Singapura sedang membangunkan model kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penjagaan kesihatan yang disesuaikan khusus bagi pesakit serta amalan perubatan tempatan menerusi satu inisiatif nasional baharu.

Inisiatif yang dikenali sebagai ‘Singapore Medical Foundation AI Model’ (Simfoni) atau ‘Model AI Asas Perubatan Singapura’ dan diumumkan pada 9 Julai itu bertujuan membantu doktor membuat diagnosis penyakit seperti kencing manis, kolesterol tinggi dan penyakit mata dengan lebih tepat, sekali gus menangani jurang dalam data yang digunakan untuk melatih model AI.

Menurut satu kenyataan media Simfoni, kebanyakan model asas AI yang digunakan dalam sektor penjagaan kesihatan ketika ini, dilatih menggunakan data daripada populasi Barat, sekali gus boleh menjejas ketepatan serta kesesuaiannya dalam konteks klinikal Singapura.

“Ia boleh diibaratkan seperti model AI itu tidak pernah belajar di sekolah perubatan tempatan kita. Simfoni pula ibarat telah mengikuti pendidikan di sekolah perubatan tempatan,” kata Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, ketika mengumumkan inisiatif tersebut di persidangan NCS Impact 2026.

Sebagai program penyelidikan dan pembangunan nasional di bawah Penyelidikan Klinikal dan Inovasi Singapura (Cris), Simfoni menangani jurang tersebut dengan menyesuaikan model asas AI sedia ada menggunakan data klinikal serta garis panduan perubatan tempatan.

Pendekatan itu membolehkan model AI mengambil kira ciri masyarakat berbilang kaum di Singapura, corak penyakit tempatan, garis panduan klinikal serta laluan rawatan, sekali gus berpotensi meningkatkan mutu penjagaan dan hasil rawatan pesakit di seluruh sistem penjagaan kesihatan awam.

Pada peringkat awal, Simfoni memberi tumpuan kepada dua bidang keperluan klinikal, iaitu membangunkan sistem sokongan bagi membantu doktor membuat keputusan klinikal yang lebih baik dalam merawat penyakit kardiometabolik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia di peringkat penjagaan kesihatan awal.

Kedua, Simfoni membangunkan AI pelbagai mod, iaitu teknologi AI yang boleh menganalisis bermacam jenis maklumat secara serentak, bagi meningkatkan diagnosis dan pengurusan penyakit mata seperti katarak, penyakit retina dan glaukoma.

Pada masa depan, Simfoni dijangka diperluaskan kepada lebih banyak bidang klinikal.

Menurut kenyataan media itu lagi, pembangunan tersebut dibuat ketika sektor penjagaan kesihatan Singapura berdepan kekurangan tenaga kerja klinikal serta tambahan penduduk yang semakin menua, sekali gus meningkatkan keperluan untuk memanfaatkan inovasi bagi menyokong petugas kesihatan.

Bagi penyakit kardiometabolik, sistem AI yang dibangunkan menggabungkan kaedah klinikal yang telah terbukti dengan teknologi AI menerusi tiga lapisan.

Pertama, ramalan risiko AI yang telah disahkan akan mengenal pasti dan mengutamakan pesakit yang memerlukan campur tangan awal.

Kedua, garis panduan klinikal nasional Singapura disepadukan terus ke dalam sistem supaya setiap saranan berpandukan piawaian rawatan semasa.

Ketiga, model asas AI akan menganalisis keseluruhan maklumat pesakit, termasuk sejarah perubatan, keadaan semasa dan konteks klinikal, bagi mengenal pasti pertimbangan rawatan tambahan yang mungkin perlu dirujuk doktor.

Ketiga-tiga lapisan ini saling melengkapi antara satu sama lain, dengan AI tidak beroperasi secara bersendirian tetapi dibangunkan berasaskan garis panduan klinikal dan model ramalan risiko yang telah disahkan.

Bagi penyakit mata pula, AI berbilang mod mampu meningkatkan ketepatan diagnosis, memperbaiki penilaian tahap risiko serta membantu proses saringan bagi menentukan keperluan rujukan kepada pakar.

Malah, keadaan mata juga boleh memberikan petunjuk terhadap penyakit sistemik seperti diabetes, penyakit kardiovaskular dan gangguan neurologi, sekali gus membuka laluan kepada penggunaan AI berbilang mod dalam lebih banyak bidang perubatan pada masa hadapan.

Dalam jangka panjang, Simfoni menyasarkan agar alat AI ini dapat disepadukan secara lancar ke dalam sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) Singapura, iaitu sistem rekod pesakit yang bersepadu, supaya dapat berfungsi sebagai pembantu pintar yang dipercayai oleh doktor di semua peringkat penjagaan kesihatan.