Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, AS meterai MOU permudah kongsi teknologi tenaga nuklear

Perjanjian bawa S’pura selangkah ke hadapan dalam usaha capai sasaran sifar bersih jelang 2050
Jul 31, 2024 | 3:00 PM
nuklear
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kanan), dan Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken bersalaman selepas menandatangani ‘Perjanjian 123’ pada 31 Julai yang akan mempermudahkan akses bagi Singapura untuk mendalami pemahamannya dan mendapat maklumat teknikal tentang tenaga nuklear. - Foto ZAOBAO

Singapura telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Amerika Syarikat pada 31 Julai yang akan mempermudahkan akses bagi Singapura untuk mendalami pemahamannya dan mendapat maklumat teknikal tentang tenaga nuklear.

Digelar, Perjanjian 123, ia adalah perjanjian kerjasama nuklear sivil yang juga akan membolehkan Singapura dan Amerika memudahkan dan mendalami kerjasama yang lebih besar melalui perkongsian amalan terbaik dan pengetahuan teknikal dalam bidang berkaitan keselamatan nuklear.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, yang melakukan lawatan rasmi dua harinya ke Singapura dari 30 hingga 31 Julai.

“Singapura menganggap usaha penerapan nuklear yang tidak bercambah sebagai penting demi keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Perjanjian 123 menggariskan rangka kerja menyeluruh untuk memperdalam kerjasama nuklear sivil selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa tertinggi, perlindungan dan bukan percambahan.

“Teknologi nuklear konvensional semasa tidak sesuai untuk Singapura. Tetapi memandangkan kemajuan dalam teknologi nuklear awam, kita perlu sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang yang berkembang pesat ini,” kata Dr Balakrishnan.

Penerapan nuklear yang tidak bercambah adalah usaha bagi mencegah penyebaran senjata nuklear dan teknologi senjata.

Perjanjian 123 adalah satu keperluan di bawah Seksyen 123 Akta Tenaga Atom Amerika (1954), yang perlu ditandatangani bagi semua negara yang ingin memperdalam kerjasama nuklear sivil dengan Amerika.

Perjanjian itu memerlukan setiap negara mematuhi satu set keperluan bukan percambahan untuk menjamin bahawa maklumat yang diperoleh melalui perjanjian itu hanya akan digunakan untuk tujuan keamanan.

Sehingga Julai 2024, Amerika mempunyai 24 Perjanjian 123 yang berkuat kuasa, dan ini merangkumi negara seperti China, India, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Sempena pemeteraian perjanjian itu, Singapura juga akan menyertai program Prasarana Asas Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk Penggunaan Bertanggungjawab Teknologi Reaktor Modular Kecil (First).

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 31 Julai oleh Singapura dan Amerika, Singapura “belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear di Singapura” dan bahawa sebarang keputusan memerlukan kajian yang lebih terperinci dan mendalam.

“Sebarang keputusan memerlukan kajian terperinci tentang keselamatan, kebolehpercayaan, kemampuan dan kemampanan sekitaran tenaga nuklear dalam konteks tempatan kita.

“Kebanyakan reka bentuk reaktor nuklear termaju masih menjalani proses penyelidikan dan pembangunan, dan belum bermula operasi komersial,” tambah kenyataan itu.

Perjanjian yang ditandatangani pada 31 Julai itu membawa Singapura selangkah ke hadapan dalam usahanya untuk mencapai sasaran sifar bersihnya menjelang 2050.

Ia menambah Singapura sedang mengkaji semua pilihan yang berpotensi untuk menyahkarbonkan sektor tenaga, termasuk teknologi nuklear dalam usaha untuk mengekalkan keselamatan tenaga dan daya saing kos negara.

“Kami akan meneruskan usaha yang dijalankan sebelum ini untuk membangunkan keupayaan dan lebih memahami perkembangan sejagat mengenai teknologi tenaga nuklear termaju.

“Untuk itu, Singapura terbuka untuk mempertimbangkan kerjasama dengan negara-negara yang boleh menyokong pembinaan keupayaan kami dalam sains nuklear dan keselamatan,” tambah kenyataan itu.

Pada 31 Julai, Dr Balakrishnan dan Encik Blinken turut menandatangani satu lagi perjanjian bagi memperbaharui perjanjian Program Latihan Negara Ketiga Singapura-Amerika Syarikat (TCTP).

Perjanjian itu membolehkan kedua-dua negara menjalankan program pembinaan kapasiti dalam bidang seperti kemampanan, bantuan kemanusiaan, bantuan bencana serta jenayah siber.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg