Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Brunei rasmi iktiraf bersama sijil, tanda halal
Kerjasama kurangkan pertindihan dalam pensijilan, beri jaminan lebih baik kepada peniaga, pengguna
S’pura, Brunei rasmi iktiraf bersama sijil, tanda halal
Singapura dan Brunei telah bersetuju merasmikan pengiktirafan bersama sijil dan tanda halal antara kedua-dua negara, yang antara lain, akan mengurangkan pertindihan dalam proses pensijilan halal serta memberi jaminan lebih baik kepada pihak perniagaan dan pengguna.
Perjanjian tersebut, yang menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama dua hala berkaitan produk halal antara kedua-dua negara, juga akan memudahkan perdagangan produk halal dan memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk yang disahkan halal di Singapura dan Brunei.
Memorandum Persefahaman (MOU) itu ditandatangani Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Kadir Maideen, dan Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani, pada 13 Oktober di Hotel The Empire Brunei di Jerudong, Brunei.
Majlis itu turut disaksikan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Ehwal Agama Brunei, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim Pengiran Haji Hassan.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), menyatakan bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan erat dan telah lama terjalin, termasuk dalam kalangan masyarakat Islam dan institusi keagamaan.
“Saya gembira kerana lawatan rasmi pertama saya ke Brunei dalam kapasiti ini telah memberi peluang untuk memperkukuh lagi hubungan tersebut,” kata Encik Zaqy.
“MOU antara MUIS dengan MUIB ini mencerminkan kepercayaan dan kerjasama yang kukuh antara kedua-dua negara kita.
“Dengan adanya pengiktirafan bersama terhadap sijil dan logo halal kita, saya berharap dapat melihat kerjasama ini diperkukuh demi manfaat masyarakat, perniagaan dan pengguna kita,” tambahnya.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung semasa lawatan rasmi pertama Encik Zaqy ke Brunei sejak beliau memegang portfolio tersebut pada Julai.
MOU itu merupakan perjanjian kerjasama halal antarabangsa keenam bagi MUIS, dan juga merupakan aturan seumpamanya yang pertama bagi Brunei, menurut kenyataan MUIS pada 14 Oktober.
MUIS sebelum ini telah menandatangani perjanjian serupa dengan Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Maghribi, dan Indonesia, dengan tujuan untuk memperkukuh kerjasama serta pengiktirafan pensijilan halal Singapura di peringkat antarabangsa.
Kerjasama ini juga akan menyaksikan kedua-dua negara mengiktiraf bersama pensijilan halal Singapura dan Brunei, sambil mengekalkan integriti sistem pensijilan halal kedua-dua negara.
Mengulas mengenai perjanjian tersebut, Encik Kadir berkata MOU baharu itu menyediakan rangka kerja yang kukuh bagi MUIS dan MUIB untuk memperdalam kerjasama melalui pertukaran teknikal dan perkongsian kepakaran.
“Dengan pengiktirafan bersama sijil dan logo halal, kita akan terus memelihara integriti dan ketelitian sistem pensijilan masing-masing, sekali gus memberikan keyakinan lebih tinggi kepada perniagaan dan pengguna apabila berurusan dengan produk yang disahkan halal dari kedua-dua negara,” ujar beliau.
Sebagai sebahagian lawatan itu, Encik Zaqy telah bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah; dan Mufti Kerajaan Brunei, Pehin Dr Haji Awang Abdul Aziz Juned.