Sebuah daftar ejen kecerdasan buatan (AI) sedang dibangunkan untuk kegunaan 150,000 pegawai awam di Singapura bagi membolehkan mereka menggunakan AI terkini dalam kerja mereka tanpa menjejas keselamatan data.

Daftar tersebut merupakan satu langkah perlindungan untuk memantau pemilik dan aktiviti ejen AI, yang mampu membuat keputusan dan melaksanakan tindakan pada kelajuan mesin.

Ia adalah sebahagian rangkaian alat yang sedang dipercepatkan pembangunannya di Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) bagi memberikan pengawasan lebih baik, memandangkan kakitangan pemerintah semakin banyak menggunakan AI untuk pelbagai tugasan.

Dikenali sebagai AI Assistant Desk, rangkaian itu bertujuan menyediakan pembantu digital peribadi yang selamat untuk semua kakitangan kerajaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GovTech, Encik Goh Wei Boon.

“Kami mahu memastikan semua penggunaan ejen AI dipantau dengan baik melalui peraturan yang jelas, alat AI yang telah diluluskan, serta sistem pendaftaran supaya ia digunakan dengan betul dan selamat,” kata Encik Goh. 

Ejen AI boleh mengendalikan komputer seperti manusia, mengenal pasti langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan transaksi dalam talian atau menjalankan penilaian risiko, tanpa banyak memerlukan campur tangan manusia. 

Ini semua dapat dilakukan kerana kemajuan dalam teknologi pemprosesan bahasa, yang membolehkan AI memahami bahasa manusia dan bertindak balas dengan lebih bijak. 

AI Assistant Desk, yang masih dalam pembangunan, sedang diuji sebilangan pegawai awam, sebelum pelancaran yang lebih meluas dirancang pada lewat 2026. 

Penggunaan ejen AI oleh sektor awam merupakan sebahagian matlamat nasional lebih besar dalam mendorong had automasi AI. 

Pada 28 Ogos 2025, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata sektor awam sudah pun mencuba ejen AI, termasuk dalam mempercepatkan proses permohonan lesen perniagaan dan urusan bantuan sosial yang melibatkan pelbagai agensi. 

Dalam pada itu, Encik Goh berkata keselamatan rangkaian AI Assistant Desk itu tidak akan terjejas walaupun alat AI baharu ditambah atau digantikan. Sebagai contoh, ejen AI boleh disekat daripada memadam fail atau menghantar e-mel kepada pihak luar, dan bilangan penerima e-mel juga boleh dihadkan untuk mengelakkan e-mel ‘spam’. 

Pemeriksa kebersihan automatik yang dibina GovTech juga memastikan tiada bahasa yang menyinggung perasaan digunakan dalam arahan atau terdapat dalam output AI.

Kawalan terperinci sedemikian selari dengan misi asal GovTech dalam membolehkan sektor awam menjadi pengguna teknologi yang berdikari.

Agensi itu telah menerajui transformasi teknologi sektor awam sejak 2016, bermula dengan 1,800 pekerja. Kini ia mempunyai 3,900 pekerja yang menyokong keperluan teknologi lebih daripada 50 agensi awam.

Selain mengurus prasarana IT semasa, GovTech sedang memacu pelancaran AI besar-besaran untuk 150,000 pekerja awam bagi menyepadukan AI ke dalam kerja harian mereka.

“Ini bukan sekadar tentang teknologi, ia tentang memperkasa pasukan di lapangan untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan lebih pantas dan berkesan,” kata Encik Goh. 

“Kami mahu setiap agensi menjadi lebih berdikari dalam teknologi dengan membangunkan kepakaran dalaman mereka sendiri,” ujarnya.

GovTech mengekalkan sekitar 1,600 jurutera di pelbagai agensi pemerintah dalam memberikan sokongan teknikal.

Namun kini, dengan bantuan AI dalam pengekodan, penjawat awam yang tidak mempunyai latar belakang teknikal juga boleh turut serta mereka bentuk dan mencadangkan cara mengautomasikan kerja harian mereka. 

Pada 2025, ‘hackathon’ sulung GovTech, yang dinamakan {build}, menyaksikan penyertaan daripada 600 penjawat awam. Sesetengah projek telah pun dibangunkan menjadi prototaip dunia sebenar yang sedang menjalani ujian.

Salah satu contoh ialah pembantu pemeriksa AI bernama Markly, yang sedang diuji di 18 sekolah tempatan. Alat itu bertujuan membantu guru memeriksa skrip tulisan tangan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Geografi dengan lebih cepat dan konsisten. 

Terdapat rancangan menyepadukan alat tersebut dengan alat Google Classroom, yang digunakan oleh guru, serta dalam versi masa hadapan platform e-pembelajaran Sistem Portal Pelajar (SLS) yang sedia ada.

Contoh lain ialah LangBuddy, chatbot bersuara yang direka untuk membantu pelajar mengasah kemahiran bahasa ibunda mereka. Bot maya itu boleh berbual dengan pelajar dalam bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil. 

Jika seorang pelajar tersilap, misalnya dengan menggunakan frasa Bahasa Inggeris dalam ayat, bot tersebut akan segera mencelah untuk memberikan terjemahan. LangBuddy sedang diuji oleh kira-kira 300 pelajar dari 10 sekolah menengah dan maktab rendah, dengan rancangan untuk melibatkan lebih banyak sekolah.

Jurutera GovTech sudah mula menggunakan alat pembangunan dengan bantuan AI, sementara kakitangan bukan teknikal pula semakin selesa menggunakan alat AI yang lebih mudah dalam kerja harian mereka. 

Langkah itu adalah sebahagian usaha nasional melahirkan pekerja yang fasih dalam AI, iaitu mereka yang boleh menggabungkan kepakaran profesional dengan teknologi AI. Singapura menyasarkan 100,000 individu sedemikian merentasi semua sektor menjelang 2029.