Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kecam pembunuhan awam tidak bersalah di Gaza, akan kenakan sekatan tertumpu

Vivian: Tindakan melampaui batas Israel mungkin langgar undang-undang antarabangsa, S’pura akan timbang semula pendirian iktiraf negara Palestin jika keadaan meruncing
Sep 22, 2025 | 2:00 PM
Vivian, konflik Israel-Palestin, huraian dua negara
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan. - Foto MDDI

Singapura akan mempertimbangkan semula keputusan mengiktiraf Palestin sebagai negara jika keadaan terus meruncing atau jika Israel mengorak langkah lanjut untuk menghapuskan huraian dua negara, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata Singapura buat sekian lama menyokong huraian dua negara yang dirunding bagi konflik Israel-Palestin.

“Kami akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara apabila ia mempunyai pemerintah berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak pengganasan sepenuhnya,” kata Dr Balakrishnan di Parlimen pada 22 September.

Beberapa negara Barat termasuk Britain, Canada, Australia dan Portugal telah mengiktiraf Palestin sebagai negara pada 21 September, menyertai lebih 140 negara lain yang juga menyokong aspirasi Palestin menjadi sebuah negara.

Memberikan Kenyataan Menteri mengenai keadaan di Timur Tengah, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan mengenakan sekatan ke atas pemimpin kumpulan petempatan sayap kanan radikal yang bertindak ganas terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Butiran lanjut mengenai sekatan itu akan diumumkan kelak, ujar beliau.

Sebanyak 13 soalan Parlimen telah difailkan Anggota Parlimen (AP) termasuk Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), berhubung konflik di Gaza.

Menyertai perbahasan mengenai Gaza di Parlimen pada 22 September, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata langkah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara adalah hasrat Singapura, dan sesuatu yang sedang diusahakan pemerintah.

“Ini adalah pendirian Singapura demi memastikan keamanan yang berkekalan bagi rakyat Palestin dan Israel. Ini bukan sesuatu dipersoalkan tetapi hanya menanti masa yang sesuai,” ujar beliau.

Operasi ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut nyawa lebih 60,000 orang, termasuk sepertiga kanak-kanak.

“Singapura mengutuk pembunuhan orang awam yang tidak bersalah,” kata Dr Balakrishnan.

Menambah, beliau berkata keadaan kemanusiaan di Gaza yang berada di ambang kebuluran adalah mengejutkan dan boleh dielakkan keseluruhannya.

“Perbuatan sengaja tidak membenarkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam melanggar undang-undang dan tidak boleh diterima,” kata beliau lagi.

“Dalam pandangan kami, tindakan melampaui batas pemerintah Israel mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Dr Balakrishnan berkata adalah ‘malang’ unsur-unsur ekstremis di kedua-dua pihak Palestin dan Israel terus menjejas prospek bagi penyelesaian dua negara.

Sepanjang sekurang-kurangnya 18 tahun yang lalu, tidak ada pemerintah Palestin yang bersatu yang melaksanakan kawalan berkesan di wilayah Palestin, termasuk kedua-dua Tebing Barat dan Gaza, kata beliau.

Gaza diperintah Hamas, manakala wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat pula diperintah Penguasa Palestin. Hamas secara konsisten telah menolak hak Israel untuk wujud, dan belum menolak pengganasan atau bersetuju untuk melucutkan senjata.

Sebaliknya, Dr Balakrishnan berkata Singapura mempunyai hubungan baik dengan Penguasa Palestin, dan mengalu-alukan komitmennya untuk menolak pengganasan, melaksanakan pembaharuan, serta melucutkan senjata Hamas – seperti yang dinyatakan Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dalam suratnya kepada Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pada Jun 2025.

Namun begitu, Dr Balakrishnan berkata tidak jelas apakah yang akan berlaku di Gaza selepas gencatan senjata, dan belum diketahui sama ada Penguasa Palestin boleh benar-benar melucutkan senjata dan menyingkirkan Hamas dari Gaza.

“Kami akan memantau dengan teliti komitmen ini yang dibuat oleh Penguasa Palestin,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa Singapura secara konsisten berpandangan bahawa petempatan Israel adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa dan menolak percubaan berterusan Israel untuk mewujudkan fakta baru yang menjejas prospek penyelesaian dua negara.

Penduduk petempatan Israel terus menyingkirkan rakyat Palestin di Tebing Barat, dengan beberapa ahli politik Israel telah bercakap tentang langkah merampas beberapa bahagian Tebing Barat atau Gaza untuk dijadikan sebahagian Israel.

Bahkan, baru-baru ini, pemerintah Israel telah menandatangani perjanjian untuk meneruskan projek petempatan E1 di Tebing Barat.

Dr Balakrishnan berkata: “Singapura tidak boleh mengiktiraf sebarang rampasan wilayah diduduki yang dilakukan oleh satu pihak kerana ini akan menjadi pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

“Kami akan terus memantau perkembangan dengan teliti. Kejadian berkembang dengan pantas dan sukar diramal.”

Menjawab soalan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, mengenai keperluan mengiktiraf Palestin sebagai negara secara bersyarat, Dr Balakrishnan berkata syarat yang memperuntuk kewujudan pemerintah Palestin yang berkesan dan yang menolak pengganasan adalah penting bagi Singapura kerana negara ini menolak pengganasan sepenuhnya.

Namun, ini tidak bermakna Singapura akan membolehkan Israel “mempunyai veto”, memandangkan pendirian sekian lama negara ini yang menyokong penyelesaian dua negara.

“Dan jika salah satu atau kedua-duanya berkata tidak, maka kita tidak boleh ikut mereka, bukan? Dan itu sebabnya saya juga telah menyatakan bahawa kedudukan kita adalah bukan jika, tetapi bila.

“Dan kami juga telah menekankan bahawa jika keadaan terus bertambah buruk, atau jika Israel mengambil tindakan lanjut untuk menghapuskan sebarang prospek penyelesaian dua negara, maka kita perlu mempertimbangkan semula kedudukan kita,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg