Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPP lancar manifesto, mahu tanding Bishan-Toa Payoh

Bakal calon Melayu SPP, Norhakim Norazahari mahu perjuangkan kos sara hidup, longgar kuota etnik HDB
Apr 19, 2025 | 2:22 PM
Antara bakal calon SPP bagi GRC Bishan-Toa Payoh atau SMC Potong Pasir, Encik Muhammad Norhakim, mencadangkan agar kuota etnik di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dilonggarkan.
Antara bakal calon SPP bagi GRC Bishan-Toa Payoh atau SMC Potong Pasir, Encik Muhammad Norhakim, mencadangkan agar kuota etnik di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dilonggarkan. - Foto BM oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Bakal calon Parti Rakyat Singapura (SPP) di GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Muhammad Norhakim Norazahari, berkata beliau akan memperjuangkan isu penduduk yang sukar menjual flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akibat kuota etnik.

Selain itu, isu berkaitan kos sara hidup juga akan diperjuangkannya di Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini.

“Maklum balas yang kami terima menunjukkan ramai menghadapi masalah menjual rumah mereka disebabkan kuota etnik,” kata Encik Norhakim, 31 tahun, yang bekerja sebagai eksekutif operasi dalam sektor logistik.

Justeru, SPP mencadangkan pelancaran program perintis selama lima tahun bagi melonggarkan kuota etnik di semua estet HDB, katanya lagi.

“Langkah ini akan membantu pemilik flat dari kumpulan minoriti menjual rumah mereka di pasaran terbuka pada nilai yang lebih adil,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian semasa bertemu media apabila SPP melancarkan manifesto bagi GE2025.

Manifesto itu, yang diiringi slogan ‘Sudah Tiba Masanya’, dilancarkan oleh Setiausaha Agung parti, Encik Steve Chia, pada 19 April, berdekatan Pasar dan Pusat Penjaja Lorong 8 Toa Payoh.

Encik Chia, bekas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), turut mengumumkan beliau akan mengetuai pasukan SPP yang bakal bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh pada GE2025.

Dalam sesi yang sama, beberapa calon SPP yang dijangka bertanding di kawasan SMC Potong Pasir dan GRC Bishan-Toa Payoh turut tampil memperkenalkan diri masing-masing, serta berkongsi beberapa cadangan SPP untuk menangani kos sara hidup yang tinggi, kadar kelahiran yang merosot, serta isu kesihatan mental.

Selain Encik Norhakim, antara calon lain yang diperkenalkan ialah pengerusi parti, Encik Melvyn Chiu, 46 tahun; bendahari, Encik Williamson Lee, 46 tahun; dan pengurus operasi, Encik Lim Rui Xian, 37 tahun.

Encik Chia berkata:

“Kami telah meluangkan lebih dua tahun untuk menyemak dan mengemas kini manifesto ini. Kami melihat isu-isu yang masih relevan dan juga apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah. Ini adalah versi yang telah dipertingkatkan,” kata beliau, yang telah berkhidmat sebagai NCMP dari 2001 hingga 2006.

Antara cadangan manifesto SPP adalah untuk memansuhkan usia persaraan iaitu 63 tahun, serta memberikan insentif kepada warga emas untuk kekal terlibat dalam masyarakat dan supaya mereka tidak dipinggirkan.

Dalam usaha menangani kadar kelahiran yang semakin menurun, SPP ingin mengubah persepsi masyarakat – bukan menganggap anak sebagai beban, tetapi sebagai aset.

Mereka mencadangkan penambahan geran perumahan dan kelonggaran Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) bagi ibu bapa yang ingin membeli rumah lebih besar apabila mempunyai anak kedua dan ketiga.

Dalam aspek penjagaan kesihatan, SPP menekankan keperluan untuk meringankan beban kos kesihatan dan menangani cabaran kesihatan mental yang semakin meningkat.

Pada GE2020, pasukan SPP yang terdiri daripada Encik Chia, Encik Chiu, Encik Lee dan Encik Osman Sulaiman, telah memperoleh 32.77 peratus undi di GRC Bishan-Toa Payoh, apabila mereka bersaing dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di sana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg