiswa akan memainkan peranan dalam mencorakkan landskap kewartawanan Tamil serta menerajui masa depan kewartawanan Tamil, sekali gus memastikan bahasa Tamil terus berkembang merentas pelbagai platform media yang dinamik.
Seramai tiga individu termasuk Cik Trina Lee Yuxuan, 19 tahun, Cik Ma Qian Hui, 20 tahun, dan Cik Sakthivel Shivani, 19 tahun, menerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media. Seorang lagi, Encik Quek Chui Qing, 24 tahun, menerima Biasiswa SPH Media-Yayasan Temasek.