Lebih ramai pegawai sektor penerbangan dan maritim dari seluruh dunia akan dilatih di Singapura, susulan usaha negara ini melancarkan dan membangunkan program latihan baru dalam kedua-dua sektor tersebut.
Program tersebut menyokong Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), yang merupakan contoh institusi pelbagai hala sekali gus menjadi “tonggak kepada sistem antarabangsa berasaskan peraturan”.
Demikian dinyatakan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Inisiatif ini juga antara usaha mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan dan maritim.
Latihan itu termasuk satu program khusus untuk pegawai pengangkutan dari Negara Membangun bagi Pulau Kecil (Sids), yang antaranya terdiri dari negara di rantau Caribbean dan Pasifik, lapor The Straits Times (ST).
Program itu akan memberi tumpuan kepada cabaran unik yang dihadapi oleh negara pulau kecil seperti Singapura dalam industri penerbangan dan maritim, kata Encik Siow, semasa majlis pembukaan Simposium Penerbangan dan Maritim Sejagat, pada 14 Julai, di Pusat Konvensyen Raffles City.
Program latihan pertama bagi Sids, yang melibatkan pegawai dari negara pulau di Caribbean, akan bermula pada 2026, manakala kursus untuk negara di Pasifik dan kawasan lain sedang dalam perancangan.
Singapura akan bekerjasama dengan ICAO dan IMO dalam satu inisiatif sejagat baru bagi membangun dan melaksanakan program latihan khusus untuk pegawai serta pengamal dalam sektor penerbangan dan maritim, jelas Encik Siow yang juga Menteri Negara Kanan (Kewangan).
Kerjasama ini mengiktiraf bahawa “sektor penerbangan dan maritim kini semakin saling bergantung antara satu sama lain, serta berdepan cabaran yang serupa”, tambah beliau.
Encik Siow turut mengumumkan lanjutan Program Latihan Negara Membangun Singapura-ICAO, yang akan membiayai 330 biasiswa latihan profesional dan 10 biasiswa pengajian bernilai AS$1.8 juta ($2.3 juta), dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Daya usaha itu bertujuan menyokong pegawai dari negara anggota ICAO yang sedang membangun, untuk menghadiri kursus berkaitan penerbangan.
Singapura turut beriltizam menyediakan pembiayaan siri kedua AS$3 juta untuk Pakej Kerjasama Teknikal dan Latihan Dipertingkatkan bagi IMO dan negara-negara anggota, kata Encik Siow.
Jumlah itu adalah tambahan kepada komitmen awal AS$2 juta bagi 2024 hingga 2025, yang menyokong latihan untuk pelaut dalam bidang seperti bahan bakar gantian, pendigitalan dan siasatan nahas marin.
Sehingga kini, Singapura telah menjalankan kursus latihan penerbangan dan maritim untuk lebih 1,800 peserta di bawah Program Latihan Negara Membangun Singapura-ICAO dan lebih 2,400 peserta di bawah Program Latihan Negara Ketiga Singapura-IMO, tambah Encik Siow.
Semasa simposium itu, Encik Siow berkata Singapura telah menjadi “penyokong kuat” kepada ICAO dan IMO sejak menyertai kedua-dua pertubuhan itu pada 1966 dan berkhidmat sebagai anggota majlis IMO sejak 1993 dan ICAO pada 2003.
Acara itu menghimpunkan kumpulan penerbangan dan maritim sejagat buat kali pertama, termasuk Setiausaha Agung ICAO dan IMO.
Lebih 500 anggota delegasi, termasuk menteri pengangkutan, pegawai kanan, pengawal selia serta pemimpin dan pakar industri dari lebih 80 negara, berkumpul di Singapura untuk menghadiri simposium yang berlangsung sehingga 18 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg