Seramai 1,800 lagi pendidik penjagaan bayi dkan diambil bekerja menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat apabila khidmat tersebut lebih dimampui keluarga.

Untuk mencapai matlamat itu, geran pengambilan pekerja bagi pengendali prasekolah akan diperluas bagi membantu mereka merekrut lebih ramai pendidik sedemikian, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, pada 28 Ogos.

Encik Goh berkata demikian kepada media di luar sambutan Hari Guru di Prasekolah E-Bridge@Sumang Lane.

Mulai September ini, Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) akan memperluas Geran Pengambilan Tenaga Kerja (MHG) bagi menyediakan sokongan pembiayaan kepada pelatih tempatan dan asing yang lmendaftar dalam kursus awal kanak-kanak di Singapura.

Semasa menjalani pengajian, mereka akan diambil bekerja oleh majikan dan menerima latihan untuk pekerjaan tersebut.

Dengan geran yang diperluas, elaun latihan akan turut meliputi pensijilan penjagaan bayi, termasuk kursus Penolong Pendidik Bayi dan Sijil Asas Penjagaan Bayi.

Sokongan pembiayaan di bawah MHG juga akan dilanjutkan selama tiga tahun sehingga 31 Disember 2030.

Langkah-langkah ECDA ini menyusuli pengumuman pelbagai langkah untuk mempertingkat sokongan bagi keluarga oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos.

Yuran di prasekolah yang disokong pemerintah dijangka turun lebih separuh menjelang tahun 2030, dengan bayaran bulanan bagi penjagaan kanak-kanak sepenuh hari dikurangkan kepada $150 sebulan dan penjagaan bayi kepada $300.

Rangkaian pengendali prasekolah yang disokong pemerintah juga akan diperluas supaya lebih banyak keluarga boleh mendapatkan perkhidmatan mampu milik ini lebih dekat dengan kediaman mereka.

“Apabila khidmat penjagaan bayi menjadi lebih mampu milik dan mudah diakses, permintaan bagi tempat penjagaan bayi dijangka meningkat.

“Tumpuan ECDA adalah untuk membina tenaga kerja penjagaan bayi yang kukuh dan terlatih. Pendidik penjagaan bayi memerlukan pengetahuan dan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkembangan serta penjagaan bayi,” kata ECDA dalam satu kenyataan.

Dengan itu, ECDA akan meneroka kerjasama luar negara jika perlu bagi meluaskan kumpulan calon yang sesuai.

Pada masa yang sama, ECDA merancang memanfaatkan tenaga kerja daripada lebih 2,000 pendidik prasekolah yang sedia ada, di mana sokongan tambahan akan diberikan bagi menggalakkan lebih ramai pendidik tersebut menyertai sektor penjagaan bayi.

Selain itu, satu geran baharu akan diperkenalkan untuk membantu pengendali prasekolah yang layak menyertai rangkaian pengendali rakan kongsi yang disokong pemerintah.

Butiran lebih lanjut akan diumumkan pada masa akan datang, kongsi ECDA.

Timbalan Ketua Pusat di Prasekolah E-Bridge@ Sumang Lane, Cik Anati Mohammed Salih, 35 tahun, berkata tambahan tenaga kerja itu akan membantu pusat prasekolah mengurus keperluan harian dengan lebih baik.

Pusatnya mempunyai 36 pendidik yang menjaga seramai 196 kanak-kanak, termasuk 15 bayi.

“Dengan tenaga kerja yang mencukupi, pendidik dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada keperluan setiap kanak-kanak dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.

“Pada masa yang sama, ia memberi ruang kepada pendidik untuk membina hubungan dan interaksi yang lebih erat dengan kanak-kanak,” kongsi beliau.

Bagi Cik Liyana Mohd Razali, 34 tahun, beliau beralih kerjaya daripada sektor perkhidmatan awam untuk menjadi pendidik penjagaan bayi pada 2025.

Ibu kepada empat anak berusia antara tiga dengan lapan tahun itu sebelum ini mahu mencari pekerjaan baharu kerana tidak lagi dapat mengimbangi kerja syif dalam pekerjaan lamanya dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Dengan itu, beliau mengikuti kursus selama lima bulan untuk memperoleh Sijil Tinggi dalam Penjagaan Bayi sambil bekerja di Prasekolah E-Bridge.

Yuran kursusnya ditanggung sepenuhnya oleh pengendali prasekolah serta subsidi pemerintah di bawah MHG.

Menurut Cik Liyana, geran itu membantu mengurangkan beban kewangannya ketika beralih kepada peranan baharu tersebut.

“Pengurusan masa sesuatu yang penting bagi saya. Saya memang tidak mampu untuk bekerja sepanjang hari kemudian pergi belajar pada waktu malam.

“Dengan aturan ini, saya boleh bekerja separuh hari dan belajar separuh hari. Jadi saya masih ada masa untuk siapkan tugasan dan apabila selesai pada sebelah petang, saya boleh pulang dan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

“Ia tidak terlalu menjejas kehidupan harian saya,” katanya.