Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura bakal beli peluru berpandu Hellfire dari AS
S’pura bakal beli peluru berpandu Hellfire dari AS
S’pura bakal beli peluru berpandu Hellfire dari AS
Singapura dijangka membeli peluru berpandu Hellfire daripada Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada cadangan pakej pertahanan, bernilai AS$22.3 juta ($28.9 juta).
Jabatan Negara Amerika berkata dalam satu notis kepada Kongres pada 30 Jun bahawa mereka telah meluluskan kemungkinan jualan sebanyak 67 peluru berpandu AGM-114R Hellfire – sejenis peluru berpandu udara-ke-darat berketepatan tinggi – kepada Singapura, bersama peralatan dan perkhidmatan sokongan berkaitan.
Pakej keseluruhan itu terdiri daripada kes asal Jualan Tentera Asing (Foreign Military Sales) bernilai AS$12.4 juta, serta permintaan lanjut daripada pemerintah Singapura untuk membeli 24 peluru berpandu Hellfire.
Kes asal itu berada di bawah paras yang memerlukan pemberitahuan kepada Kongres. Dengan penambahan 24 peluru berpandu Hellfire serta peralatan dan perkhidmatan sokongan berkaitan, jumlah kos keseluruhan urus niaga itu dianggarkan bernilai AS$22.3 juta.
Kontraktor utama bagi urus niaga tersebut ialah syarikat gergasi pertahanan dan aeroangkasa, Lockheed Martin.
Jabatan Negara Amerika diwajibkan memberitahu Kongres secara rasmi apabila cadangan jualan peralatan pertahanan utama melebihi paras yang ditetapkan. Kongres kemudiannya akan diberi tempoh 30 hari untuk memutuskan sama ada jualan itu perlu diluluskan atau tidak.
Paras had bagi jualan peralatan pertahanan utama kepada Singapura ditetapkan pada AS$14 juta atau lebih.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) berkata pembelian peluru berpandu itu menyokong keperluan latihan rutin dan operasi tentera udara.
Peluru berpandu itu akan dipasang pada helikopter Apache AH-64D pelbagai misi milik Singapura.
“Mindef dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengambil pandangan strategik jangka panjang dalam perolehan pertahanan kami, bagi memastikan kami membuat keputusan yang berhemat dan kos efektif yang paling sesuai dengan keperluan pertahanan kami, serta mengekalkan kesiapsiagaan operasi,” kata jurucakap itu.
Jabatan Negara Amerika berkata cadangan jualan itu akan “menyokong objektif dasar luar dan keselamatan Amerika dengan meningkatkan keselamatan rakan strategik yang menjadi kuasa penting bagi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di Asia”.
