Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura akan bantu Mesir digitalkan pelabuhan

Lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam turut bincangkan kemungkinan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA)
Sep 23, 2025 | 4:14 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam, Presiden Abdel Fattah al-Sisi, Mesir
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri), menemui rakan sejawatnya dari Mesir, Presiden Abdel Fattah al-Sisi, di Istana Al Ittihadiya di Kahirah pada 20 September, dalam lawatan negara pertamanya ke Timur Tengah dan Afrika Utara. - Foto ZAOBAO

KAHIRAH: Syarikat Singapura akan membantu Mesir mendigitalkan pelabuhan di Terusan Suez, berikutan perbincangan antara Presiden Tharman Shanmugaratnam dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Presiden Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan negara pemimpin Singapura itu ke negara di Afrika Timur.

Dalam satu temu bual dengan media Singapura pada 22 September selepas lawatan empat harinya, Tuan Presiden berkata tujuannya adalah untuk membangunkan pelabuhan West Port Said menjadi pelabuhan bijak – “pendigitalan, sistem pengurusan, cuba untuk mengikut, sebahagiannya, apa yang Singapura telah lakukan,” katanya.

Pelabuhan West Port Said merupakan antara pelabuhan utama negara tersebut dan terletak di pintu masuk utara Terusan Suez.

Tuan Presiden juga menyatakan bahawa Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) mempunyai prospek yang sangat besar dengan enam pelabuhan dan empat zon perindustrian, lapor The Straits Times (ST).

Mesir berharap agar Singapura menambah pelaburan dan kepakaran ke dalam SCZone yang ditubuhkan pada 2015.

Tuan Presiden ditemani delegasi pegawai pemerintah dan anggota masyarakat perniagaan dalam lawatan negara pertamanya ke Timur Tengah dan Afrika Utara.

Delegasi itu menandatangani beberapa perjanjian baru untuk kerjasama dengan rakan-rakan sejawat mereka di Mesir.

Satu lagi perkembangan penting daripada perbincangannya dengan Presiden Sisi adalah kedua-dua pemerintah akan mengkaji kemungkinan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA), kata Tuan Presiden.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan pada 21 September berkata kedua-dua presiden itu bersetuju bahawa perjanjian tersebut akan memanfaatkan kekuatan dan lokasi strategik kedua-dua negara yang saling melengkapi.

Dalam temu bual media, Tuan Presiden berkata perjanjian itu “berpotensi memberi kesan besar kepada masyarakat perniagaan” dan akan menghantar isyarat kuat bahawa rantau-rantau tersebut saling melengkapi.

Tuan Presiden menegaskan bahawa Singapura bukan pesaing kepada Mesir, sebaliknya Singapura menghasilkan komponen dan produk dalam pelbagai bentuk yang boleh memberi manfaat kepada industri eksport Mesir.

“Untuk berkembang, Mesir perlu mengeksport. Ia perlu menjadi kuasa eksport. Mereka percaya dengan itu, dan kami rasa kami boleh melengkapi strategi mereka. FTA, jika terlaksana, akan sangat berguna,” katanya.

Semasa lawatannya, Tuan Presiden turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mesir, Encik Mostafa Madbouly; imam besar Masjid Al-Azhar di Kahirah, Sheikh Ahmed Al-Tayeb; dan ketua Gereja Koptik di Mesir, Pope Tawadros II.

Menurutnya, perbincangan tersebut sangat bermakna, dan menambah bahawa Singapura percaya pada masa depan Mesir.

“Mesir mungkin kelihatan jauh dari Singapura dan terletak di kawasan yang bergolak, tetapi kami percaya pada masa depan Mesir,” katanya.

Tuan Presiden juga berkata Mesir mempunyai kedudukan strategik yang unik, baik dalam geopolitik semasa dan sangat penting, dalam trend ekonomi masa depan.

Beliau juga menekankan lokasi Mesir yang mempunyai kedua-dua Terusan Suez dan Sungai Nil sebagai kelebihannya, selain penduduknya yang muda.

Tuan Presiden menambah: “Sangat penting, Mesir mempunyai pandangan yang jelas mengenai masa depannya – secara ekonomi dan sosial. Ia sedang berada di laluan yang akan membawa kepada perpaduan dan kemakmuran yang lebih besar.”

Semasa lawatan tersebut, Tuan Presiden telah ke ibu pejabat Bulan Sabit Merah Mesir – ketua negara pertama yang melakukan sedemikian.

Beliau berkata pertubuhan bantuan itu sangat menghargai hubungan dengan Singapura, dan Singapura turut menghargai cara organisasi tersebut membantu Singapura dalam menghantar bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Beliau juga menyatakan bahawa sekumpulan tiga karyawan penjagaan kesihatan dari Singapura baru-baru ini telah membantu kakitangan Mesir di Hospital Institut Nasser yang terletak di Kahirah, dan memberi nasihat tentang beberapa kes yang sangat rumit melibatkan kanak-kanak Palestin yang dipindahkan akibat konflik di Gaza.

Pasukan itu termasuk doktor asing pertama yang dibenarkan oleh Mesir untuk dihantar ke hospital-hospital negara tersebut.

“Apabila semuanya disatukan, ini adalah tahap hubungan baru yang kita bina. Tetapi yang sangat penting adalah bahawa kita dapat bekerjasama dengan baik,” kata Tuan Presiden.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg