Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Brunei peringati 50 tahun hubungan pertahanan menerusi perbarisan bersama
S’pura, Brunei peringati 50 tahun hubungan pertahanan menerusi perbarisan bersama
Singapura dan Brunei menekankan semula hubungan pertahanan selama 50 tahun dengan mengadakan perbarisan bersama di Pangkalan Tentera Laut Muara, Brunei, pada 10 Oktober.
Perbarisan yang dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, melibatkan 256 anggota serta aset darat, laut dan udara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Perbarisan itu turut menyaksikan kapal tentera laut kededua negara berlayar melintas, serta lintas hormat udara oleh dua helikopter H225M Singapura dan tiga helikopter S-70i Black Hawk Brunei.
Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) berkata ramai anggota terbabit sebelum ini menyertai latihan dua hala.
Tetamu lain termasuk Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing, Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya Aaron Beng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Komander ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Dalam hantaran Facebook pada 10 Oktober, Encik Wong berkata: “Singapura amat menghargai persahabatan istimewa dengan Brunei. Sambil meraikan pencapaian bersama, saya berharap hubungan kededua negara terus diperkukuh pada tahun-tahun mendatang.”
Beliau berkata perbarisan itu mencerminkan hubungan erat yang terjalin menerusi latihan dan kerjasama antara anggota tentera darat, laut dan udara kededua negara sepanjang lima dekad.
Selepas perbarisan, Encik Wong dan Sultan Hassanal Bolkiah merasmikan serta melawat galeri peringatan yang memaparkan pencapaian penting hubungan pertahanan dua hala sepanjang 50 tahun.
Encik Wong turut bertemu anggota SAF yang menjalani latihan di Temburong dan berbincang mengenai pengalaman mereka.
Mindef berkata perbarisan itu merupakan acara penting dalam siri sambutan Jubli Emas sepanjang tahun, termasuk latihan dua hala yang mencerminkan kesungguhan kededua pihak untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan pada tahun-tahun mendatang.
Sambutan itu akan diakhiri dengan majlis makan malam anjuran Brunei di Singapura pada 21 November.
Mindef menambah kededua negara akan terus membina hubungan berasaskan “lima dekad kepercayaan bersama dan kerjasama erat”, meneroka bidang kerjasama baharu yang saling menguntungkan serta memperkukuh hubungan antara generasi anggota tentera.
Lawatan Encik Wong berlangsung kira-kira seminggu selepas Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah, menemuinya semasa lawatan rasmi ke Singapura yang berakhir pada 2 Oktober.
Dalam lawatan lima hari itu, Putera Mahkota turut bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong.
Pada Julai, Singapura dan Brunei menggariskan semula kesungguhan mereka memperkukuh hubungan dua hala ketika Encik Lee menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 keputeraan Sultan Hassanal Bolkiah.
Kededua negara bersetuju meneroka kerjasama dalam keselamatan tenaga dan makanan, daya tahan rantaian bekalan serta usaha mengeratkan hubungan antara rakyat kededua negara.
Pada 2027, kededua negara akan memperingati ulang tahun ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang, yang membolehkan mata wang Brunei dan Singapura digunakan di kededua negara.