Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Vietnam rancang bina empat taman perindustrian baru
S’pura, Vietnam rancang bina empat taman perindustrian baru
Ia antara tujuh MOU baru; pusat penyelidikan pengilangan termaju yang moden turut dibina
S’pura, Vietnam rancang bina empat taman perindustrian baru
Singapura dan Vietnam akan membina empat taman perindustrian baharu di Vietnam, di samping sebuah pusat penyelidikan pengilangan termaju yang moden.
Ia telah diumumkan pada 29 Mei, sempena lawatan negara empat hari Presiden Vietnam, Encik To Lam, ke Singapura atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Projek ini adalah sebahagian daripada tujuh perjanjian baharu yang ditandatangani, yang bertujuan memperluas inisiatif Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP) yang sedia ada.
Dilancarkan pada 1996, VSIP kekal sebagai mercu tanda kerjasama ekonomi erat antara Singapura dengan Vietnam.
Peningkatan ini akan menjadikan jumlah taman perindustrian mencecah 26, naik daripada 22, sekali gus menyokong sasaran Singapura untuk mencapai 30 taman menjelang akhir tahun.
Tuan Presiden menyifatkan inisiatif VSIP sebagai “penambat” hubungan ekonomi kededua negara, dengan menyatakan bahawa 2026 menandakan ulang tahunnya yang ke-30.
Beliau membuat kenyataan itu dalam ucapannya di majlis jamuan negara pada 29 Mei, yang dianjurkan untuk meraikan Encik Lam dan isteri, Cik Ngo Phuong Ly.
Sambil menegaskan bahawa Singapura kekal sebagai pelabur utama di Vietnam, Tuan Presiden memuji VSIP kerana berjaya “mewujudkan pekerjaan berkualiti dan menarik pelaburan bernilai tinggi.”
Setakat ini, usaha sama antara Sembcorp dengan Becamex (pemaju taman perindustrian dan perbandaran milik pemerintah Vietnam) telah menarik pelaburan melebihi AS$28 bilion ($35.78 bilion) daripada kira-kira 1,000 penyewa, sekali gus menjana lebih 340,000 peluang pekerjaan di Vietnam.
Pada Januari, kelulusan telah diberikan untuk pembangunan VSIP Hue, sebuah taman perindustrian seluas 467 hektar yang terletak di tengah Vietnam.
Bersama lima taman perindustrian baharu ini, dua projek pembangunan kediaman, masing-masing dengan 549 dan 1,446 unit, turut akan dibina.
Selain itu, sebuah pusat penyelidikan pembuatan termaju akan didirikan, susulan termeterainya memorandum persefahaman (MOU) antara Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) dengan Becamex.
Menerusi perjanjian itu, kededua pihak bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam membangunkan kilang model dan tempat ujian dalam VSIP. Usaha ini bertujuan membantu syarikat menguji penyelesaian pembuatan canggih.
Becamex akan menerajui penubuhan dan operasi Pusat Penyelidikan Pembuatan Lanjutan Vietnam. Manakala, A*Star pula akan menyumbang nasihat penyelidikan dan pembangunan, serta menyokong penuh pelaksanaan keupayaan pembuatan canggih.
Singapura dan Vietnam juga sedang berusaha ke arah membangunkan generasi VSIP seterusnya, yang dipanggil VSIP 2.0, yang akan memberi tumpuan kepada teknologi pintar bersepadu, serta sistem mampan dan hijau untuk menarik pelaburan bernilai lebih tinggi.
Pada 29 Mei, Singapura turut memeterai beberapa MOU baharu dengan Vietnam termasuk penubuhan dialog strategik di bawah rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Dialog ini ditetapkan sebagai forum peringkat tinggi tetap yang julung kali diadakan, menghimpunkan pemegang jawatan kanan politik dari kededua negara.
Ia bermatlamat menggalakkan pertukaran pandangan antara pemimpin dengan pegawai kanan mengenai pembangunan negara serta isu kerjasama dua hala.
MOU lain yang ditandatangani pada tarikh yang sama merangkumi kerjasama dalam keselamatan makanan, kerjasama kehakiman, pendidikan tinggi, dan daya tahan rantaian bekalan antara kededua negara.
Penandatanganan MOU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Encik Lam.
Pada hari yang sama, Menteri Tenaga Manusia yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; dan Menteri Perusahaan dan Perdagangan Vietnam, Encik Le Manh Hung, telah mengeluarkan kenyataan bersama.
Dalam kenyataan itu, mereka menyatakan kebimbangan serius terhadap situasi yang sedang berlaku di Timur Tengah dan implikasinya terhadap keamanan dan kestabilan sejagat.
Kededua menteri juga mengesahkan semula komitmen untuk bekerjasama rapat bagi menguruskan kesan perkembangan tersebut di rantau ini.
Vietnam merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Singapura pada 2025, dengan perdagangan barangan dua hala mencecah kira-kira $40 bilion.
Singapura juga merupakan pelabur langsung asing terbesar Vietnam pada 2024, setelah menyuntik hampir AS$10.2 bilion ($13.03 bilion).
