Sejak sekian lama, masyarakat dibina atas satu janji sosial yang mudah difahami.

Jika kita belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri, maka masa depan yang stabil akan menanti.

Pekerjaan yang baik, pendapatan selesa dan peluang memperbaiki kehidupan keluarga dianggap sebagai ganjaran kepada usaha itu.

Namun hari ini, keyakinan terhadap ‘perjanjian lama’ itu mula terasa goyah.

Gelombang pemberhentian pekerja yang diumumkan syarikat-syarikat besar dunia kebelakangan ini – termasuk yang menjejas pekerja di Singapura – bukan lagi sekadar kisah syarikat yang sedang bergelut untuk menakat atau disebabkan ekonomi yang merudum.

Sebaliknya, ia berlaku ketika syarikat tersebut sebenarnya mencatat keuntungan kukuh.

Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, dilapor mengurangkan sekitar 8,000 pekerjaan di seluruh dunia pada Mei lalu.

Standard Chartered pula merancang memotong sekitar 7,800 jawatan sokongan menjelang 2030.

Sebelum itu, DBS mengumumkan jangkaan pengurangan sekitar 4,000 jawatan kontrak dan sementara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ironinya, langkah itu bukan dilakukan kerana syarikat sedang ‘tenat’.

Ketiga-tiganya terus mencatat keuntungan besar dan dijangka terus berkembang.

Jadi mengapa keadaan ini berlaku?

Jawapannya semakin jelas: kecerdasan buatan (AI) membolehkan syarikat melakukan lebih banyak kerja dengan lebih sedikit pekerja.

Ketua eksekutif Standard Chartered sendiri menyatakan bank itu sedang “menggantikan modal insan bernilai rendah dengan modal kewangan”.

Dalam bahasa mudah, mesin kini dilihat sebagai pelaburan lebih menguntungkan, manakala pekerja pula dianggap kos yang boleh dikurangkan.

Ini bukan lagi soal syarikat cuba bertahan hidup.

Ia soal produktiviti.

AI membolehkan tugas rutin dilakukan dengan lebih pantas dan murah.

Bahkan, kerja berkemahiran tinggi seperti penyelidikan, analisis kewangan dan semakan undang-undang juga semakin boleh diautomasi.

Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Sedunia (WEF) menganggarkan sekitar 92 juta pekerjaan berpotensi terjejas atau digantikan secara global menjelang 2030 akibat AI dan automasi.

McKinsey Global Institute pula menganggarkan antara 75 juta dengan 375 juta pekerja di seluruh dunia mungkin perlu menukar pekerjaan dalam tempoh sama.

Sudah tentu, AI bukan semata-mata membawa berita buruk.

Seperti setiap revolusi teknologi sebelum ini, pekerjaan baharu juga akan muncul.

WEF sendiri menganggarkan sekitar 170 juta pekerjaan baharu boleh diwujudkan menerusi perkembangan AI.

Namun, di sinilah hujah optimistik itu kadangkala gagal memahami realiti kehidupan sebenar ramai pekerja.

Seorang pekerja pertengahan kerjaya yang kehilangan pekerjaan tidak boleh begitu sahaja ‘bertukar haluan’ menjadi jurutera AI dalam beberapa bulan.

Tidak semua mempunyai simpanan yang cukup, masa panjang atau ruang memulakan hidup semula dari bawah.

Ramai hari ini sedang menanggung tekanan serentak – membesarkan anak, menjaga ibu bapa yang semakin uzur, membayar pinjaman rumah dan berdepan kos sara hidup terus meningkat.

Sebab itu, meskipun latihan semula tampak baik di atas kertas, hakikatnya proses itu jauh lebih mencabar dalam dunia sebenar.

Malah, tekanan untuk terus menyesuaikan diri kini menjadi sesuatu yang berpanjangan sepanjang hayat pekerjaan seseorang.

Dan tekanan psikologi inilah yang semakin membentuk keresahan ramai golongan profesional dan pekerja pertengahan hari ini.

Perbahasan di Parlimen baru-baru ini mengenai ‘pertumbuhan tanpa pekerjaan’ atau jobless growth menunjukkan keresahan itu semakin nyata.

Keprihatinan ramai bukan lagi sekadar takut kehilangan kerja.

Ketakutan lebih mendalam ialah kemungkinan menjadi ‘tidak lagi relevan’ dari sudut ekonomi walaupun sudah melakukan segala yang diminta masyarakat – belajar, meningkatkan kemahiran, bersikap fleksibel dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri.

Dan di sinilah cabaran besar sedang muncul.

Singapura selama ini dibina atas kepercayaan bahawa usaha keras akan membawa mobiliti sosial dan kestabilan hidup.

Ia menjadi asas kepada keyakinan masyarakat terhadap sistem ekonomi dan sosial negara ini.

Namun, jika semakin ramai mula merasakan bahawa kerja keras dan kemampuan menyesuaikan diri tidak lagi menjamin masa depan yang stabil, implikasinya melangkaui ekonomi semata-mata.

Bagaimanapun, Singapura juga mempunyai sesuatu yang tidak dimiliki banyak negara lain – kekuatan kerjasama tiga pihak antara pemerintah, majikan dengan kesatuan sekerja.

Dalam era AI ini, kekuatan itulah yang akan benar-benar diuji.

Cabaran sekarang bukan sekadar memastikan ekonomi terus berkembang.

Cabaran lebih besar ialah memastikan rakyat terus yakin bahawa mereka masih mempunyai tempat dalam ekonomi masa depan.

Tanda-tanda awal pendekatan itu sebenarnya sudah mula kelihatan.

Ketika DBS mengumumkan pengurangan jawatan kontrak dan sementara, bank itu pada masa sama menyatakan komitmen melatih semula dan memindahkan sebahagian pekerja ke peranan baharu berkaitan AI dan data.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pula memperluas Program Penukaran Kerjaya dan sokongan penempatan semula bagi pekerja pertengahan kerjaya yang terkesan.

Pemerintah juga terus meningkatkan pelaburan dalam SkillsFuture, termasuk menyediakan elaun latihan bagi pekerja dewasa yang perlu menjalani latihan semula sepenuh masa.

Tetapi dalam realiti baharu ini, latihan semula sahaja tidak mencukupi jika masyarakat masih merasakan mereka sedang berlumba dalam perlumbaan yang sentiasa berubah garis penamatnya.

Majikan perlu memainkan peranan lebih besar dalam membina semula keyakinan pekerja, bukan sekadar melihat tenaga kerja sebagai kos, malah sebagai aset yang perlu dibangunkan bersama perubahan teknologi.

Kesatuan sekerja pula perlu lebih awal mengenal pasti sektor dan golongan paling terdedah supaya bantuan dapat diberikan sebelum pekerja tercicir terlalu jauh.

Kerana akhirnya, isu ini bukan sekadar mengenai teknologi.

Ia mengenai keyakinan masyarakat terhadap masa depan mereka sendiri.

Kekuatan sebenar Singapura tidak hanya terletak pada teknologi, pelaburan atau produktiviti semata-mata.

Ia terletak pada keyakinan rakyat bahawa jika mereka terus berusaha, terus belajar dan terus menyumbang, masyarakat dan negara tidak akan meninggalkan mereka di belakang.

Dan keyakinan terhadap nilai kerja keras itulah yang perlu terus dipertahankan.