Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Brunei tandatangani MOU perkukuh daya tahan rantaian bekalan
S’pura, Brunei tandatangani MOU perkukuh daya tahan rantaian bekalan
Singapura dan Brunei menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) pada 12 Oktober bagi mengesahkan komitmen bersama untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dalam memastikan kelancaran aliran barangan penting, terutamanya ketika krisis.
MOU mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan itu ditandatangani Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi merangkap Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Perusahaan Brunei, Datuk Dr Abdul Manaf Metussin.
Kedua-dua menteri itu sama-sama menganjurkan Mesyuarat Menteri Jawatankuasa Bersama Singapura-Brunei (JCMM) Kedua, yang merupakan sebuah platform ekonomi utama antara kedua-dua negara itu untuk memperdalam hubungan ekonomi dan meneroka bidang kerjasama baru, menurut Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) dalam kenyataannya.
Ini termasuk peluang yang timbul daripada usaha kepelbagaian ekonomi Brunei seperti jaminan makanan, ekonomi hijau dan pelancongan, dan usaha memajukan pertumbuhan bersama di tengah-tengah landskap ekonomi global yang sedang berubah.
MOU yang ditandatangani itu mengesahkan komitmen kedua-dua negara di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) yang dipertingkat dengan memberikan kejelasan lebih baik mengenai barangan penting yang diliputi antara Singapura dengan Brunei.
Ini termasuk makanan, minyak mentah dan produk bahan api, bekalan perubatan, dan barangan lain yang dipersetujui bersama.
Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, berkata kemajuan kukuh yang dicapai di bawah JCMM itu menunjukkan keluasan dan potensi kerjasama Singapura-Brunei.
“Daripada meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala sehinggalah memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, kami memperdalam kerjasama kami dengan cara yang menyokong daya tahan ekonomi, memacu pertumbuhan mampan, serta memberikan manfaat nyata kepada negara dan rakyat kita,” kata beliau.
Cik Fu dan Datuk Dr Manaf turut mengalu-alukan tiga hasil yang bertujuan mempelbagaikan sumber barangan penting, memperkukuh rangkaian bekalan komersial dan pengedaran, dan mempertingkat kesediaan operasi bagi gangguan.
Antaranya, syarikat Singapura, Pondok Abang, dan syarikat Brunei, PDS Abattoir, telah menandatangani satu perjanjian pengilangan dan pengedaran untuk menyokong kerjasama komersial dalam sektor makanan dan memudahkan pengedaran produk Pondok Abang di Brunei.
Kerjasama itu juga akan mewujudkan peluang pasaran baru bagi pengilang makanan Singapura dan, melalui pembekalan produk daging lembu diproses dari Brunei ke Singapura, menyumbang kepada kepelbagaian dan daya tahan bekalan makanan Singapura.
Selain itu, Singapura telah meluluskan eksport daging ayam beku dari Brunei pada Ogos 2026 dan terus memudahkan pelaburan serta menyokong eksport makanan Brunei, memperluaskan sumber daging ayam yang diluluskan dan menyumbang kepada kepelbagaian bekalan makanan Singapura.
Singapura dan Brunei juga telah menjalankan satu latihan simulasi dua hala pada 17 Ogos, yang mempertingkat keyakinan kedua-dua negara dalam keupayaan mereka memudahkan pergerakan dan penerimaan bekalan perubatan penting yang tepat pada masanya semasa tempoh gangguan.
Ini sekali gus memperkukuh keselamatan dan daya tahan kesihatan keseluruhan.