SPH Media merangkul lima anugerah di Anugerah Podcast Asia 2026 di Jakarta pada 3 September, termasuk Podcast Berita Terbaik dan Podcast Temu Bual Terbaik.

Anugerah itu, yang diumumkan semasa Persidangan RadioDays Asia, diperkenalkan pada 2023 oleh penerbitan perdagangan Australia, Radioinfo.

Anugerah itu mengiktiraf individu, pasukan dan organisasi cemerlang dalam bidang podcast merentasi industri media dan pemasaran Asia.

SPH Media mempunyai finalis dalam 13 daripada 23 kategori. Daripada 70 finalis, 14 daripada SPH, iaitu 12 daripada SPH Radio dan dua daripada The Straits Times.

Empat daripada lima anugerah SPH Media dimenangi Money FM 89.3.

Money & Me, kendalian Michelle Martin, memenangi Podcast Kewangan dan Perniagaan Terbaik, manakala Xtra Large, terbitan Nazirul Asrar, meraih Podcast Baharu Terbaik.

Talk of the Town, dikendalikan Neil Humphreys dan Audrey Siek, memenangi Podcast Berita Terbaik, sementara Sports Minutes, kendalian Zia-ul Raushan, meraih Podcast Sukan Terbaik untuk tahun ketiga berturut-turut.

Martin pernah dinobatkan Penyampai/Pengacara Terbaik Tahunan pada tahun lalu.

Kiss92 pula memenangi Podcast Temu Bual Terbaik menerusi Shelf Life with Yumiko, kendalian Yumiko Kayahara, yang memenangi Podcast Baharu Terbaik pada 2025.

Ketua Radio SPH Media, Encik Sim Hong Huat, berkata anugerah itu mengiktiraf kreativiti, bakat dan kesungguhan pasukan radio serta tumpuan mereka menghasilkan kandungan bermutu yang menarik perhatian khalayak dan mendorong mereka terus kembali untuk menikmati lebih banyak kandungan.

Beliau berkata SPH Media akan terus mencuba format dan idea baharu serta memanfaatkan kekuatan penyampai dan penerbitnya di platform radio dan digital.

Anugerah Podcast Asia terbuka kepada penerbit bebas, syarikat radio dan penyedia perkhidmatan podcast yang menghasilkan kandungan untuk Asia atau Pasifik dalam apa jua bahasa.

Anugerah tahunan itu merangkumi pelbagai kategori podcast, termasuk berita, sukan, pendidikan, kesihatan dan perniagaan, serta anugerah individu seperti penerbit audio, penerbit eksekutif dan penyampai/pengacara terbaik.