SPH Media sedang memperluas akses kepada kewartawanan daripada bilik beritanya dengan menyediakan kandungan daripada beberapa akhbarnya dalam bahasa-bahasa lain, menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu mencerminkan hasrat syarikat media nasional tersebut untuk merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang bahasa di Singapura, dengan membolehkan pembaca memahami dengan lebih mendalam cara masyarakat lain melihat dunia dan isu-isu yang penting bagi mereka, selain perspektif yang membentuk masyarakat masing-masing.

Menurut satu kenyataan SPH Media pada 5 November, pihaknya juga akan secara berperingkat menyediakan kandungan daripada akhbar-akhbar utamanya dalam empat bahasa rasmi Singapura, sekali gus membolehkan pembaca mengakses laporan dalam bahasa pilihan masing-masing.

Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, berharap ia dapat membantu pembaca melihat sesuatu isu dari sudut pandang berbeza dan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.

“Di sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian bahasa dan budaya seperti Singapura, perkongsian cerita dapat memperkayakan landskap masyarakat berbilang budaya yang menyatukan rakyatnya,” katanya.

Antara perkembangan terkininya ialah pelancaran edisi bahasa Inggeris akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao (LHZB), pada 5 November.

Ini menyusuli pelancaran edisi bahasa Cina akhbar perniagaan The Business Times (BT) pada Mac 2026, dan akhbar berbahasa Inggeris The Straits Times (ST) pada 28 Oktober.

Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong, berkata usaha itu membolehkan lebih ramai pembaca mendapat manfaat daripada hasil kewartawanan kedua-dua akhbar tersebut.

“ST dan BT menyediakan laporan mendalam serta analisis mengenai isu-isu yang penting bagi rakyat Singapura, daripada perkembangan dalam negara sehinggalah kepada peristiwa besar yang membentuk rantau ini dan dunia.

“Dengan menyediakan kandungan kewartawanan ini dalam bahasa Cina, kami dapat berkongsi pengetahuan dan kepakaran tersebut dengan lebih meluas, agar lebih ramai pembaca dapat memanfaatkannya tanpa mengira bahasa pilihan mereka,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, SPH Media berkata ia menggunakan pendekatan khusus dalam penterjemahan berasaskan AI dengan memilih model yang bersesuaian mengikut pasangan bahasa, keperluan editorial dan keperluan setiap penerbitan, sekali gus membolehkan syarikat itu memanfaatkan kelebihan teknologi yang berbeza.

Khususnya, ST dan BT menggunakan model bahasa besar SEA-LION milik program kebangsaan, AI Singapore (AISG), yang direka untuk memahami bahasa serta konteks budaya Asia Tenggara, bagi mengautomatikkan proses penterjemahan.

“Kami berterima kasih kepada AISG atas kerjasama dalam merealisasikan inisiatif ini. Kepakarannya dalam membangunkan model AI bagi bahasa Asia Tenggara amat bernilai dalam membantu kami menjadikan hasil kewartawanan lebih mudah diakses.

“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini bagi meningkatkan mutu terjemahan kami,” tambah Encik Wong.

Dilancarkan secara digital menerusi laman web, zaobao.com.sg/en, edisi bahasa Inggeris LHZB memaparkan pilihan rencana asal yang diterbitkan dalam bahasa Cina.

Ini termasuk laporan berita eksklusif dan rencana ulasan yang memberikan pembaca gambaran tentang pengalaman serta keprihatinan masyarakat berbahasa Cina di Singapura.

Pada majlis pelancaran tersebut di Auditorium SPH Media pada 5 November, ucapan Ketua Editor Kumpulan Media Cina (CMG) SPH Media, Cik Lee Huay Leng, disampaikan oleh Editor LHZB, Cik Ang Yiting.

Cik Lee berkata inisiatif pihaknya bertujuan membantu lebih ramai pembaca, khususnya golongan muda, menghargai hasil kewartawanan akhbar berkenaan.

“Kami percaya bahawa terjemahan dalam bahasa Inggeris dapat membantu golongan muda mengenali dan menghargai hasil kewartawanan LHZB, termasuk mereka yang mungkin masih belum selesa membaca rencana yang kompleks dalam bahasa Cina.

“Kami tidak melihat usaha ini sebagai pengganti kepada kewartawanan berbahasa Cina, sebaliknya sebagai satu lagi cara untuk memperluas jangkauan dan nilai yang dibawanya kepada khalayak lebih luas,” ujarnya.

Majlis pelancaran itu diserikan oleh kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam, selaku tetamu terhormat dan dihadiri sekitar 100 tetamu.

Mereka termasuk pegawai kanan pemerintah, anggota kor diplomatik, pemimpin perniagaan dan masyarakat serta ahli akademik.

Edisi bahasa Inggeris LHZB memanfaatkan model AI termaju untuk penterjemahan, dengan sokongan pasukan penyunting yang akan menyemak kandungan terjemahan terpilih bagi memastikan konteks budaya dan kejelasannya sebelum diterbitkan.

Dalam usaha memastikan ketepatan terjemahan, Cik Lee akur bahawa proses tersebut masih dalam peringkat penambahbaikan, dengan pasukannya perlu menangani beberapa seperti memastikan nama tokoh awam diterjemahkan secara tepat dan konsisten.

Ini di samping memastikan petikan asal yang pernah diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Cina dapat dikembalikan kepada ungkapan asalnya apabila diterjemahkan semula ke bahasa Inggeris, khususnya bagi kenyataan penting.

“Mendapatkan perincian ini dengan tepat memerlukan usaha yang besar. Sistem penterjemahan AI kami masih dalam proses penambahbaikan dan masih banyak ruang untuk diperhalusi,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Lee berharap dapat memperkenalkan edisi bahasa Melayu dan Tamil setelah edisi bahasa Inggerisnya mantap dan dapat beroperasi dengan lancar.