Perniagaan Singapura membantah buruh paksa dan menyokong usaha untuk menegakkan rantaian bekalan yang bertanggungjawab serta beretika.

Demikian menurut Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Mark Lee.

Dalam kenyataan pada 24 Julai bagi mengulas keputusan Amerika Syarikat untuk menguatkuasakan levi baharu sebanyak 12.5 peratus ke atas Singapura, Encik Lee berkata sebarang keperluan kawal selia baharu sepatutnya dinilai dengan teliti dan digubal menerusi kerjasama rapat bersama pihak industri berkenaan.

Ini memandangkan kawal selia baharu mampu menjejaskan operasi umum perniagaan, rantaian bekalan, kos pematuhan, serta kedudukan Singapura sebagai hab perdagangan dan pemindahan kargo sejagat yang dipercayai.

Dalam kenyataan tersebut, SBF menekankan dapatan Wakil Perdagangan Amerika (USTR) setelah menjalankan siasatan mengenai kebimbangan terhadap buruh paksa di bawah seksyen 301.

Siasatan USTR, yang bermula pada Mac dan berakhir pada Julai, meletakkan Singapura antara 45 ekonomi yang bakal dikenakan cukai 12.5 peratus, kerana didakwa gagal menggubal dan menguatkuasakan larangan terhadap perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

USTR mengenakan tarif sebanyak 12.5 peratus terhadap import dari Singapura, namun beberapa produk farmaseutikal, produk aeroangkasa tertentu dan lain lagi telah dikecualikan daripada tarif tersebut.

Dalam kenyataan SBF itu, Encik Lee menjelaskan pihak perniagaan harus terlebih dahulu menentukan sama ada eksport mereka tertakluk di bawah tarif itu, atau termasuk dalam pengecualian yang dinyatakan sebelum menilai kesannya.

Syarikat yang berurusan dengan pasaran Amerika perlu menyemak semula klasifikasi produk, mengadakan perbincangan awal dengan pelanggan, serta menilai sebarang implikasi terhadap penetapan harga, kontrak dan rantaian bekalan.

Encik Lee menjamin SBF akan bekerjasama rapat dengan perniagaan yang terjejas, demi memahami implikasi tersebut dan menyokong mereka mengharungi tempoh ini.

Beliau turut menegaskan perniagaan tempatan memahami kepentingan menangani risiko buruh paksa dalam rantaian bekalan sejagat, dan sedia bertindak jika perlu.

“Singapura belum memperkenalkan larangan import ke atas barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa, dan kami menghargai langkah pemerintah yang sentiasa bersikap prihatin terhadap risiko kesannya ke atas syarikat tempatan, serta kedudukan Singapura sebagai hab perdagangan sedunia,” jelasnya.

Garis panduan yang jelas serta tempoh peralihan yang mencukupi amat penting bagi membantu pihak perniagaan mematuhinya dengan berkesan, tambah Encik Lee.

“SBF sedia bekerjasama rapat dengan pihak pemerintah serta pihak berkepentingan dalam industri, selain menyalurkan maklum balas daripada komuniti perniagaan,” katanya.